Paderi ke-30 ditahbis di Katedral St Joseph

KUCHING — Keuskupan Agung Kuching bergembira apabila jemaatnya menyaksikan paderi ke-30, John Ekly Direk, ditahbis di Katedral St Joseph. 

Misa Pentahbisan pada 1 Mei itu diserikan lagi dengan kehadiran Uskup Agung John Wong dari Kota Kinabalu, Sabah, selain paderi-paderi yang pernah menjadi rakan-rakan sekelas Father John Direk.

Sewaktu Upacara Pentahbisan, Uskup Agung Simon Poh mengurapi telapak tangan Fr John Direk dengan Minyak Krisma. 

Beliau kemudian meletakkan patena dan piala (chalice) di dalam tangan paderi yang baharu ditahbis itu sambil berkata, “Terimalah pemberian jemaat yang suci untuk disampaikan kepada Tuhan. Fahamilah apa yang anda buat, tirulah apa yang anda rayakan, dan selarikan kehidupan anda kepada misteri Salib Tuhan.”

Sebelum pengutusan terakhir, Uskup Agung berucap kepada paderi baharu itu dan menasihatkannya untuk sentiasa  mengingati hari pentahbisannya.

“Apabila anda meniarap di atas lantai katedral, anda menyerahkan diri anda sepenuhnya, dengan kerendahan hati dan kebergantungan sepenuhnya kepada Tuhan Yesus, sementara kami menyeru kepada para kudus dan berdoa untuk anda,” katanya.

“Berusahalah untuk ‘bertindak dengan adil, mengasihi dengan lemah-lembut, dan berjalan dengan rendah hati bersama Tuhan anda’,” kata prelatus itu.

Uskup Agung Simon juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga Fr John kerana menyerahkan anak mereka untuk menabur bakti kepada Tuhan.

“Kita berdoa dan memohon kepada Tuhan untuk memberkati keluarga dan ibu bapa Fr John di atas kemurahan hati mereka untuk memberikan anak mereka kepada pelayanan kepaderian dalam Keuskupan Agung kita,” katanya.

Fr John, 39, berasal dari Kpg Apar, Singai, Bau. Beliau merupakan anak kedua di antara 14 orang anak kepada Direk Ak Jiom dan Liseness Ak Gadim. Sebelum beliau menyertai seminari pada 2010, beliau bekerja sebagai juruelektrik selama 10 tahun. Benih panggilan kepada kepaderian ditanam ketika beliau mula melayani di altar ketika di sekolah rendah lagi. Selepas beliau menamatkan pengajian sekolah menengah, John yang muda itu terlibat secara aktif dalam Pelayanan Belia (Youth Ministry) dalam Zon Singai. 

Segalanya bermula pada 2005 di Perhimpunan Belia yang diadakan di Pusat Ziarah dan Peringatan Katolik atau ‘Catholic Memorial and Pilgrimage Centre’ (CMPC). John dipilih untuk melakonkan watak Fr Felix Westerwoudt dalam sketsa mengenai bagaimana agama Kristian pertama kali datang ke Singai. Untuk membawa watak itu dengan baik, beliau membaca buku mengenai Fr Felix Westerwoudt. Semenjak itu, keinginannya untuk menjadi seorang paderi berkembang.

Pada 2009, John akhirnya memberitahu ibu bapanya tentang keinginannya untuk memasuki seminari.

“Saya tidak menghadapi sebarang bantahan,” kata paderi baharu itu dalam ucapannya.

Bagaimanapun, ini bukan bermakna beliau bebas daripada kebimbangan.

“Saya meneruskan sahaja hajat saya dengan segala keraguan mengenai apa yang akan berlaku selepas itu. Namun pada hari ini, selepas menempuh semua pengalaman saya dalam seminari, saya boleh memberitahu anda bahawa ia adalah berbaloi untuk memberi peluang kepada diri anda sendiri,” katanya.

Pembentukan John di seminari bermula pada 2010. Tugasan pastoralnya ternyata pelbagai, dengan berbagai ministri awam dan di berbagai paroki.

Pada 23 September 2018, beliau ditahbis menjadi diakon di Gereja St Stephen, Bau.

Fr John memberitahu jemaat bahawa pentahbisannya tidak menjadikannya seorang “adiwira”, tetapi bertindak sebagai satu peringatan mengenai tanggungjawab dan identitinya yang baharu.

“Pentahbisan kepaderian ini memberikan saya identiti baharu dan cara hidup baharu. Ia menjadi satu peringatan bagi saya tentang segala tanggungjawab yang saya perlu pikul demi umat Tuhan yang saya akan layani,” katanya.

Selepas Misa, majlis makan malam kesyukuran diadakan di Pusat Pastoral Katedral dan Kuria Keuskupan Agung atau ‘Archdiocesan Curia and Cathedral Pastoral Centre’ (ACCPC), untuk memberi peluang kepada jemaat berjumpa dengan paderi yang baharu ditahbis itu.

Audrey Yu (Terjemahan)


News in English: Archdiocese of Kuching blessed with a new priest

Untuk koleksi gambar pentahbisan yang lengkap, sila layari Facebook Keuskupan Agung Kuching.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.