Kampung Sapit sertai Keuskupan Agung Kuching

SILATURAHIM… Uskup Agung Simon (tiga kanan), Friar David (dua kanan) dan Romo Bartolo (dua kiri) bersama beberapa penduduk Katolik di Kamping Sapit selepas selesai Misa Kudus.

Oleh Paroki St Ann

KOTA PADAWAN — ‘Kampung Di Atas Awan’ adalah gelaran yang diberikan kepada Kampung Sapit, sebuah kampung Bidayuh yang terletak di kawasan pergunungan di hulu Padawan.

Kawasan tanah tinggi tumpuan pelancong yang terkenal dengan pemandangan indah itu sebenarnya mempunyai populasi umat Katolik yang terpencil dan terasing selama ini daripada naungan Keuskupan Agung Kuching.

Uniknya, iman Katolik yang berkembang dalam komuniti kampung tersebut disemai oleh gereja kampung di negara jiran, Indonesia.

Kampung Sapit terletak di sempadan Sarawak-Kalimantan dan berjiran dengan Kampung Gun Tembawang dan Kampung Gun Jemak di sebelah Kalimantan, Indonesia.

Sempadan antarabangsa yang tidak berpagar membolehkan kedua-dua kampung menjalin hubungan silaturahim sehingga tersebarnya iman Katolik dalam kalangan penduduk Sapit.

Walau bagaimanapun, tiada catatan tepat disimpan mengenai tarikh sebenar iman Katolik dibawa ke Sapit.

Sebanyak 24 buah keluarga yang merangkumi sekitar 123 orang penduduk Sapit adalah umat Katolik, manakala penduduk lainnya adalah daripada mazhab Anglikan dan mazhab lain.

Selama puluhan tahun lamanya, umat Katolik di Sapit menghadiri Misa di gereja Gun pada waktu-waktu tertentu.

Di kampung-kampung Gun, Misa diadakan apabila paderi ada datang dari Paroki Santo Yohanes Maria Vianney, Entikong.

Paroki tersebut terletak di bawah naungan Keuskupan Sanggau, Kalimantan Barat.

Kewujudan komuniti Katolik di Sapit akhirnya sampai ke pengetahuan Uskup Agung Simon Poh, yang kemudian merancang lawatan pastoral sulung ke kampung tersebut.

Pada 29 hingga 30 Julai 2023, satu rombongan telah mengiringi Uskup Agung Simon Poh untuk pergi ke kampung di kawasan pergunungan itu.

Dari Paroki St Ann, Friar David Au, OFM turut menyertai lawatan pastoral itu.

Datuk Michael Hii, Katekis Lawrence Ajak, Encik Fredrick dan Encik Tinah adalah antara mereka yang menyertai rombongan tersebut.

Misa Hari Minggu telah dirayakan di Gated Palace, sebuah inap desa atau homestay yang ada di Kampung Sapit, memandangkan bangunan gereja Katolik belum ada di sana.

Misa Kudus itu dirayakan oleh Uskup Agung Simon bersama Friar David dan juga Romo Bartolo dari Paroki Santo Yohanes Maria Vianney, Entikong.

Umat dari Kampung Gun Tembawang dan Kampung Gun Jemak turut menyertai umat Kampung Sapit dalam misa tersebut yang dirayakan dalam tiga bahasa: Bahasa Indonesia, Bahasa Malaysia dan Bahasa Bidayuh-Biatah.

Keuskupan Agung Kuching, Sarawak, Malaysia dan Keuskupan Sanggau, Kalimantan, Indonesia telah bersetuju untuk menyatukan umat Katolik Sapit dengan umat di Paroki St Ann, Kota Padawan, Kuching.

Penyatuan ini bermaksud meletakkan umat Katolik di Sapit di bawah naungan Paroki St Ann selepas sekian lama dijaga oleh Paroki Santo Yohanes Maria Vianney, Entikong.

Pemindahan jagaan pastoral ke atas umat tersebut sangat bertepatan dengan kedudukan geografi kampung mereka yang terletak di dalam kawasan pentadbiran Keuskupan Agung Kuching.

Kampung Sapit dijangka akan memiliki bangunan gereja Katolik selain diletakkan dalam kelompok Zon Simpok, iaitu pengelasan bagi kawasan kampung dan taman di bawah Paroki St Ann.

Komuniti Katolik yang paling dekat dengan Kampung Sapit ada di Kampung Timurang, yang juga terletak dalam Zon Simpok.

Kampung Sapit kini merupakan kampung yang ke-41 dalam senarai kampung di bawah naungan Paroki St Ann.

BERKEMBANG… Wakil umat Katolik di Kampung Sapit dan Kampung Burung bergambar kenangan bersama Friar David (dua kanan) dan Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) Judas Lugon selepas turut dijemput menghadiri Mesyuarat Bulanan Majlis Pastoral Paroki Santa Anna, Kota Padawan.

Dalam Mesyuarat Majlis Pastoral Paroki (MPP) St Ann pada 6 Ogos 2023, wakil komuniti Katolik Kampung Sapit telah dialu-alukan ke majlis tersebut.

Selain Kampung Sapit, MPP turut mengalu-alukan komuniti Katolik di Kampung Sungai Burung, Siburan yang juga baharu menyertai paroki tersebut. Selamat menyertai Paroki St Ann, para umat Kampung Sapit dan Kampung Sungai Burung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.