Lawatan persaudaraan perkumpulan wanita Gereja St Stephen Bau ke paroki Sri Aman

KENANGAN… Sesi bergambar ahli-ahli Ladies Guild bersama Fr Henry anak Jimbey (lima kiri) setelah tamat program. (Gambar: Wetner Joing)

Oleh Wetner Joing

SRI AMAN — Pada 23–24 April yang lalu, seramai 26 orang ahli Ladies Guild dari Paroki St Stephen, Bau telah mengadakan lawatan persaudaraan ke Paroki Our Lady Queen of Peace, Sri Aman.

Lawatan yang julung kalinya diadakan oleh perkumpulan wanita itu bertujuan untuk mengeratkan ikatan persaudaraan dalam kalangan ahli perkumpulan wanita dari kedua-dua paroki tersebut.

Lawatan itu dimulai dengan perayaan Misa Kudus di Chapel Mount Hosanna.

Melalui lawatan tersebut, semua ahli Ladies Guild dapat mengenali satu sama lain dengan lebih dekat lagi serta membawa Tuhan Yesus sebagai tunjang pergerakan mereka dalam pelayanan di gereja.

KHUSYUK… Sesi pengisian bersama-sama ahli-ahli Ladies Guild kedua-dua paroki. (Gambar: Wetner Joing)

Kenyataan itu jelas diterjemahkan di dalam ucaptama pengerusi Ladies Guild Our Lady Queen of Peace, Puan Victoria, yang menegaskan bahawa setiap tugasan mingguan yang dijalankan di gereja didasari kerendahan hati dan kesederhanaan diri.

Beliau juga menambah bahawa kesatuan setiap ahli bukan sekadar didasari keinginan untuk melayan tetapi ia juga harus dikuatkan dengan kerohanian yang mendalam agar ahli tidak terjatuh ke dalam perangkap kesombongan atau tinggi diri lantaran tugasan yang telah dilaksanakan.

Aktiviti seterusnya dijalankan pada waktu malam seperti barbeku, karaoke dan nyanyian serta beramah mesra dalam kalangan ahli-ahli Ladies Guild dari kedua-dua paroki.

Ia diselit dengan perkongsian pandangan serta pendapat daripada semua ahli tentang pengalaman mereka dalam melayani gereja.

Aktiviti diteruskan pada keesokan hari dengan satu ceramah tentang ‘Kerohanian Ladies Guild’ yang dipimpin oleh Fr Henry anak Jimbey.

Anggota keluarga beberapa ahli Ladies Guild turut menghadiri ceramah tersebut. Ia telah diakhiri dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Henry sebelum sesi bergambar bersama diadakan untuk kenangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.