Jam Kudus Bagi Kanak-kanak Sedunia

Oleh Augustine Leeroy Garet

KOTA PADAWAN — Pada 8 Oktober 2022, Paroki Santa Anna telah menganjurkan satu para-litugi yang julung kali diadakan, iaitu Jam Kudus Bagi Kanak-kanak Sedunia.

Segala persiapan telah dijalankan sejak awal September yang dipimpin oleh para guru kelas katekese Sabtu dan dibantu oleh Liturgi Kanak-kanak bagi Misa Pertama (7.30 am), Misa Kedua (10.30 am) dan Misa Senja (6.00 pm) serta sembilan buah sekolah mubaligh Katolik di kawasan Padawan.

Antara sekolah yang terlibat adalah SK St Francis Xavier Seratau, SK St Elizabeth Tijirak, SK St Peter Simpok, SK Gayu (St Joseph), SK Emperoh Jambu (St Mary Magdalene), SK Pesang Begu (St Justin), SK Sira Krian (St Paul), SK Subang (Our Lady of Grace) dan SK Pangkalan Kuud (St Agnes).

Program ini mendapat sokongan penuh daripada Pemangku Rektor, Friar Don Don Ramerez, OFM dan guru besar daripada sembilan sekolah di bawah naungan paroki.

Barisan Koir dan Pemuzik. (Semua foto: Paroki Santa Anna)

Para-liturgi berkenaan dimulakan dengan perarakan oleh anak-anak yang membawa 12 bakul bunga mawar lima warna sebagai persembahan kepada Bonda Fatima, lilin berwarna yang melambangkan benua tertentu, iaitu warna putih bagi Eropah, kuning bagi Asia, biru Oceania, hijau Afrika dan merah pula bagi benua Amerika.

Kanak-kanak seluruh dunia memohon agar Bonda Fatima mendoakan kesejahteraan keluarga mereka serta keamanan dunia dan negara dengan mengikuti contoh Santo Francisko, Santa Lucia dan Jacinta, iaitu tiga gembala kecil di Sepanyol yang telah menerima mesej harapan dan kedamaian dunia.

Adorasi Sakramen Maha Kudus turut dilakukan bagi merenung kisah Tuhan Yesus dan Misteri-misteri Rosario Suci.

Antara salah satu matlamat program ini adalah untuk memastikan kanak-kanak diberi peluang untuk menjadi sebahagian besar daripada komuniti gereja.

Hal ini dikatakan demikian kerana kita ingin memberitahu kepada anak-anak kecil kita bahawa mereka mampu memberikan sumbangan dan perubahan kepada dunia iaitu melalui doa mereka.

Hal ini juga agar sebagai sebuah gereja yang besar dan berkembang, adalah baik sekiranya fokus juga diberikan secukupnya kepada generasi anak muda ini kerana mereka adalah masa depan gereja, kini dan akan datang.

Program tersebut telah diakhiri dengan perjamuan persaudaraan secara ‘potluck’ di kawasan Dewan St Anthony yang telah disertai semua pelajar dengan pelbagai jenis makanan serta minuman disediakan.

Akhirnya, di atas permintaan ramai, program ini akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dan persiapan akan dilakukan dengan lebih awal bagi memastikan kelancaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.