Lengkap dan Berkesan: Wanita sebagai Aktor Bebas dalam Pengurusan Kesuburan

Forum WOOMB International di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Forum bertajuk “Lengkap dan Berkesan: Wanita sebagai Aktor Bebas dalam Pengurusan Kesuburan” ini diadakan menerusi ZOOM pada 17 Mac 2021, jam 5.00 petang waktu New York.

WOOMB International, organisasi antarabangsa yang mendokong ‘Billings Ovulation Method®’ (BOM) atau Kaedah Ovulasi Billings, telah diperuntukkan masa forum di mesyuarat tahunan ke-65 Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Status Wanita sebagai sebuah program selari.

Ahli-ahli panel adalah Dr Mary Martin (Amerika Syarikat), Dr Marguerita Duane (Amerika Syarikat), Dr Flor Ortega (Guatemala) dan Dr Lek-Lim CHAN (Malaysia).

Dr Chan berucap terlebih dahulu dan beliau menggariskan bagaimana daripada pengalamannya mengajar dan menggalakkan kesedaran kesuburan menerusi BOM, beliau mendapati bahawa kaum wanita diperkasakan apabila mereka memahami kitaran kesuburan dan ketidaksuburan mereka, iaitu lebih daripada sekadar memberi perhatian kepada haid sahaja.

Beliau menggariskan bagaimana mereka yang mengalami haid yang tidak menentu berada dalam situasi lebih buruk. Selalunya, mereka tidak tahu kenapa dan hampa kerana mereka rasa tidak seperti wanita ‘normal’ lain, dan apa yang mereka dapat hanyalah ‘ubat’ untuk mengeluarkan haid mereka dan tidak tahu punca sebenar.

Kadang-kadang, pasangan suami-isteri mungkin mengalami kesukaran untuk hamil selepas beberapa tahun mendirikan rumah tangga dan apa yang mereka perlukan hanyalah untuk belajar mengenal pasti bila fasa kesuburan si isteri dan tidak bergantung kepada ovulasi Hari Ke-14 yang sekadar mitos.

Dr Chan mengetengahkan bagaimana seseorang wanita itu dapat mengalami haid yang kerap tetapi tidak berovulasi dan carta BOM akan mendedahkan perkara tersebut.

Beliau memberikan satu kajian kes melibatkan seorang wanita berusia 31 tahun yang diberitahu oleh pakar ginekologi atau sakit puan bahawa dia mungkin akan mengalami menopaus atau putus haid dalam masa dua tahun lagi selepas satu saringan hormon wanita dibuat.

Namun carta menunjukkan haid biasa yang tetap dengan aktiviti folikel tetapi mungkin tanpa ovulasi. Saringan Vitamin D menunjukkan kekurangan dan menambahnya dengan suplemen Vitamin D3 digabungkan dengan pengetahuannya tentang hari-harinya yang subur, membolehkannya untuk hamil selepas penantian selama lapan tahun.

Beliau memberikan kes kedua melibatkan seorang wanita yang sudah mendirikan rumah tangga selama empat tahun tetapi belum juga hamil.

Wanita itu mengalami haid yang sangat tidak menentu. Kedua-dua ibu bapa merupakan diabetik atau ada kencing manis.

GTTI (Saringan Toleransi Glukos dengan Insulin) 5 titik yang dihasilkan oleh Prof Pilar telah dijalankan dan ia mendedahkan tentangan kepada insulin yang sangat teruk. Dia juga kekurangan Vitamin D.

Rawatan dimulakan dan dia akhirnya mengalami haid yang tetap dan kemudian dengan ovulasi. Dia kemudian hamil, sesuatu yang amat mengejutkan dan menggembirakannya dan suami.

Pengetahuan tentang isu sebenar serta kitaran kesuburan dan ketidaksuburannya telah memperkasakannya untuk mengandung lagi dengan anak keduanya.

Mary Martin bermula dengan menyatakan, walaupun beliau memiliki latihan perubatan yang sangat luas, termasuk obstetrik dan ginekologi, beliau sebenarnya tidak mempelajari ginekologi sehinggalah beliau menyertai latihan BOM di Australia.

Beliau berkata jika seseorang isteri itu tidak dapat hamil dalam tiga (3) kitaran subur, ia memerlukan pemeriksaan selanjutnya.

Beliau menyokong definisi Prof Pilar Vigil bagi maksud kitaran haid yang tidak normal – dua (2) kitaran berturut-turut tanpa ovulasi ATAU mana-mana tiga (3) kitaran dalam tahun kalendar tanpa ovulasi. (Ini sudah tentulah dapat dipantau menerusi carta kitaran haid.)

“Ini membezakan pendekatan kita daripada rakan-rakan sekerja kita.”

Seterusnya untuk berucap adalah Marguerita Duane, pengasas bersama dan Pengarah Eksekutif FACTS (Fertility Appreciation Collaborative to Teach the Science atau Kolaboratif Apresiasi Kesuburan untuk Mengajar Sains).

Beliau bermula dengan bercakap mengenai bagaimana FACTS memberi tumpuan khusus kepada usaha mendidik golongan profesional penjagaan kesihatan dan pelajar tentang kaedah perancangan keluarga berasaskan kesedaran tentang kesuburan semula jadi yang sahih dari segi saintifik.

Beliau menggambarkan tanda-tanda kitaran wanita sebagai Tanda Penting Ke-5, manakala empat lagi adalah 1. Kadar penafasan, 2. Kadar jantung, 3. Suhu, 4. Tekanan darah.

Satu lagi perkara yang diketengahkan oleh Marguerita ialah kaedah perancangan keluarga semulajadi berasaskan kesedaran kesuburan merupakan kaedah perancangan keluarga yang sebenarnya kerana ia berguna untuk mencapai kehamilan mahupun menangguhkannya.

Sebagai seorang pendidik TeenStar, beliau bercakap mengenai pembabitannya dalam usaha mengajar kesedaran tentang kesuburan kepada gadis-gadis supaya mereka boleh menghargai dan menghormati tubuh badan mereka. (TeenStar®, satu hasil sampingan daripada BOM, merupakan pendidikan seks yang sihat bagi golongan remaja.)

Marguerita menyebut tentang kes seorang gadis berusia 15 tahun yang dibawa masuk oleh ibunya selepas menemui lelehan pada seluar dalamnya dan menyangka anaknya itu mungkin telah menjadi aktif dari segi seksual atau mengalami jangkitan.

Selepas dia diajar untuk mula menyimpan carta, ia didapati mukus servik dan gadis itu teruja apabila dia dimaklumkan bahawa simptom tersebut memberitahunya tentang haidnya yang akan datang.

Namun ibunya tidak ingat pernah mempunyai mukus sedemikian kerana dia mengambil pil pencegahan kehamilan yang telah menahan hormon semulajadi, tanda dan simptomnya.

Penceramah terakhir, Flor Ortega dari Guatemala, bermula dengan memberitahu bahawa beliau sendiri tidak hamil selama tiga tahun selepas berkahwin.

Kemudian beliau menjumpai perancangan keluarga semulajadi yang akhirnya membolehkannya untuk hamil dengan anak pertamanya.

Beliau menceritakan tentang kes salah seorang pesakitnya yang datang haid tidak menentu, gemuk dan tidak dapat hamil.

Selepas menjalani semua protokol perubatan biasa tanpa sebarang kejayaan, dia datang kepada Flor yang akhirnya merawatnya bagi tentangan insulin dan dia hamil dengan gembiranya.

Pembentangan disusuli sesi Soal Jawab. Rakaman sesi boleh ditonton di https://youtu.be/2ktSTag9XQE.

Sumbangan (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Full and Effective: Women as Independent Actors in Fertility Management

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.