Majlis Makan Malam Apresiasi Gereja St Patrick Masaan meriah

Semua AJK Majlis Makan Malam Apresiasi St Patrick, Masaan bergambar bersama Friar Don Don, OFM (baju putih, tengah) dan Willie (baju putih, kanan).

Oleh Edward Janer Jikel

KOTA PADAWAN — Buat julung kalinya, Gereja St Patrick, di Masaan bawah naungan Paroki Santa Anna, Kota Padawan, telah berjaya menganjurkan Majlis Apresiasi pada 26 April lalu di Dewan Masyarakat Siburan yang terletak di Kilometer 30, Jalan Kuching-Serian.

Pengerusi gereja, Robert Awet, memaklumkan dalam ucapannya bahawa tujuan utama Majlis Apresiasi ini diadakan adalah untuk menghargai jasa serta pengorbanan ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) yang telah berkhidmat demi gereja dan umat di St Patrick. 

Beliau juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada AJK gereja yang lama dan baharu atas komitmen yang amat tinggi demi kebaikan gereja serta umat dan juga Paroki Santa Anna. 

Ucapan penghargaan juga dipanjangkan kepada pihak Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di atas kepercayaan terhadap AJK gereja kerana telah meluluskan dana permulaan bagi kerja-kerja pembinaan gereja baharu St Patrick, Masaan untuk menampung jumlah umat yang semakin bertambah. 

Beliau berharap pihak UNIFOR akan terus menyalurkan dana sehingga Gereja St Patrick di Masaan dapat disiapkan sepenuhnya.

Turut berucap pada majlis yang sama ialah Rektor Paroki Santa Anna, Kota Padawan, iaitu Friar Don Don Romero Ramerez OFM, yang mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Gereja St Patrick di Masaan kerana kesudian menjemputnya untuk memeriahkan lagi Majlis Apresiasi tersebut. 

Beliau mengingatkan umat supaya sentiasa bersyukur kepada Tuhan di atas segala kurniaan, dan sentiasa berdoa untuk kebaikan semua umat yang bekerjasama sebagai satu pasukan bagi memudahkan semua urusan gereja.

Majlis Apresiasi itu juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran Datuk Willie Mongin selaku Ahli Parlimen P198 Puncak Borneo serta rombongan. 

Dalam ucapan Willie, beliau mengucapkan tahniah dan berbanyak terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur Majlis Apresiasi Gereja St Patrick, Masaan atas kesudian menjemputnya untuk menyertai umat. 

Beliau memohon agar umat sentiasa bekerjasama dengan wakil rakyat supaya apa sahaja masalah serta keperluan dapat dibincangkan serta dilaksanakan bersama. 

Beliau memberikan contoh pembangunan Gereja St Patrick, Masaan yang baharu hendak didirikan dan amat memerlukan dana yang banyak untuk menyediakan tempat yang luas dan selesa buat umat untuk berdoa pada masa akan datang. 

Pada akhir ucapannya, Willie mengumumkan dana untuk Gereja St Patrick, Masaan berjumlah RM50,000 bagi tujuan pembinaan pagar gereja baharu serta pengurusan aktiviti gereja. 

Turut hadir pada Majlis Apresiasi tersebut adalah Friar Joseph Lee, OFM selaku Paderi Paroki St Anna, Kota Padawan, Francis Kuchares Kek selaku Pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian, Anna Dreba selaku Pengerusi Jawatankuasa Bahasa Bidayuh Biatah (BBLC), Patrick Munai selaku penyelaras ketua sembahyang Paroki Santa Anna, Patrick Lomas selaku Penasihat Komuniti Zon Siburan serta isteri, pengerusi Komiti Gereja Kampung (KGK), ketua kaum, wakil konsultan dan kontraktor. 

Majlis pada malam itu juga diserikan dengan tarian daripada belia St Patrick, Masaan, gimik perasmian model gereja baharu oleh Friar Don Don dan Willie serta semua tetamu jemputan yang hadir.

Acara kemuncak pada malam tersebut adalah cabutan tiket bertuah, tajaan lagu, karaoke dan suara emas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.