Misa Kesyukuran Gawai dirayakan semula di katedral selepas pandemik selama dua tahun

GAWAI BERKAT ... Misa Kesyukuran Gawai pada 20 Mei 2022 di Katedral St Joseph, Kuching. (Foto: Today's Catholic/Shannon Wei)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Misa Kesyukuran Gawai telah dianjurkan oleh Pertubuhan Kebudayaan Katolik Dayak (PKKD) dan Katedral St Joseph di sini pada 20 Mei lalu.

Misa Kudus di katedral tersebut untuk merayakan Pesta Menuai turut distrim secara langsung supaya penonton di rumah dapat mengambil bahagian dalam talian menerusi saluran-saluran rasmi Facebook dan YouTube Keuskupan Agung Kuching.

Uskup Agung Kuching Simon Poh merayakan Misa dalam Bahasa Malaysia, manakala bacaan dan lagu disampaikan dalam pelbagai bahasa kaum-kaum di Sarawak.

Turut sama merayakan Misa Gawai adalah Vikar Jeneral Mgsr William Sabang, paderi pelawat Fr Francis Anthony, Fr Nicholas Ng, Fr Alvin Ng, Fr Galvin Ngumbang, Fr Benard Bujang dan Fr Mark Bonchol.

Prelatus mengalu-alukan kongregasi, yang sebahagiannya memakai kostum tradisional, ke “Gawai Misa pertama selepas pandemik selama dua tahun”.

“Marilah kita meletakkan kepercayaan kita pada Yesus Kristus. Kita ingin memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana melindungi kita sepanjang waktu yang susah dan mencabar ini,” katanya.

Beliau menasihatkan jemaat Katolik untuk “bersatu dalam keimanan kita” dan dengan rasa syukur, sambil memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan.

Tema Misa Hari Gawai itu adalah: “Aku hendak memasyhurkan kasih abadi TUHAN, puji-pujian kepada TUHAN.”

Sebagai sebahagian daripada perayaan itu, anggota PKKD mempersembahkan satu tarian kebudayaan pada penghujung perayaan Ekaristi.

Msgr William, Fr Galvin dan Fr Mark menyampaikan ucapan Gawai mereka sebelum Uskup Agung Simon menutup Misa dengan perutusan beliau dan ucapan Gawai bagi pihak Uskup-Uskup Agung Emeriti, Peter Chung dan John Ha, serta semua paderi.

Uskup Agung Simon turut memaklumkan kepada jemaat paroki bahawa satu lagi Misa bersama kongregasi akan dirayakan di katedral pada 1 Jun 2022 jam 9.00 pagi sebagai respon kepada laporan bahawa ramai orang yang menyambut Pesta Menuai tidak dapat pulang ke kampung, atau enggan mendedahkan virus COVID kepada komuniti kampung mereka.

Uskup Agung turut membaca notis nasihat Unit Agama-Agama Lain (UNIFOR) mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi keselamatan asas untuk merayakan Gawai, sebelum beliau melakukan pemberkatan terakhir.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Cathedral welcomes congregation back to Gawai Thanksgiving Mass after two years of pandemic

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.