Jaga domba Kristus

Seminarian Jonathan Rao (kiri pertama) dengan rakan seminari di Pengagihan Bantuan Makanan dianjurkan oleh Pelayanan kepada Pendatang, 10 Julai 2022. (Foto: Pelayanan kepada Pendatang)

Renungan Seminarian Jonathan Rao, Kolej St Peter Kuching


1. Apakah yang saya lihat/dengar/rasa yang menyentuh hati atau mengharukan saya? Nyatakan perasaan itu.

Selepas mendengar taklimat orientasi yang diberikan oleh Fr Alvin Ng, SJ dan pembahagian pek penjagaan di berbagai lokasi pendatang pada 10 Julai 2022, saya tertanya-tanya sama ada saya melihat pendatang sebagai orang yang asing sama sekali atau seseorang yang saya anggap sebagai manusia seperti saya yang ada maruah dan hak-hak sama rata untuk hidup di Malaysia. Saya doakan agar sekumpulan manusia yang berfikiran sama akan tampil dan membantu golongan tanpa suara ini yang tinggal dalam kalangan kita, terutamanya individu-individu yang terabai dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang tidak ada belas kasihan. Ia adalah gabungan perasaan sedih, simpati, sukacita, kagum, dan syukur kerana dapat bertemu dengan kumpulan pendatang yang kebanyakannya datang dari Indonesia dan Timor-Leste dan tinggal dalam lingkungan Kuching. 

Saya rasa sedih dan simpati kerana rungutan mereka di tempat kerja tidak diendahkan, waktu bekerja yang tidak dibayar secara adil, masalah pengangkutan bagi segelintir pendatang Katolik untuk menghadiri Misa Hari Minggu, deposit sekuriti dan pemotongan gaji ke atas pekerja untuk melindungi majikan daripada kerugian, keadaan hidup pendatang yang buruk di mana ada yang tinggal di setinggan buruk manakala ada lagi yang berkongsi ruang sewa dengan penyewa yang terlalu sesak, penipuan oleh agensi-agensi pekerjaan/pengambilan pekerja, kadar yang mendiskriminasikan orang asing yang ingin mendapatkan rawatan perubatan, kos sara hidup yang semakin meningkat sehingga memaksa segelintir untuk mendapatkan pinjaman daripada peminjam wang, dan yuran pemindahan yang tinggi untuk mengirim wang kepada keluarga di kampung halaman. Sistem kawal selia yang dilaksanakan bagi pendatang pada amnya tidak mesra tetapi rosak dan tidak berfungsi dengan baik. 

Saya rasa sukacita kerana ada penderma yang murah hati dan baik hati di luar sana yang menyokong dengan memberi sumbangan wang tunai/ikrar dan peruntukan material untuk membantu meringankan beban daripada nasib buruk dan cabaran yang dihadapi pendatang yang tinggal di Sarawak. 

Kekaguman juga dirasai apabila bantuan diberikan tanpa berat sebelah dari segi kaum, agama, kemasukan dengan izin atau tanpa izin, atau kerakyatan. Sesungguhnya saya rasa bersyukur kerana diberi peluang ini untuk membantu secara sukarela dengan menyantuni mereka secara peribadi, dan bercakap serta mendengar mereka sebagai seorang sahabat sambil membina perhubungan.

2. Bagaimanakah pengalaman itu mengesahkan atau mengubah persepsi saya tentang pendatang secara amnya?

Walaupun kehadiran mereka ada menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, mereka mengambil risiko untuk datang ke sini dan mencari pendapatan, selain mencari penerimaan dan membuat penyesuaian di bumi asing yang mempunyai budaya, urus tadbir dan latar sosial. Ia adalah satu pertarungan harian untuk terus hidup. Injil Kristus mencabar saya untuk mengasihi orang lain seperti saya mengasihi diri sendiri (Markus 12:31).

Sebenarnya, terdapat beberapa ayat lain dalam Al-Kitab yang terpahat dalam fikiran saya:

  • Jangan layan dengan buruk orang asing yang tinggal di bumi anda. Layan mereka seperti anda melayan rakan senegara, dan kasihilah mereka seperti anda mengasihi diri sendiri (Imamat 19:33-34).
  • Yesus berkata, “Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraKu yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku” (Matius 25:40).

Ketika saya merenung, dua soalan muncul: bagaimanakah saya dapat menyahut seruan untuk melayani pendatang sebagai tetangga saya? Adakah saya sekadar posmen yang menyampaikan barangan bagi pihak Gereja, dan tugasan saya kepada pendatang selesai? Namun pelayanan kepada pendatang adalah mengenai “penggembalaan” bagi keperluan mereka dengan iman, harapan dan kasih. Ia adalah mengenai membawa Yesus kepada mereka dan menganggap diri saya sebagai alat Tuhan dengan menyebar kedamaian, kasih dan sukacita, dan melayan pendatang sebagai jiran saya dengan hormat, bermaruah dan adil. Lebih daripada itu, saya dapat mendengar, memberi kata-kata dorongan, berdoa untuk pelindungan dan kesejahteraan mereka, serta mengalu-alukan mereka sebagai saudara-saudari dalam Kristus. Aspek lain adalah kecenderungan, ketersediaan dan kesinambungan saya untuk menyantuni pendatang di luar bidang kuasa pelayanan kepada pendatang apabila saya menemui sebahagian daripada mereka di tengah bandar, tempat makan, dan tempat pertemuan lain. Bagaimanakah saya dapat menjadi mata dan telinga bagi pendatang sedemikian yang memerlukan bantuan, dan menyalurkan pertanyaan mereka kepada Keuskupan Agung Kuching atau mempelawa mereka untuk melawat kaunter pendatang?

3. Apakah yang saya syukuri? Kenapa?

Saya bersyukur di atas peluang untuk berjumpa, bercakap dan menjalin hubungan dengan para pendatang. Ia adalah pembuka mata untuk belajar tentang keadaan sukar, kebimbangan dan cerita mereka yang menyentuh tentang realiti kehidupan. Kehidupan sukar bagi para pendatang, tetapi kehidupan yang selayaknya dijalani menuntut keberanian. Para pendatang mengajar saya tentang kemanusiaan, empati, kesederhanaan dan kesyukuran di atas keberkatan dalam hidup. Pada dasarnya, warga asing datang ke negara kita kerana kemakmuran dan peluang yang ada di bumi kita, tetapi tidak saya hargai dalam beberapa segi. Jika dibandingkan dengan para pendatang, saya ada keluarga yang tinggal dekat dengan saya, rumah yang baik untuk didiami, memiliki kewarganegaraan dan dokumen yang melindungi keistimewaan dan hak-hak saya untuk hidup, bekerja dan berjalan bebas tanpa rasa takut, dapat memiliki harta benda dan akaun bank atau malah membuat pelaburan, menikmati faedah perubatan dan faedah sampingan lain tanpa didiskriminasi, dan kurang berkemungkinan untuk menjadi mangsa eksploitasi buruh.

Sesungguhnya, saya sepatutnya mengira semua keberkatan dalam hidup saya. Para pendatang juga mengajar saya tentang nilai menjalani kehidupan dalam kesederhanaan, merendahkan hati, menemui sukacita dalam perkara kecil dan kepentingan pemilikan dan persahabatan. Saya menyedari tentang aspek penghargaan dan kerendahan hati dalam gamitan mereka ketika mereka menerima pembahagian penjagaan. Kebanyakan mereka menyuarakan sukacita apabila kami meluangkan masa untuk melawat mereka secara peribadi, dan jalinan hubungan telah menghasilkan rasa kasih sayang dan hubungan baik, termasuk dengan pendatang Muslim. Malah, pelayanan kepada para pendatang telah menjadi ruang hubung kait atau pembina jambatan di antara para pendatang dengan Gereja. Sememangnya, Gereja terus menjadi saksi bagi Kristus dalam dunia dan saya gembira kerana dapat membantu Gereja dari segi memberi sumber, tenaga dan masa saya selain menggunakan kesempatan untuk melayan dan mengasihi para pendatang seperti saya mengasihi sesama.

4. Aspek apakah dalam hidup saya yang mencabar saya untuk berkembang?

  • Saya menyedari tentang kepentingan untuk mendengar secara aktif, iaitu memberi tumpuan sepenuhnya dengan fikiran dan hati saya kepada apa yang sedang disebut, dan bukannya mendengar mesej secara pasif. Untuk benar-benar mendengar adalah untuk meletakkan diri di tempat orang lain, dan mengulang balik kepada mereka apa yang mereka sebut kepada saya, dan membiarkan mereka mengesahkan bahawa itulah apa yang mereka maksudkan, dan mengelak daripada menghakimi orang lain. Mendengar secara aktif juga membantu untuk memahami dan benar-benar mengenali orang lain dengan hati terbuka. Mendengar secara aktif ini adalah sesuatu yang saya perlu kembangkan.  
  • Mengamalkan peraturan emas: “Lakukan kepada orang lain apa yang kamu ingin orang lain lakukan kepada kamu”. Ini mencabar saya untuk keluar daripada zon selesa saya dan melayan dengan komitmen, dan tanpa syarat. Kasih mesti tulen dan keprihatinan terhadap golongan pendatang mesti inklusif sepenuhnya tanpa mengira jantina, agama, kaum, kelas sosial dan kerakyatan. Ini bergema dengan perintah yang diberikan oleh Kristus yang menyeru kepada saya untuk mengasihi sesama seperti saya mengasihi diri sendiri.
  • Selari dengan tema Sinod Gereja, ‘Journeying together’ (Berjalan bersama), bagaimanakah saya dapat melibatkan diri untuk menjadi suara bagi para pendatang, menerima kebimbangan mereka sebagai kebimbangan saya, dan memperkasa pelbagai pihak yang sepadu dengan pelayanan pendatang dengan kefahaman yang kuat tentang komuni, penyertaan, dan dipacu misi? Tidak ada manusia yang hidup berseorangan, dan demikian juga dengan pelayanan pendatang yang tidak dapat beroperasi dan diteruskan dengan sendirinya tetapi memerlukan kolaborasi sumber dan pembinaan jaringan dengan para penderma, perkumpulan St Vincent de Paul, pejabat keuskupan agung di Kuching, Catholic Welfare Services, kerajaan negeri, pengurus penguburan, hospital, pejabat konsular atau kedutaan, imigresen dan badan penguatkuasaan lain serta badan-badan khidmat kaunseling dan kawal selia yang menyelenggara kewajipan majikan. Usaha ini juga menuntut rentak yang sama di antara Gereja dan diri saya sendiri sebagai anggotanya untuk bersolidariti dengan para pendatang dengan melindungi hak-hak manusia dan kebajikan sosial tanpa rasa takut atau rasa disukai. Tanggapan tentang “kasihilah dan makmurkanlah sesama” adalah tanggapan yang mengiktiraf pendatang, antara lain, sebagai teman-teman kita dalam perjalanan ke arah membina kerajaan Tuhan dalam kalangan kita.

    (Terjemahan)

Berita dalam Bahasa Inggeris: Tending the flock of Christ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.