KUALA LUMPUR — Persidangan Uskup-uskup Katolik Malaysia (CBCM) dan Majlis Gereja-Gereja Malaysia telah mengeluarkan kenyataan media mengenai nasib para pencari suaka dari Myanmar di Malaysia. Kami membawakan kepada anda kenyataan media CBCM bertarikh 23 Februari, 2021.
23 Februari 2021
Dalam ensiklik terbaharu Fratelli Tutti (Mengenai Persaudaraan dan Persahabatan Sosial), Paus Francis telah mengingatkan Gereja bahawa semua kita merupakan sebahagian daripada keluarga manusia yang lebih besar dan persaudaraan kita sebagai manusia “mengatasi halangan geografi dan jarak”. Dalam semangat kasih persaudaraan, Gereja tidak boleh menutup mata kepada mereka yang memerlukan bantuan dan golongan yang lemah, tidak kira siapa mereka dan dari mana mereka berasal, terutamanya pada waktu krisis. Pada Musim Lent ini, pengorbanan dalam puasa, doa dan sedekah yang diseru oleh Lent, mesti menggerakkan kita lebih jauh daripada amalan-amalan Lent yang bersifat individualistik ke arah memupuk kasih dan belaskasihan bagi satu sama lain yang tidak mengucilkan sesiapa dan terbuka keada semua. “Apa sahaja yang menjejaskan satu secara langsung, menjejaskan semua secara tidak langsung.”
Ia telah dilaporkan baru-baru ini dalam sumber media tempatan dan antarabangsa bahawa Malaysia bakal menghantar pulang 1,200 warga Myanmar dari pesisir pantai kita, dan dalam kalangan mereka juga adalah pelarian dan pencari suaka. Pada waktu keadaan politik yang amat tidak menentu di Myanmar, kepercayaan kita memberitahu kita bahawa kita tidak boleh berdiam diri dan bersubahat dalam tindakan terhadap mereka ini yang telah meninggalkan negara mereka disebabkan oleh krisis kemanusiaan yang serius. Menjamin keselamatan peribadi kepada golongan pelarian, pendatang dan pencari suaka yang paling lemah bukan sahaja mesti dikuasai undang-undang antarabangsa tetapi juga oleh “undang-undang kemanusiaan”, yang berasaskan belaskasihan dan kasih.
Sebagai warga Malaysia yang komited dengan kepercayaan yang memanggil kita kepada perintah untuk mengasihi Allah dan mengasihi satu sama lain (cf. Lukas 10:27), kita tidak boleh bersikap acuh tak acuh kepada tragedi kesengsaraan manusia. Mengasihi Tuhan dan satu sama lain bermakna bahawa kita pada akhirnya adalah komited untuk membina dunia yang lebih adil dan memulihkan umat manusia di mana tiada yang tertinggal di belakang.
Kami menyeru kepada kerajaan Malaysia untuk tidak meletakkan kehidupan warga Myanmar dalam keadaan yang tidak menentu dan tidak diketahui dengan menghantar mereka balik begitu sahaja pada waktu yang tidak menentu sekarang. Kami juga meminta agar pertubuhan antarabangsa seperti UNHCR dibenarkan untuk mengesahkan individu-individu ini supaya keselamatan peribadi mereka boleh dijamin. Sebagai warga Malaysia yang prihatin, kita tidak seharusnya meletakkan sesiapa dalam situasi yang diselubungi ketakutan, ketidaktentuan dan keresahan.
Kami juga menyeru kepada semua orang Katolik untuk menjalankan puasa anda pada waktu musim Lent ini bagi rakyat Myanmar, bagi dialog yang tulen dalam kalangan semua pihak, dan untuk kebebasan dan keamanan yang berkekalan. Kita menyatukan diri dalam doa dengan rakyat Myanmar sambil menyeru kepada Tuhan bagi keamanan, perdamaian dan keharmonian pada waktu yang tidak menentu ini.
Sentiasa mengasihi satu sama lain seperti saudara (dan saudari), dan selalu ingat untuk menyambut orang asing kerana dengan berbuat demikian, ada orang yang telah menghiburkan malaikat tanpa menyedarinya. (Ibrani 13:1–2)
+ Most Rev Julian Leow Beng Kim D.D.
Presiden, CBCM
Uskup Agung Kuala Lumpur
+ Rt Rev Sebastian Francis, Uskup Penang
+ Rt Rev Bernard Paul, Uskup Malacca Johore
+ Most Rev John Wong, Uskup Agung Kota Kinabalu
+ Rt Rev Cornelius Piong, Uskup Keningau
+ Rt Julius Gitom, Uskup Sandakan
+ Most Rev Simon Poh, Uskup Agung Kuching
+ Rt Rev Richard Ng, Uskup Miri
+ Rt Rev Joseph Hii, Uskup Sibu
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: CBCM issues media statement on repatriation of Myanmar Nationals