Marian Guild adakan program ‘outreach’ ke rumah panjang Krangan Rusa Ili, Saratok

Sesi gambar bersama ahli Marian Guild sebagai kenangan bersama. (Gambar: Peter Engkassan)

Oleh Dorris Manjan

SARATOK — Pada 20 Julai lepas, Marian Guild dari Gereja St Ignatius di sini telah mengadakan program ‘Outreach’ ke rumah panjang Krangan Rusa Ili.

Ia merupakan lokasi pertama yang dipilih untuk mengadakan aktiviti tahunan Marian Guild St Ignatius.

Program ini dilaksanakan sebagai usaha untuk membawa berita baik dan membawa cinta kasih Yesus kepada umat di rumah panjang tersebut dengan harapan agar ia dapat mengukuhkan iman umat di sana.

Seramai 50 anggota umat di rumah panjang itu telah berkumpul untuk menyambut rombongan Marian Guild yang turut disertai oleh Rektor Gereja ‘Our Lady Queen of Peace’ di Sri Aman, iaitu Fr Jerome Juleng.

Selain itu, lawatan tersebut turut disertai Sr Hilda, SSFS dan Pengerusi Gereja St Ignatius, Peter Engkassan, bersama umat dan wakil dari Gereja Holy Family, Betong. 

Program bermula tepat jam 10.00 pagi dan dimulai dengan aktiviti nyanyian bersama yang dipimpin oleh Fr Jerome Juleng. 

Ia diikuti dengan ucapan kata-kata aluan daripada Pengerusi Marian Guild St Ignatius, iaitu Dorris Manjan, disusuli dengan sesi berkenalan bersama umat rumah panjang. 

Atur cara seterusnya adalah ceramah bertajuk ‘Apa itu Rosari’ yang dikongsikan oleh Roselinder John.

Aktiviti menarik lain yang telah diadakan adalah pertandingan kuiz berdasarkan pengisian ceramah yang telah diberikan selain aktiviti permainan, iaitu mini sukaneka. 

Aktiviti ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada umat rumah panjang apabila masing-masing mengambil bahagian dalam kategori dewasa dan kategori kanak-kanak bagi setiap permainan yang diatur. 

Pemenang menerima hadiah untuk permainan sukaneka. (Gambar: Rita Aba)
Sumbangan bakul makanan kepada ahli keluarga yang memerlukan. (Gambar: Rita Aba)

Lebih meriahnya lagi, semua pemenang bagi setiap aktiviti yang diadakan telah menerima hadiah yang menarik pada akhir program. 

Atur cara seperti sumbangan bakul makanan turut diadakan kepada lima anggota keluarga yang memerlukan. 

Program ini diakhiri dengan aktiviti ‘merarau’ (makan tengah hari) dengan pelbagai juadah disediakan oleh ahli Marian Guild untuk dikongsikan bersama umat rumah panjang. 

Sambutan daripada umat rumah panjang sangat menggalakkan dan pihak Marian Guild Saratok telah merancang untuk membuat lawatan susulan ke rumah panjang ini. 

Kejayaan program ini adalah hasil komitmen dan kerjasama semua AJK Marian Guild Saratok sendiri selain sokongan daripada Pengerusi Gereja St Ignatius yang telah menyumbang kepada kelancaran program ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.