Oleh Philip Kosloski
Dalam kalangan umat Katolik, Mei paling dikenali sebagai ‘Bulan Maria’, bulan untuk menjalankan kebaktian khusus dan memberi penghormatan kepada Perawan Maria.
Kenapakah ia begitu? Bagaimanakah Mei dikaitkan dengan Bonda Maria?
Terdapat banyak faktor berbeza yang menyumbang kepada kaitan ini. Pertama sekali, di Rom dan Greece purba, bulan Mei diabadikan kepada dewi-dewi kafir yang dihubungkan dengan kesuburan dan musim bunga (masing-masing Artemis dan Flora).
Perkara ini, digabungkan dengan upacara lain di Eropah untuk memperingati musim bunga baharu, menyebabkan banyak budaya Barat untuk melihat Mei sebagai bulan kehidupan dan keibuan. Ini adalah lama sebelum ‘Hari Ibu’ dilahirkan, walaupun versi moden berkait rapat dengan keinginan dalaman ini untuk memberi penghormatan kepada keibuan pada bulan-bulan di musim bunga.
Dalam Gereja awal, terdapat bukti bagi satu perayaan besar Perawan Maria yang diraikan pada 15 Mei setiap tahun, tetapi ia hanyalah sehingga abad ke-18 baharulah Mei dikait khusus dengan Perawan Maria.
Menurut Ensiklopedia Katolik, “Kebaktian Mei dalam bentuk sekarang berasal di Rom di mana Father Latomia dari Kolej Romawi Persatuan Yesus, untuk melawan kecurangan dan kelakuan tidak bermoral dalam kalangan pelajar, berikrar pada hujung abad ke-18 untuk mengabadikan bulan Mei kepada Maria. Dari Rom, amalan itu tersebar ke kolej Jesuit lain dan dengan demikian, ke hampir setiap gereja Katolik yang menggunakan upacara Latin.”
Mengabadikan seluruh bulan Mei bukanlah tradisi baharu, kerana sebelum ini wujud satu tradisi untuk menumpukan 30 hari kepada Maria dipanggil Tricesimum, yang juga dikenali sebagai ‘Bulan Bonda’ (Lady Month).
Pelbagai kebaktian peribadi kepada Maria dengan cepat menjadi berleluasa pada waktu bulan Mei, seperti yang direkodkan di dalam Raccolta, satu penerbitan doa-doa yang diterbitkan pada pertengahan abad ke-19.
Ia merupakan satu kebaktian terkenal, untuk mengabadikan bulan Mei kepada Maria paling suci, sebagai bulan paling indah dan bersinar setiap tahun. Kebaktian ini sudah sekian lama wujud dalam dunia Kristian; dan ia adalah biasa di Rom, bukan hanya dalam keluarga-keluarga persendirian sahaja, tetapi sebagai satu kebaktian awam di begitu banyak gereja.
Untuk merangsang semua orang Kristian kepada amalan kebaktian yang begitu lemah lembut dan disukai Perawan paling berbahagia, dan dikira mempunyai manfaat rohani yang begitu besar kepada diri mereka sendiri, Paus Pius VII telah memberikan, menerusi Reskrip ‘Segretaria of the Memorials’, 21 Mac, 1815 (yang disimpan di dalam Segretaria Yang Mulia Kardinal-Vikar), kepada semua jemaat dalam dunia Katolik, yang sama ada secara peribadi mahupun umum memberi penghormatan kepada Perawan Berbahagia dengan beberapa penghormatan khusus atau doa-doa yang salih, atau amalan-amalan lain yang baik.
Pada 1945, Paus Pius XII mengesahkan Mei sebagai bulan Maria selepas merasmikan perayaan Keratuan Maria pada 31 Mei. Selepas Majlis Vatikan Kedua, perayaan ini dialihkan kepada 22 Ogos, manakala 31 Mei menjadi perayaan Kunjungan Maria.
Bulan Mei merupakan bulan yang kaya dengan tradisi dan masa yang indah setiap tahun untuk memberi penghormatan kepada ibu kita di Syurga.
Aleteia (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Why is May called “Mary’s Month”?