Oleh Jessica Ruja Raphael
SRI AMAN — Perayaan Misa Kudus Hari Rabu Abu telah dirayakan di gereja-gereja utama di Paroki Our Lady Queen of Peace, Sri Aman pada 22 Februari lalu.
Misa tersebut dirayakan secara serentak tepat pada jam 7.00 petang di tiga buah gereja utama iaitu Gereja Our Lady Queen of Peace, Sri Aman, Gereja Holy Family, Betong dan Gereja St Ignatius, Saratok.
Fr Joseph Chai merayakan Misa di Gereja Our Lady Queen of Peace manakala Fr Henry Jimbey dan Fr Jerome Juleng masing-masing di Gereja Holy Family, Betong dan Gereja St Ignatius, Saratok.
Sebelum itu, Fr Jerome telah merayakan Misa Hari Rabu Abu di Rumah Panjang Sungai Jaong, Ulu Roban dan Gereja St Michael, Kaong Ulu, Lubok Antu.
Kebanyakan umat katolik yang hadir menjalankan kewajipan mereka dengan menerima tanda abu sebagai lambang pertaubatan dan seterusnya mempersiapkan diri untuk kembali kepada Tuhan sebelum memasuki musim puasa.
Pada waktu ini, umat Katolik digalakkan untuk berpuasa dan meminta pengampunan daripada Tuhan serta berbalik kepada Tuhan.
Sepanjang musim puasa ini, umat sangat digalakkan untuk melakukan kebaikan dan penyangkalan diri melalui amalan berpuasa, bersedekah dan berdoa.
Perayaan Misa Kudus Hari Rabu Abu ini menyedarkan umat tentang kehidupan dan perbuatan mereka sebelum ini agar mereka dapat membukakan hati untuk menerima Tuhan kembali ke dalam kehidupan kita.