Krisma menguduskan semua orang yang menerimanya

DIKUDUSKAN … Uskup Agung Simon Poh (memegang krosier) bersama Uskup Agung Emeritus Peter Chung (di sebelah kanannya), Uskup Agung Emeritus John Ha (di sebelah kirinya) dan para paderi Keuskupan Agung Kuching, 5 April 2023. (Semua gambar: Danison Manium)

KUCHING — Misa Krisma, yang menurut tradisi dirayakan oleh Uskup setiap keuskupan bersama para paderi dari seluruh keuskupannya pada Hari Khamis Putih, diadakan sehari lebih awal bagi para paderi di Keuskupan Agung Kuching.

Pada pagi Rabu 5 April, para paderi di Kuching menghadiri rekoleksi untuk bersiap sedia bagi Misa Krisma pada sebelah petang di mana mereka akan memperbaharui komitmen yang mereka buat pada waktu pentahbisan mereka.

Ini juga untuk membolehkan mereka merayakan Trihari Paska bermula Khamis bersama umat paroki masing-masing.

Turut merayakan Misa Krisma yang dipimipin oleh Uskup Agung Simon Poh adalah kedua-dua Uskup Agung Emeritus Peter Chung dan John Ha.

Selepas memberkati jemaat dengan Kitab Injil, Uskup Agung Simon menjelaskan perkataan ‘krisma’ diambil daripada perkataan Yunani ‘chrisma’ yang bermaksud ‘pengurapan’.

Pemberkatan dan Konsekrasi Minyak Suci

Dalam Misa itu, Minyak Orang Sakit dan Minyak Katekumen diberkati manakala Minyak Krisma dikonsekrasi. 

Minyak Krisma dan Minyak Katekumen digunakan untuk Sakramen Pembaptisan dan Sakramen Kepaderian, manakala Minyak Orang Sakit digunakan untuk mengurapi orang sakit.

Konsekrasi Minyak Krisma mengasingkannya daripada minyak lain untuk menunjukkan kepentingannya. 

Prelatus itu menjelaskan bahawa “Krisma menguduskan semua orang yang menerimanya” dan “itulah sebabnya kenapa Misa ini dipanggil ‘Misa Krisma’”. 

Misa itu turut meraikan ikatan erat di antara Uskup dan para paderinya yang sama-sama ada bahagian dalam ministri kepaderiannya.

Pembaharuan Komitmen Kepaderian

Uskup Agung Simon menambah bahawa komitmen seseorang paderi adalah “untuk dapat melayani anda dalam sakramen-sakramen, yang berkait rapat dengan minyak-minyak ini, bagi pembaptisan, penguatan dan khususnya pengurapan orang sakit, bersama komuni (kesatuan) orang sakit dan nazak”.

PATUH… Para paderi memperbaharui ikrar kepatuhan mereka kepada Uskup Agung serta komitmen mereka untuk melayan umat Allah, 5 April 2023, di Katedral St Joseph Kuching.

“Misa Krisma meraikan identiti kita sebagai Umat Pilihan Allah. Uskup, paderi dan umat awam, sama-sama sebagai sebuah gereja tempatan atau dalam ungkapan pada hari ini kita panggil Gereja Sinodal, berjalan bersama-sama sebagai satu komuniti iman,” kata Uskup Agung Simon.

Beliau dengan rendah hati memohon doa bagi dirinya dan para paderi kerana mereka adalah kolaboratornya yang terdekat.

Beliau meminta Tuhan memberikan pastor yang baik kepada Keuskupan Agung Kuching untuk melayan di paroki-parokinya.

“Semua kami adalah manusia, tetapi dengan kefahaman anda, kami dapat menjadi pastor yang lebih baik untuk melayan anda. Jadi, berdoalah kepada Tuhan tuaian untuk memberikan gembala yang berkenan di hati-Nya,” katanya.

Minyak Suci untuk Katedral St Joseph, Kuching
Minyak Suci untuk Gereja Holy Spirit, Lundu

Uskup Agung Simon menambah, semua orang Katolik yang dibaptis “diasingkan dan diutuskan demi misi untuk membawa kerahiman, kasih dan harapan Kristus kepada semua umat dalam keluarga dan masyarakat kita dan di mana sahaja kita berada”.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Catholics told ‘Chrism consecrates everyone who receives it’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.