Paroki Santa Anna adakan Rekoleksi Ketua Sembahyang

Friar Don Don memberikan Ekaristi kepada seorang ketua sembahyang yang menyertai rekoleksi.

Oleh John Hardie

KOTA PADAWAN — Rekoleksi Ketua Sembahyang telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembentukan Iman (FFC), Gereja Katolik Santa Anna, Kota Padawan, pada 20 April lepas di Gereja St Michael Teng Bukap. 

Rekoleksi tersebut disertai seramai 269 orang Ketua Sembahyang dari 50 buah kampung di sekitar Kota Padawan, termasuk sembilan buah taman di bawah naungan Paroki Santa Anna.

Penceramah bagi rekoleksi ini adalah Rektor Paroki Santa Anna, Friar Don Don Romero Ramerez, OFM dan Sr Clothilda Delicia Francis Klumai, SSFS. 

Rekoleksi pada pagi itu dimulakan dengan pendaftaran para peserta pada jam 7 pagi sebelum Misa Kudus dirayakan oleh Friar Don Don pada jam 8 pagi. 

KHUSYUK… Ketua sembahyang fokus mendengar ceramah dan perkongsian.

Pengisian utama aktiviti rekoleksi kali ini adalah perkongsian rohani oleh Friar Don Don yang mengingatkan semua Ketua Sembahyang yang hadir supaya bermatlamat dan mempunyai tujuan melayani berteraskan Tuhan Yesus. 

“Seorang Ketua Sembahyang harus mampu menghayati serta mengamalkan pelayanan sebagai seorang yang komited, berintegriti dan bertanggungjawab setiap masa. Sebagai pelayan umat paroki, seorang ketua sembahyang harus sedar bahawa mereka adalah suri teladan (role model) dan harus memperlihatkan teladan yang baik kepada umat, terutamanya di kawasan kampung dan juga taman,” katanya.

Sesi kedua disampaikan oleh Sr Delicia, yang menerangkan tentang peranan dan fungsi seorang Ketua Sembahyang serta Kod Etika Ketua Sembahyang. 

Sister Delicia sedang khusyuk memberikan perkongsian dan ceramah kepada Ketua sembahyang yang hadir.

Dalam perkongsian tersebut, Sr Delicia mengingatkan Ketua Sembahyang bahawa peranan dan pelayanan mereka amat penting dan mereka harus sedar bahawa mereka adalah pembantu kepada paderi paroki dalam menyampaikan segala maklumat semasa kepada umat sama ada pada peringkat kampung mahupun di taman-taman.

“Ketua Sembahyang harus sentiasa menghormati satu sama lain, terutama sekali dari segi pendapat, pandangan mahupun idea yang berbeza, tetapi tujuannya tetap satu, iaitu ke arah pembangunan gereja yang satu,” katanya. 

Pada hari tersebut juga telah diadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) singkat di mana Pengerusi Ministri Ketua Sembahyang, Patrick Munai, melaporkan aktiviti-aktiviti Ketua Sembahyang sepanjang tahun.

Selepas itu, Pengerusi Majlis Paroki, Judas Ligon, membubarkan jawatankuasa lama penggal 2021-2023, dan pemilihan ahli-ahli jawatankuasa baharu bagi penggal 2024-2026 telah diadakan, dan Patrick Munai telah dipilih semula untuk menerajui Ministri Ketua Sembahyang. Rekoleksi berakhir pada jam 1 petang disusuli sesi bergambar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.