KUCHING — Jawatankuasa Jururawat dan Pembantu Sosial Perubatan Katolik Antarabangsa (CICIAMS) telah mengadakan Kongres Dunia Ke-20 di Kuching pada 4 hingga 7 September lalu, yang dihoskan oleh Catholic Nurses Guild Malaysia.
Tema bagi Kongres 2018, ‘Pendidikan untuk Kesihatan Lestari: Menangani Pembangunan, Menghormati Kehidupan’, diilhamkan oleh Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015.
Seramai 280 wakil delegasi, termasuk wakil delegasi tuan rumah, menyertai kongres ini, dengan 149 wakil delegasi antarabangsa dari 18 buah negara Afrika, benua Amerika, Eropah dan Asia.
Dua penceramah utama menyentuh tentang tema kongres dengan meluas; Kardinal K. A. Peter Turkson, yang merupakan Pengawas bagi Dikasteri untuk Menggalakkan Pembangunan Manusia Bersepadu, dan Profesor Datuk Dr Andrew Kiyu Dawie dari UNIMAS yang berucap mengenai Menghormati Kehidupan.
Sebanyak empat sesi plenari disampaikan dengan penceramah dari Amerika Syarikat, Singapura dan Afrika Selatan, manakala empat sesi meja bulat diadakan bersama penceramah dari England dan Wales, Ireland, Mexico, Nigeria, Swaziland, Singapura dan Malaysia yang membahagikan pengetahuan dan pengalaman mereka yang meluas dengan wakil delegasi.
Sesi meja bulat memberikan kepada wakil delegasi perspektif dan gambaran yang unik dari pelbagai rantau dan negara tentang perkara-perkara penting yang memberi impak secara langsung kepada pembangunan lestari – isu-isu kebajikan yang menjejaskan kanak-kanak, belia dan warga emas dalam masyarakat.
Peranan jururawat dan bidan dalam dunia kontemporari pada hari ini tidak boleh diketepikan seperti apa yang didengari delegasi daripada penceramah dari Kenya, Mexico dan India tentang cabaran yang dihadapi jururawat dan pengamal lain dalam usaha menggalakkan dan melestarikan pembangunan kesihatan awam dalam bidang pemeliharaan alam sekitar dan dalam usaha menggalakkan penjagaan kesihatan yang holistik serta kesejahteraan keluarga, komuniti dan masyarakat.
Sepanjang Kongres, delegasi dilayan dengan keramahan Malaysia di mana pelbagai hidangan tradisional kaum entik dan tarian kebudayaan telah dipersembahkan.
Kongres ini berakhir dengan Misa Penutupan di Katedral St Joseph yang dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh bersama Uskup Agung Emeritus John Ha, Uskup Cornelius Sim yang merupakan Presiden Suruhanjaya Penjagaan Kesihatan Pastoral dalam Persidangan Uskup-uskup Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei.
Paderi dari negara peserta bersama paderi tempatan turut menyertai perayaan penutupan Kongres Dunia XX CICIAMS.
Catherine Pero, selaku Pengerusi Penganjur Jawatankuasa Kerja bagi Kongres Dunia XX CICIAMS, membahagikan beberapa perkara paling mencabar yang beliau dan jawatankuasa kerjanya hadapi dalam usaha untuk menganjurkan persidangan peringkat dunia itu selama empat tahun persiapan dijalankan.
“Cabaran terbesar adalah 2C, iaitu ‘coordination’ (penyelarasan) dan ‘communication’ (komunikasi), dalam usaha menganjurkan kongres dengan program pelbagai segi. Ini adalah kerana kita ada tiga badan utama yang berpangkalan di tiga buah kawasan geografi yang berlainan (Ireland, Kota Kinabalu dan Kuching) yang bekerja dalam usaha berpasukan yang bersepadu untuk menganjurkan Kongres ini. Selain itu, kita ada ahli dalam jawatankuasa kerja kita dari seluruh Malaysia. Tambahan lagi, kita ada pelbagai peringkat kelulusan di dalam Gereja selain dengan kerajaan yang diperlukan bagi keputusan tertentu untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
Dalam semua itu, cabaran adalah untuk memastikan semua orang berkenaan sentiasa diberi maklumat dan dikemaskinikan dalam setiap langkah perjalanan.
Kedua, memandangkan pendaftaran peserta dibuat secara berasingan oleh sebuah badan lain, ia adalah sukar untuk menjangkakan keperluan delegasi yang datang dari 21 buah negara di seluruh dunia termasuk sekumpulan warga Mexico yang tidak bercakap dalam Bahasa Inggeris, dan memerlukan kami untuk mencari seorang penterjemah Bahasa Sepanyol.
Pada mulanya sambutan dari seberang laut dan delegasi tempatan tidak begitu menggalakkan, menjadikannya mencabar bagi Jawatankuasa Kerja untuk menentukan dan mengesahkan pelbagai program sampingan bagi kongres ini. Ahli tempatan merasakan yuran kongres tidak dapat dijangkau mereka. Maka itu Jawatankuasa Kerja perlu mengumpul dana dan mencari penaja untuk membantu dengan yuran pendaftaran bagi wakil delegasi yang layak. Sehubungan ini, kami sangat gembira kerana kami berjaya mendapatkan tajaan untuk lapan wakil delegasi asing dan 14 orang paderi dan religius tempatan dari Sabah dan Sarawak. Selain itu, geran sebanyak RM40,000 daripada Kerajaan Negeri Sarawak amat bertepatan sekali kerana ia membantu untuk menampung sebahagian daipada perbelanjaan penganjuran.”
Mengenai harapan dan aspirasi beliau dari kongres itu, Catherine berkata, “Agar Catholic Nurses Guild (CNG) Malaysia diperkenalkan kepada dunia dan kongres ini telah memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh penganjur dan delegasi.
“Bagi delegasi, saya harap mereka memperolehi pengetahuan dan pemahaman yang lebih baik tentang kebudayaan dan bahasa kita menerusi pelbagai program sampingan yang kami telah atur untuk mereka.”
Mengenai beberapa nilai yang beliau telah perolehi daripada penganjuran Kongres ini, yang beliau ingin kongsikan bersama pembaca Today’s Catholic, Catherine berkata ia adalah sangat penting untuk sentiasa berdoa dan memohon campur tangan Tuhan. Rendahkan hati dan beranikan diri untuk bertanya apabila ada keraguan dan sentiasa bersabar kerana perselisihan sentiasa akan ada.
“Hargai anggota pasukan anda dan mereka yang membantu menjayakan acara anda,” ujarnya.
Akhir sekali, katanya, ia juga amat penting untuk sentiasa memaklumkan anggota pasukan, mendapatkan cadangan mereka dan membuat perancangan sebagai persiapan untuk sebarang kemungkinan. Baginya, ia adalah satu kepuasan untuk melihat usaha berpasukan yang bersepadu serta sesuatu yang menggembirakan untuk melihat cabaran berjaya diatasi dengan penyelesaian yang kreatif.
Catherine Pero juga merupakan Naib Presiden Catholic Nurses Guild Malaysia. Beliau kini seorang pensyarah dan Ketua Sekolah Kejururawatan di Kolej Teknologi Lanjutan Antarabangsa Sarawak. Beliau mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam bidang kejururawatan, termasuk 10 tahun dalam kejururawatan amali dan 30 tahun dalam pendidikan.
Marcella Zhang (Terjemahan)
Berita yang sama dalam Bahasa Inggeris: Nurses congregated for their 20th World Congress in Kuching
Video temuramah bagi peserta-peserta CICIAMS dari luar negara: CICAMS XX World Congress – Testimony from Sr Nancy Cheung
Today’s Catholic Vol.30 No.7 October 2018
[…] Same news in BM: Jururawat dan pengamal perubatan antarabangsa menghadiri Kongress Dunia XX CICIAMS […]