Kanak-kanak sahut panggilan pelayanan di Misa Kudus Kanak-kanak 2024

Persembahan daripada kanak-kanak. (Semua gambar: St Ann Media)

Oleh Irvina Joan

KOTA PADAWAN — Pada 16 Ogos lalu, Paroki Santa Anna telah menganjurkan Misa Kudus Kanak-kanak, satu perayaan liturgi yang dirancang khas untuk memupuk semangat pelayanan dalam kalangan kanak-kanak.

Misa ini bukan sahaja menjadi platform untuk kanak-kanak melibatkan diri dalam pelayanan gereja, tetapi ia juga bukti komitmen paroki dalam membentuk generasi muda yang taat dan berdedikasi dalam iman Kristian.

Fransisco, seorang murid Tahap Dua dari Sekolah Hari Minggu Gereja Santa Anna, meluahkan kegembiraannya kerana diberi peluang untuk menyertai koir bersama rakan-rakannya.

“Saya sangat teruja dapat melayani sebagai koir dalam Misa Kudus ini. Ini adalah pengalaman yang sangat bermakna, dan saya bercadang untuk terus melibatkan diri dalam pelayanan ini pada masa akan datang,” katanya penuh semangat.

Dalam homilinya, Friar Nelson Evarinus Sipalan, OFM, menyatakan rasa syukur dan gembira melihat penyertaan aktif kanak-kanak dalam Misa tersebut.

Kegembiraan dalam doa semasa Misa.

Beliau menekankan bahawa anak-anak adalah anugerah Tuhan yang harus dihargai, dan ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memimpin dan menggalakkan anak-anak mereka untuk melayani di gereja.

“Jangan takut untuk melayani,” pesan Friar Nelson, sambil mengingatkan bahawa Tuhan sentiasa menyertai dan membimbing mereka yang bersedia melayani.

Selain itu, rektor Paroki Gereja Santa Anna, Friar Don Don Ramerez, OFM, turut memberi khabar gembira tentang kemajuan Projek Pembinaan Kompleks Gereja Santa Anna Fasa Kedua, yang merangkumi Blok Pentadbiran dan Blok Kelas Hari Minggu.

Beliau menyatakan bahawa kemudahan ini, termasuk balai menunggu untuk ibu bapa, akan siap tidak lama lagi, dan ini pastinya akan memberikan manfaat besar kepada komuniti paroki.

Setelah Misa Kudus selesai, suasana jamuan persaudaraan di Dewan St Anthony diceriakan dengan sesi puji-pujian yang dipimpin oleh pembantu liturgi kanak-kanak.

Friar Don Don mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan Misa Kudus Kanak-kanak 2024 ini, khususnya kanak-kanak yang dengan penuh dedikasi melayani Tuhan.

Beliau juga mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada ibu bapa dan guru-guru agama yang telah memainkan peranan penting dalam memupuk semangat pelayanan ini dalam diri anak-anak.

Dengan penuh harapan, Friar Don Don menyatakan bahawa semangat pelayanan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini akan terus berkembang dan berbuah dalam kehidupan mereka, menjadi asas yang kukuh bagi masa depan iman dan pelayanan gereja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.