Oleh Gregory Roy Kiyong
KOTA PADAWAN — Gereja Paroki St Ann, Kota Padawan, telah mengadakan “Malam Puji Sembah dan Penyembuhan” secara dalam talian yang disiarkan secara langsung melalui saluran YouTube dan Facebook pada 22hb November 2020.
Program ini biasanya dilakukan sekali dalam sebulan iaitu pada setiap Hari Minggu ketiga.
Diimbas kembali Malam Puji Sembah sebelum ini, begitu ramai jemaat yang datang dari seluruh pelusuk daerah untuk bersama-sama memuji dan menyembah serta menginginkan pengalaman disentuh oleh Roh Kudus dan menerima urapan daripada Tuhan Yesus.
Disebabkan oleh penularan wabak pandemik COVID-19, program ini telah ditangguhkan agak sekian lama.
Pihak Paroki St Ann telah mengambil langkah alternatif dengan mengadakan “Malam Puji Sembah dan Penyembuhan” ini melalui saluran YouTube dan Facebook, kerana begitu ramai jemaat sering bertanya mengenainya.
Dianggarkan lebih 20 ribu orang penonton telah mengikuti tayangan ini secara dalam talian. Di sini jelas menunjukkan begitu ramai umat di luar sana yang begitu rindu memuji dan menyembah Tuhan Yesus serta menginginkan sentuhan peribadi daripada Roh Kudus serta menerima urapan penyembuhan dari Tuhan Yesus.
Acara “Malam Puji Sembah dan Penyembuhan” ini dimulakan dengan nyanyian puji-pujian dan diselitkan dengan ungkapan doa yang lahir daripada benak diri yang ikhlas serta lafaz senandung Roh yang dibimbing oleh Friar Don Don Ramerez, OFM dan dibantu oleh Saudari Jenny dan Saudari Nathalie.
Pada malam itu juga, pembacaan Kitab Injil dan sesi pengkongsian disampaikan oleh Friar Don Don.
Acara kemuncak pada malam tersebut adalah Adorasi Tubuh Yesus. Tubuh Kristus yang terletak indah di dalam Monstrans Kudus dibawa masuk ke ruang altar agung gereja oleh Friar David Au, OFM di mana umat boleh melakukan adorasi dan menzahirkan doa-doa serta memohon permintaan peribadi melalui siaran tersebut.
Friar Don Don juga telah memimpin jemaat dengan memohon berkat kuasa penyembuhan dari Tuhan Yesus. Sesungguhnya tidak ada kuasa yang terlalu besar sehingga tidak dapat dikalahkan oleh Tuhan Yesus, dan tidak ada persoalan yang terlalu rumit sehingga tidak dapat diselesaikan oleh Tuhan Yesus. Malam Puji Sembah dan Penyembuhan tersebut diakhiri dengan madah dan nyanyian puji syukur kepada Tuhan Yesus.