Oleh Ivy Chai
KUCHING — Sebagai persiapan bagi Sinod Uskup-Uskup 2023 dan Persidangan Pastoral Seluruh Malaysia (PMPC) 2026, paroki-paroki di Keuskupan Agung Kuching mengadakan Perhimpunan Pastoral Paroki (PPA) masing-masing pada Jun-Julai 2022.
Perjalanan Sinod
Perjalanan sinod bagi Keuskupan Agung bermula dengan Hari Renungan Bersama yang dipimpin oleh Uskup Agung Simon Poh pada 16 Oktober 2021 menerusi Zoom, yang dihadiri ahli-ahli komisi dan jawatankuasa Majlis Pastoral Keuskupan Agung (APC), paderi, religius, seminarian, ahli-ahli majlis paroki dan ketua-ketua gereja. Peta Jalan menuju Sinod Uskup-Uskup 2023 dan PMPC 2026 telah dibentangkan.
Pelancaran Sinod Uskup-Uskup 2023 Peringkat Keuskupan Agung dan PMPC 2026 diadakan pada 17 Oktober 2021 dalam Misa yang distrim secara langsung.
Keuskupan Agung Kuching mengadakan Perhimpunan Pastoral Keuskupan Agung Kuching (KAPA) Pertama pada 2017. Ia disusuli Perhimpunan Golongan Paderi Katolik Malaysia (MCCA) Pertama di Pusat Majodi, Johor, pada 16–21 Julai 2018 di mana 278 paderi, yang terdiri daripada uskup agung, uskup, paderi dan diakon dari sembilan keuskupan dan keuskupan agung di Malaysia, berkumpul untuk menanggapi kehendak Allah Taala, berdoa dan membina persaudaraan.
Hasil daripada perhimpunan itu adalah kesedaran tentang keperluan bagi Gereja Malaysia untuk memberi tumpuan khusus kepada lapan perkara penting: keluarga, islamisasi atau pengislaman, belia, sekularisasi, evangelisasi atau penginjilan dan kesaksian misi, pembentukan iman, jurang perbezaan antara Malaysia Timur dan Barat, serta panggilan.
Bapa Suci, Pope Francis, melancarkan proses konsultasi selama dua tahun yang dikenali sebagai Proses Sinodal pada 2021, dan ia akan mencapai kemuncaknya di Sinod Uskup-Uskup di Rom pada 2023. Tema keseluruhannya adalah ‘For a Synodal Church: Communion, Participation, Mission’ (Bagi Gereja Sinodal: Komuni, Partisipasi, Misi).
Proses sinodal merupakan satu proses penuh doa, yang berakar-umbi dalam pertemuan dengan Yesus dan pembacaan Kitab Suci yang diiringi doa, menerusi kehidupan liturgi Gereja dengan inspirasi daripada keterbukaan kepada gerakan Roh Kudus. Proses sinodal adalah masa untuk mendengar, menanggapi dan memberi perhatian kepada apa yang disebut oleh Roh Kudus kepada kita.
Perhimpunan Pastoral Paroki (PPA)
Keuskupan Agung Kuching mengambil kira beberapa faktor dalam pertimbangannya untuk mengadakan PPA:
- KAPA kali terakhir diadakan pada 2017. Justeru, 2022 adalah masa yang baik untuk menyemak dan menilai semula prestasinya selepas lima tahun. Perkara yang khususnya menarik adalah cabaran dan keadaan tidak menentu selama dua setengah tahun lepas, yang dihadapi Gereja dan umatnya, disebabkan oleh pandemik.
- Di MCCA di Majodi pada 2018, Gereja Malaysia membuat keputusan untuk mengadakan Persidangan Pastoral Seluruh Malaysia 2026.
- Sinod Uskup-Uskup 2023.
Dengan mengambil kira acara-acara ini, Keuskupan Agung memulakan proses konsultasi dan merangka Kaji Selidik Perhimpunan Pastoral Keuskupan Agung Kuching (KAPA) 2022 yang merangkumi PPA, Sinod Uskup-Uskup 2023, Perhimpunan Wilayah Sarawak 2024 dan PMPC 2026.
Paroki-paroki mengedar borang Kaji Selidik kepada jemaat paroki secara manual dan menerusi ‘Google Forms’ dari Disember 2021 hingga Februari 2022, dan dapatan keseluruhan Kaji Selidik telah dibentangkan di Mesyuarat Lembaga APC Ke-47 pada Mac lalu.
Paroki-paroki mengadakan perbincangan kumpulan pra-PPA pada Mei lalu dan mesti melengkapkan PPA mereka dan mengemukakan Laporan Cantuman PPA mereka bagi KAPA 2022 pada hujung Julai ini.
KAPA akan diadakan pada 1–2 Oktober 2022.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Archdiocese of Kuching continues Synodal Journey with Parish Pastoral Assembly