Ketika kita melayari tahun kedua bagi COVID-19, virus itu ternyata tidak asing lagi. Bangunan gereja terpaksa ditutup, dengan sekatan demi sekatan. Misa strim secara langsung sudah mengambil-alih dan Sekolah Hari Minggu, RCIA dan kursus pra-perkahwinan kini dikendalikan dalam talian. Ia tidak melepaskan saudara-saudari kita daripada risiko jangkitan. Kita juga ingat kepada mendiang Andre Ong, seorang ketua belia yang berdedikasi dan penceramah jemputan bagi Empowered Ministry Kuching, yang telah dipanggil pulang oleh Tuhan pada bulan lepas.
Pasangan suami isteri Donald dan Marina Tan (kedua-duanya dalam lingkungan awal 50an), merupakan anggota paroki Katedral St Joseph, Kuching dan kerap memberi sumbangan kepada Keuskupan Agung Kuching. Dalam rencana ini, mereka menceritakan secara terperinci tentang pengalaman mereka selama sebulan selepas dijangkiti virus itu—semenjak pertama kali kejadian itu berlaku kepada mereka pada hujung April sehingga mereka dibenarkan pulang dari hospital pada hujung Mei. Sementara Sarawak terus menjalankan vaksinasi secara besar-besaran, kesaksian mereka memberi pemahaman yang lebih baik tentang virus itu dan mendorong orang untuk mendapatkan vaksin.
Today’s Catholic telah membahagikan kisah Donald dan Marina seperti yang diceritakan oleh Donald.
Selepas 30 hari di hospital dengan hampir dua minggu dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), termasuk diintubasi dan mengharungi masa paling mencabar dengan keadaan COVID-19 Peringkat 5, saya amat gembira apabila saya dibenarkan pulang pada Jumaat, 28 Mei. Pengalaman kami dengan COVID-19 telah membuatkan Marina dan saya lebih menghargai kehidupan, orang yang kami sayangi, rakan-rakan dan satu sama lain.
BAGAIMANA KAMI DIJANGKITI VIRUS ITU, PADA PENDAPAT KAMI
Selepas lebih setahun mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 dan terus aktif bersama sekumpulan rakan biasa dengan menunggang basikal gunung kami, ia hanya memerlukan sedikit penyimpangan sahaja.
Marina mengalami satu ‘kemalangan’ di laluan MASJA Mountain Bike Trail pada 22 April lepas di mana dia terseliuh dan mengalami keretakan tulang metarsal tengah kanannya (bahagian atas kaki) ketika dia turun dari basikal. Sehari kemudian, kami pergi ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan dan kami yakin bahawa kami telah dijangkiti virus yang berbahaya ini ketika menunggu imbasan CT dilakukan ke atasnya.
Tidak sampai seminggu selepas lawatan itu, saya mula rasa lemah dan tidak sihat, diikuti Marina, dan kami segera meletakkan diri dalam kuarantin dan mendapatkan saringan calitan pada 28 April. Kami dibangunkan oleh satu panggilan telefon pada jam 3:11 pagi pada 29 April lalu yang memaklumkan kepada kami bahawa saringan calitan kami adalah positif dan sebuah ambulans akan menjemput kami pada hari itu untuk membawa kami ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
Pada waktu senja, kami memaklumkan keluarga dan rakan-rakan yang telah mendekati kami sepanjang minggu sebelum keputusan saringan calitan kami keluar. Beberapa hari kemudian, kami rasa amat lega sekali apabila semua mereka memberitahu kami bahawa mereka sudah melakukan saringan calitan dan keputusan mereka negatif.
PENJAGAAN PERUBATAN YANG AMAT BAIK
Ambulans menyinggahkan kami pada jam 4.00 petang dan kami dimasukkan ke pusat kuarantin di Bilik 401 Anjung Kasih yang bersambung dengan HUS. Kami segera menjalani saringan yang diperlukan.
Kami menjalani pemeriksaan selanjutnya pada keesokan pagi (30 April) dan setelah sinaran-x yang lewat dan lambat selepas tengah hari, doktor pantas memaklumkan kepada kami bahawa gambar sinaran-x dan ujian darah saya kelihatan tidak bagus dan tahap oksigen juga rendah. Syukur kerana keadaan Marina jauh lebih baik dan tahap oksigennya bagus, cuma sakit kepala, demam dan batuknya sahaja yang perlu dirawat dan tidak begitu membimbangkan. Dalam masa sejam seterusnya, kami diberitahu bahawa kami akan dipindahkan ke wad COVID-19 HUS.
Sementara menunggu ambulans untuk memindahkan kami ke wad, saya diberi suntikan dan hampir pengsan di ruang menanti, kejadian menakutkan yang pertama antara banyak pengalaman yang menakutkan.
UNIT-UNIT RAWATAN RAPI & DIPENDENSI TINGGI
Di wad, kami segera disoal, diperiksa dan dipantau oleh doktor dan jururawat. Selepas banyak sesi mengambil darah dan tiga hari kemudian pada Isnin, 3 Mei, saya dipindahkan ke Unit Dipendensi Tinggi (HDU) untuk bekalan oksigen yang lebih baik. Itulah kali terakhir saya melihat Marina sehingga saya dibenarkan pulang dari hospital.
Pada ketika itu, dengan rahmat Tuhan, kami dapat mengekalkan penampilan yang positif dan menyerahkan prosedur rawatan kepada doktor. Doa-doa dan kepercayaan kami adalah sepenuhnya bersama Tuhan kita yang Baik, dan doktor serta jururawat kita yang berupaya dan berdedikasi ini akan menjadi alat bagi Tuhan untuk memulihkan saya nanti.
Pemisahan ini daripada orang yang tersayang ternyata bahagian yang paling sukar sekali bagi semua pesakit COVID-19. Tidak kira betapa susahnya keadaan, anda perlu mengalami semua ini keseorangan, termasuk kesudahan paling buruk, iaitu meninggal dunia bersendirian. Walaupun kedua-dua kami berfikiran positif sepanjang pengalaman ini, kemungkinan yang menakutkan ini sentiasa berada di belakang fikiran saya.
Oleh kerana keadaan saya tidak bertambah baik walaupun dengan bekalan oksigen yang tinggi, ia memang tidak dapat dielakkan bahawa saya akan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pada Rabu, 5 Mei, saya telah dibawa ke Katil 6 ICU. Walaupun perkara ini menakutkan, saya bersedia untuk apa jua prosedur yang akan dilakukan ke atas saya dan bertekad untuk menjadi pesakit contoh. Sekitar jam 3.00 petang pada 11 Mei, saya diberi ubat pelali, diintubasi dan diletakkan dalam posisi meniarap untuk memudahkan fungsi paru-paru.
Pada hari yang sama ini, Marina dipindahkan ke wad pemulihan COVID-19/Psikiatri yang lebih senyap. Marina menjalani sinaran-x pada 12 Mei ke atas kakinya yang retak. Pada Khamis 13 Mei, salah seorang doktor memberitahu Marina dari ICU bahawa intubasi saya sudah dihentikan tetapi keradangan paru-paru saya masih teruk. Walaupun demikian, semua organ saya yang lain berfungsi dengan baik dan berada dalam keadaan baik. Saya masih dalam keadaan terhuyung-hayang disebabkan oleh ubat pelali tetapi dapat bernafas dengan sendiri menggunakan sebuah alat oksigen (oxygen concentrator). Saya akhirnya dapat bercakap dengan Marina dan keluarga kami pada Jumaat 14 Mei.
FAKTA ATAU FIKSYEN?
Hari-hari di ICU ternyata samar-samar bagi saya kerana saya telah diberi ubat pelali, diintubasi dan sarat dengan koktel ubat yang berbagai. Mimpi dan halusinasi menjadi begitu jelas sekali sehinggakan saya mengambil masa yang agak lama untuk membezakan di antara rekaan daripada realiti.
Pada satu ketika dalam keadaan khayal, saya ingat berkata bahawa saya tidak dapat lagi meneruskan prosedur yang menyakitkan kerana ia tidak menunjukkan sebarang hasil yang positif, dan waktu sudah tiba untuk berhenti, saat yang ternyata paling buruk sepanjang pengalaman yang menakutkan ini. Senario yang mengancam ini menjadi sebahagian daripada bab dalam jalan cerita sains fiksyen luar khayalan yang hebat, termasuk satu penerbangan helikopter bersama Marina pada 15 Mei. ‘Penerbitan’ ini ternyata menyaingi beberapa karya terbaik Steven Spielberg.
Bagaimanapun ini adalah cerita untuk masa lain, mungkin ketika minum kopi, tetapi memadailah untuk menyatakan bahawa saya begitu leka dengan semua ini sehinggakan doktor dan jururawat pasti menyangka saya sudah menjadi gila. Perkara yang anehnya ialah saya ingat keadaan umpama mimpi ini dengan jelas hingga ke setiap butiran terperinci sampai ke hari ini.
Teruskan ke Halaman 2 untuk sisa cerita Donald dan Marina