Oleh Fr Alvin Ng, SJ
Sebuah konvoi van dan MPV yang bergerak perlahan-lahan di lebuh bandar raya pada pagi Sabtu bukan sesuatu yang membuatkan kita rasa teruja. Tetapi bagi mereka yang menaiki kenderaan-kenderaan tersebut, ada tanda keterujaan; ada rasa misi dan tujuan. Kerana dipadatkan ke dalam setiap kenderaan adalah koleksi barang makanan—bungkusan beras, beg yang dipenuhi makanan tin, biskut dan mi segera, kacang panjang, ubi kentang, lobak dan kubis selain botol minyak masak serta pek-pek gula, garam dan ikan bilis. Sebuah lagi kereta dipenuhi guni-guni selimut dan kotak-kotak pelbagai jenis barangan termasuk pek pelitup muka. Sebuah kereta lain membawa muatan telur ayam segar. Penerima barangan adalah sekumpulan orang, yang menunggu dengan penuh harapan serta jaminan bahawa mereka tidak akan tidur dalam keadaan lapar pada malam itu, dan mudah-mudahan selama dua minggu selepas itu.
Ini merupakan pengagihan bantuan makanan yang dianjurkan oleh Pelayanan kepada Pendatang atau Migran dalam Keuskupan Agung Kuching. Apa yang bermula sebagai respons satu kali kepada rayuan segera bagi bekalan makanan, pada hujung sekatan pergerakan selama tiga bulan akibat pandemik pada Mei 2020, telah menjadi satu kegiatan dwi-bulanan yang tetap sehingga hujung tahun.
Membekalkan pek makanan kepada ratusan pendatang yang tersebar di seluruh bandar raya dan sekitarnya bukan sesuatu yang mudah. Ia bermula beberapa minggu sebelum penghantaran sebenar dengan maklumat yang disampaikan menerusi jaringan pendatang dan mulut ke mulut, untuk mendapatkan nama dan jumlah orang yang memerlukan bantuan makanan.
Jumlah ini bergantung kepada siapa di kalangan para pendatang yang sudah kembali bekerja dan kurang memerlukan bantuan berbanding pendatang lain yang mungkin masih menganggur atau tidak ada pekerjaan selama berbulan-bulan dan mempunyai sedikit atau langsung tiada wang simpanan untuk ikhtiar hidup yang asas.
Seorang ketua dilantik di kalangan kumpulan dalam setiap kawasan untuk menyelaras usaha bersama para pekerja pelayanan. Ini melibatkan teks pesanan antara satu sama lain, dengan nama-nama yang disemak dan disemak semula.
Selepas nama-nama dihimpun, tempahan dibuat dengam sebuah pasar raya tempatan untuk menyediakan pek-pek makanan menurut senarai beli-belah yang disaring bagi memastikan pemakanan yang sihat dan seimbang.
Ramai bertanya kenapa sumbangan makanan tidak dipinta dari jemaat paroki yang murah hati dan pembungkusan makanan dibuat oleh sukarela Katolik. Jawapannya terletak di dalam dua perkataan yang dicetuskan oleh pandemik—penjarakan sosial – yang menjadikannya tidak selamat bagi sukarelawan untuk berhimpun bagi menerima, menyusun dan membungkus makanan yang didermakan. Maka itu, timbullah cara norma baharu untuk melangkah, yang ternyata senang dan menjimatkan masa bagi semua.
Pada masa yang ditetapkan, pek-pek makanan dari pasar raya berkenaan dihantar dan diterima oleh sukarelawan yang mengambil bahagian lalu dipunggah ke atas kenderaan-kenderaan yang khusus digunakan dalam pengagihan sebenar.
Perkara yang amat menyenangkan hati adalah kesaksian kolaborasi di antara beberapa pelayanan atau ministri yang amat baik untuk menyahut seruan Tuhan dalam Injil Matius 25: 35–40.
Anggota dari pelayanan sosial lain yang berasaskan gereja seperti Persatuan St Vincent de Paul, Kerasulan Kerahiman Ilahi, Legio Maria dan Kerasulan Belia dengan sukarela membantu menjalankan pengagihan. Pihak lain turut membantu dengan menyediakan kenderaan (van-van terbabit adalah dari Kolej St Peter), sumbangan kewangan peribadi atau menjalankan usaha mengumpul dana mereka sendiri sebagai tambahan kecil kepada sumbangan wang tunai selain bantuan makanan. Pada waktu pandemik, kita dengan cepat menyedari kepentingan hubungan internet dan selular. Sumbangan wang tunai sebanyak RM50 hingga RM100 ini selalunya membantu para pendatang untuk sentiasa berhubung kerana ia membolehkan mereka untuk menambah nilai kredit telefon mereka dan pelan data terutamanya apabila mereka tidak menerima gaji tetap disebabkan oleh pasaran pekerjaan yang tidak menentu dalam ekonomi yang dilanda pandemik. Bagi orang lain, ia dapat digunakan untuk membayar sewa atau membeli ubat-ubatan.
Taklimat keselamatan (SOP) terakhir dan doa untuk “Melihat, Menilai dan Bertindak” (See, Judge and Act) ketika bekerja di ladang anggur Tuhan diadakan sebelum konvoi belas kasihan yang gembira memulakan misinya.
Kebanyakan sukarelawan membuat kerja ini buat pertama kali; beberapa pekerja dewasa yang muda, beberapa orang pesara, beberapa orang remaja tetapi semuanya pelayan-pelayan Allah yang bersemangat dan bersedia untuk bekerja keras dan tidak meminta apa-apa sebagai balasan kecuali mengerah keringat di bawah sinaran matahari yang terik. Di setiap persinggahan, setiap sukarelawan (selepas diberi taklimat sebelum itu) ditugaskan barang makanan khusus untuk dikeluarkan dalam jumlah yang diperlukan. Sementara interaksi di antara sukarelawan dan pendatang amat digalakkan pada waktu biasa, keperluan keselamatan membenarkan hanya lanbaian tangan dan tanda tangan berdoa sahaja sebagai tanda-tanda kesatuan dengan satu sama lain pada waktu yang mencabar sekarang. Para penerima hampir segera menunjukkan kesyukuran mereka menerusi ucapan terima kasih mereka yang berulang-ulang, disusuli teks pesanan tentang harapan dan penghargaan (walaupun sudah diingatkan untuk tidak menggunakan data telefon mereka yang terhad bagi perkara ini).
Sampel bantuan makanan yang diberikan dapat dilihat di dalam gambar di sini. Iktibar yang dipelajari ialah, walaupun ia melibatkan lebih banyak kerja, ia adalah masuk akal dari segi ekonomi dan praktikal untuk memberi bantuan makanan dan bukannya bantuan kewangan sepenuhnya. Seorang penerima memberitahu saya bahawa barang makanan bernilai RM100 yang dia terima dapat digunakan oleh empat orang anggota keluarganya hampir selama dua minggu. Kiraan mudah menunjukkan bahawa jumlah yang sama tidak akan bertahan lebih daripada lima hari jika mereka “tapao” makanan.
Lebih menyedihkan, beberapa orang pendatang yang ditemui sebenarnya tidak dapat meninggalkan premis kerja mereka untuk membeli makanan. Ini mungkin disebabkan oleh lokasi kilang di mana mereka bekerja yang jauh atau ketiadaan pengangkutan atau dalam beberapa kes, hakikat bahawa mereka dikunci di dalam premis perniagaan, terutamanya pada kemuncak sekatan pergerakan PKP. Itu adalah realiti bagi mereka sebagai pendatang yang terperangkap di tengah-tengah pandemik. Bagi sukarelawan yang terlibat, ini hanyalah pemandangan luaran sahaja bagi dunia sama yang kita diami.
Yesus dari Nazaret merumuskan perumpamaan-Nya tentang Penghakiman Terakhir dalam Matius 25:40, “Aku berkata kepadamu, sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya kepada Aku.”
Memberi makanan dan minuman kepada orang yang lapar dan haus, menyediakan pakaian untuk orang yang tidak berpakaian, melawat orang sakit, dan menyambut orang asing, merupakan pengenalan asas bagi apa maksudnya untuk menjadi orang Kristian.
Mungkin kita tidak perlu menunggu sehingga pandemik berlaku untuk kita mengerjakan semua ini. Jemputan itu sentiasa ada dan peluang untuk membuat sesuatu, walaupun sekecil mana pun, sentiasa ada. Mungkin apa yang kita perlukan adalah bagi Allah untuk memperkenankan mata kita melihat, hati kita menilai, dan tangan kita bertindak seperti Kristus sendiri.
Maka itu, jika lain kali anda melihat konvoi kenderaan keluar dari Katedral St Joseph pada suatu pagi Sabtu, berjedalah dan berdoalah bagi para pendatang di kalangan kita. Tetapi berdoalah dengan sukacita kerana ada beberapa kelompok manusia tidak akan tidur dalam keadaan lapar pada malam nantinya.
Jika anda ingin membantu atau malah menyertai konvoi belas kasihan yang penuh sukacita seterusnya, sila hubungi Pelayanan kepada Pendatang (Fr Alvin Ng, SJ di szesy@gmail.com).
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: For I was hungry…