IPOH — Gereja Our Lady of Lourdes (OLOL) telah merayakan pentahbisan paderinya yang ke-22 untuk menamatkan penantian selama 18 tahun. Diakon George Vaithynathan ditahbis menjadi paderi oleh Kardinal Sebastian Francis pada 2 Februari lepas.
Ia ternyata satu peristiwa yang menyentuh hati bagi paderi kelahiran Ipoh itu setelah menerima kesemua sakramennya di Paroki OLOL, dan sekarang sudah sampai ke kemuncak dalam Sakramen Kepaderian di gereja suci yang sama.
Merayakan Misa bersama Kardinal Sebastian adalah Uskup Agung Kuala Lumpur, Most Rev. Julian Leow, dan para paderi dari seluruh Malaysia.
Gereja itu melimpah dengan jemaat yang telah datang dari dekat dan jauh untuk menyertai perayaan itu, bersama para anggota komuniti religius yang memperingati Hari Kehidupan Konsekrasi Sedunia.
Fr George, anak lelaki kedua daripada dua anak lelaki yang lahir kepada Vaithynathan dan Veronica Antoine, dan bekas pelajar St Michael’s Institution di Ipoh, memiliki ijazah sarjana muda dalam pentadbiran perniagaan dari Universiti Tun Abdul Razak, ijazah sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan dari INTI Pulau Pinang, dan ijazah sarjana dalam Kajian Pengurusan dari Universiti Hertfordshire di United Kingdom.
Sebelum beliau menyahut panggilan Tuhan, beliau bekerja selama lima tahun di sebuah syarikat multinasional di Pulau Pinang, dan memulakan tahun inisiasinya di College General Seminary, Pulau Pinang pada 2016, di mana beliau menamatkan pengajian falsafah. Dari 2019 hingga 2023, beliau mengejar panggilannya di Seminari Utama Kolej St Peter, Kuching, dan ditahbis menjadi diakon pada 17 Ogos 2023 di Gereja Sacred Heart of Jesus, Kampar.
Dalam ucapan penutupnya pada upacara pentahbisan, Fr George merenungkan makna mendalam ayat yang beliau telah pilih sebagai batu penjuru bagi perjalanan pentahbisannya: “Rahmat Aku sudah memadai bagimu.”
“Rahmat, dalam inti pati ilahinya, adalah satu anugerah tidak ternilai kepada kita – pancutan air ketabahan yang mengalir daripada kuasa yang lebih tinggi. Ia bertindak sebagai kehadiran yang menyelesakan di tengah-tengah keputusasaan, sinar harapan pada waktu kabur, dan cahaya yang memimpin pada waktu paling gelap. Maknanya melangkaui kefahaman manusia, namun ia tetap teguh, memberikan ketenangan pada waktu kita paling memerlukannya,” kata Fr George.
“Rahmat ini merangkumi segalanya: ia membina jambatan, merangkul setiap individu tanpa diskriminasi. Ia tidak menilai berdasarkan kesalahan, kegagalan atau pelanggaran silam kita. Sebaliknya, ia memeluk kita dengan penerimaan tanpa syarat, pengampunan, dan janji transformasi,” jelasnya.
Ketika mengumumkan pelantikan Fr George sebagai penolong paderi paroki di OLOL, Kardinal Sebastian menekankan kepentingan memupuk panggilan kepada kepaderian dalam kalangan kongregasi. Beliau menyeru kepada paroki itu untuk menegakkan tradisi memupuk panggilan, seterusnya memastikan warisan yang bertenaga dan bersemangat bagi masa depan.
Herald Malaysia (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: OLOL welcomes son of parish as new priest