Kerahiman Ilahi di Paroki Gereja Our Lady Queen of Peace, Sri Aman

Sr Genevieve memberikan perkongsian mengenai Kerahiman Ilahi kepada hadirin. (Foto: Adrian Anggang)

Oleh Fabian Dickson Anak Yari

Fr Joseph Chai menyertai hadirin bagi doa Kerahiman Ilahi. (Foto: Adrian Anggang)

SRI AMAN — Pelayanan Belia Paroki (PYM) Gereja Our Lady Queen of Peace di sini telah menganjurkan program kebaktian Kerahiman Ilahi pada 28 Mei lalu. 

Program ini disertai belia dari Sri Aman, Betong, Skrang, Lubuk Antu dan Saratok.

PYM menjemput Sr Genevieve untuk memberikan perkongsian mengenai Kerahiman Ilahi kepada belia dan jemaat yang hadir.

Program bermula dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Joseph Chai.

Acara kemudian diteruskan dengan saat hening sejenak untuk memberi ruang kepada hadirin mempersiapkan diri dengan Tuhan.

Ia disusuli perarakan masuk yang diketuai Diakon Henry, dan seterusnya bacaan daripada Al-Kitab oleh Sr Genevieve. Dalam perkongsiannya, Sr Genevieve menceritakan tentang sejarah dan kepentingan kebaktian Kerahiman Ilahi dalam kehidupan seharian.

Vanessa Ress: “Berdasarkan kisah Santa Faustina yang dikongsikan oleh Sister, saya merasa tersentuh kerana secara peribadi, saya terlalu sibuk mengejar keinginan duniawi. Melalui perkongsian tersebut, saya mulai sedar dan mula mengerti kasih sayang Tuhan yang sebenarnya.”
Michelle Lumbie: “Saya berasa gembira kerana dapat mengikuti program Kerahiman Ilahi, dan ini merupakan kali pertama saya menyertai doa Kerahiman Ilahi. Saya merasa sangat tenang mendengarkan perkongsian mengenai kehidupan Santa Faustina, dan mendapat kata-kata yang cukup memberikan makna kepada saya daripada perkongsian yang diberikan oleh Sr Genevieve. Saya dapat merasakan kehadiran Tuhan di dalam diri saya, dan saya sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk menyertai program Kerahiman Ilahi ini.”
Melvin Kelanang: “Saya berasa sangat teruja kerana dapat melibatkan diri di dalam program Kerahiman Ilahi ini. Saya dapat merasakan kehadiran Roh Kudus bersama kami sepanjang program kerana keadaannya yang hening pada saat itu. Bagi saya, ianya merupakan satu peluang untuk saya memperbaiki dan memulihkan iman di dalam diri saya.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.