Majlis Makan Malam Mantar Gawai 2024 di Gereja Mater Dei Lutong

SIAP SEDIA…Suasana sambutan Majlis Makan Malam Mantar Gawai 2024 di Dewan Madonna, Gereja Mater Dei, Lutong, Miri.

Oleh Andrian Enggkin & Tony William

MIRI — Perayaan Gawai yang diraikan oleh masyarakat Dayak di Sarawak menjadi contoh perpaduan pelbagai etnik di wilayah ini khasnya dan negara amnya.

Pada asalnya, Hari Gawai adalah perayaan yang lebih berbentuk keagamaan bagi suku kaum Dayak sebagai tanda berterima kasih kepada ‘Petara’ di atas hasil tuaian yang telah diperoleh, dan pada masa yang sama, memohon berkat sebelum memulakan penanaman padi untuk musim seterusnya.

Pada hari ini, perayaan Hari Gawai Dayak dihangatkan lagi dengan sambutan Pra-Gawai bagi memeriahkan lagi suasana. 

Kemeriahan Sambutan Mantar Gawai Dayak 2024 turut dirasakan di Dewan Madonna, Gereja Mater Dei, Lutong, di sini pada 24 Mei lalu, yang sangat dinanti-nantikan oleh umat, khususnya dari Paroki Katedral St Joseph (SJC). 

Persediaan rapi telah dirancang bagi menjayakan acara tersebut di bawah kelolaan Rosjina dari Bahagian Kehidupan Paroki, Majlis Pastoral Iban Gereja Mater Dei, Lutong, dengan kerjasama erat Grace Asong dari Kehidupan Paroki, Paroki SJC.

Acara bermula dengan Misa Kesyukuran untuk meraikan kejayaan dan hasil tuaian yang berlimpah, dan berakhir dengan Majlis Makan Makan Bersama sempena Mantar Gawai Dayak 2024.

Majlis dimulakan dengan tarian ‘ngajat nyambut temuai’ yang dipersembahkan oleh Tuai Gawai, iaitu Abraham Amit dan Margaret Unggam, diikuti dengan perarakan masuk tetamu VIP, termasuk Uskup Richard Ng dan Fr Jack Nayak.

Doa membukaan dipimpin oleh Katekis Philip, dan selesai doa pembukaan, hadirin disajikan dengan jamuan keluarga atau ‘potluck’ yang merangkumi masakan pelbagai kaum etnik.

Ia diserikan lagi dengan acara ‘ngeradak ai pengayu’ atau lebih kerap dipanggil ‘ai tuak/tapai’, untuk mengucapkan selamat serta syukur atas nikmat dan kurniaan yang berlimpah di atas hasil tuaian dan memohon rahmat bagi seisi keluarga. 

Laungan “Ooohaaa” sebanyak tujuh kali dilakukan sebagai tanda keselamatan dan kemurahan rezeki yang berlimpah sepanjang tahun yang mendatang. 

Tarian tradisional berbilang kaum yang ada dipersembahkan, seperti Iban (ngajat dan taboh), Orang Ulu (Datun Julut), Bidayuh (Bi-Langgi) dan Berawan (Matang Baylai).

Acara kemuncak Majlis Makan Malam Mantar Gawai 2024 adalah ‘Ngetas Ranyai’. 

Tuai Gawai diberi kepercayaan mendahului acara ‘ngetas buah ranyai’ diikuti Uskup Richard, beberapa religius dan tetamu khas lain dengan pelbagai ragam dan gimik ditonjolkan sehinggakan kemeriahan suasana dapat dirasai di seluruh pekarangan gereja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.