Niat doa Paus bagi bulan Mei: ‘Untuk orang muda yang dipenuhi keimanan’

KOTA VATIKAN — Pada waktu Gereja meraikan bulan Mei sebagai bulan Maria dan bersiap sedia bagi Perhimpunan Keluarga Sedunia pada hujung Jun, Pope Francis menggesa umat Katolik untuk berdoa bagi golongan muda serta respons mereka terhadap panggilan Allah kepada kekudusan.

Paus mengeluarkan niat doa bulanan beliau dalam satu video yang disediakan oleh ‘Pope’s Worldwide Prayer Network’.

Beliau mengangkat contoh Bonda Perawan Maria sebagai model bagi kehidupan keluarga Kristian.

“Apabila saya memikirkan model yang dapat difahami golongan muda, Bonda kita, Maria, sentiasa datang dalam fikiran: keberanian bonda, cara bonda tahu bagaimana untuk mendengar, dan dedikasi beliau kepada pelayanan.”

Membina dunia yang lebih baik

Pope Francis memuji “ya” Maria yang berani dan nekad kepada Tuhan, dan menyeru kepada golongan muda Katolik untuk mencontohi kesediaan bonda menambah baik dunia.

Beliau berkata golongan muda mesti belajar mengambil risiko, untuk “membina sesuatu yang baharu, dunia yang lebih baik”.

“Jangan lupa, untuk mengikut Maria, anda perlu menilai dan mengetahui apa yang Yesus inginkan daripada anda, bukan apa yang anda mungkin fikir anda dapat buat,” kata Paus.

Kebijaksanaan sepanjang zaman

Datuk dan nenek, tambah beliau, boleh menjadi sumber kebijaksanaan yang amat baik ketika kita cuba mengetahui kehendak Allah bagi kehidupan kita.

“Dalam kata-kata datuk dan nenek, anda akan menemui kebijaksanaan yang akan membawa anda lebih jauh daripada isu-isu semasa,” kata beliau.

Kearifan, keimanan, pelayanan 

Pope Francis menamatkan pesanan video beliau dengan mempelawa semua orang untuk berdoa bagi golongan muda pada waktu mereka menjalani kehidupan.

“Marilah kita berdoa, saudara-saudari, agar semua orang muda, yang dipanggil untuk menjalani kehidupan sepenuhnya, dapat menemukan cara untuk mendengar, kedalaman kepekaan, keberanian kepercayaan, dan dedikasi kepada pelayanan, dalam kehidupan Maria.”

Panggilan untuk berkhidmat 

Satu kenyataan media yang mengiringi Video Paus menyebut bahawa niat doa bagi bulan Mei dihasilkan dalam kolaborasi dengan Dikasteri bagi Umat Awam, Keluarga dan Kehidupan. 

Niat doa bagi bulan Mei menandakan bahagian pertama dalam siri tiga bahagian, dengan bahagian pada bulan Jun yang memberi tumpuan kepada keluarga, dan bahagian pada bulan Julai kepada warga emas.

Pengarah Antarabangsa ‘Pope’s Worldwide Prayer Network’, Father Federic Fornos, SJ, memerhatikan bahawa Pope Francis sentiasa menekankan tentang perhubungan di antara generasi, terutamanya di antara datuk dan nenek dengan cucu-cucu.

Beliau berkata Paus khususnya menyeru kepada golongan muda untuk melayani orang lain, rentetan daripada kesedaran yang matang tentang seruan Allah kepada kekudusan.

Vatican News (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Pope’s May prayer intention: ‘For faith-filled young people’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.