Hari Rekoleksi di Gereja ‘Holy Family’ Betong

Belia Paroki ‘Our Lady Queen of Peace’ bersama Diakon Henry Jimbey. (Semua foto: Adrian Anggang)

Oleh Melissa Esmeralda Anak Menchon

BETONG — Pelayanan Belia Paroki Sri Aman telah menganjurkan program ‘A Day of Recollection’ di Gereja ‘Holy Family’ di sini pada 30 Julai lalu, bermula dari jam 7.00 petang hingga 10.00 malam. 

Program ini disertai belia dari pelbagai zon, seperti Zon Sri Aman, Zon Lubok Antu, Zon Skrang, Zon Betong dan Zon Saratok. 

Ia dimulai dengan doa pembukaan yang diketuai oleh Brian selaku pengacara program, dan diteruskan dengan lagu penyembahan, pembacaan Al-Kitab daripada Diakon Henry Jimbey, sesi meditasi, perkongsian peribadi daripada beberapa belia dari setiap zon, dan lagu pujian.

Diakon Henry memberitahu objektif program ini adalah untuk membantu belia membuat renungan secara peribadi dalam pelayanan di gereja berhubung masalah dan cabaran yang dihadapi, dan cara memperbaiki pelayanan peribadi.

Daphne Lau
Emilson Rudalf Anak Yari

Perkongsian peribadi daripada saudari Daphne dan saudara Emilson. Kedua-dua belia yang mewakili belia dari zon Sri Aman ini berpendapat bahawa program ini adalah satu wadah bagi mereka untuk kembali ke gereja semula. Ini adalah kerana sebagai mahasiswa atau mahasiswi, kekangan jarak ke gereja dan wang adalah antara punca mereka tidak mengikuti sebarang aktiviti keagamaan. Melalui program ini, mereka berpeluang untuk merasai semula sentuhan Tuhan dan seterusnya mendekatkan diri dengan Tuhan.

Lawren Anak Nyalau

Perkongsian peribadi daripada saudara Lawrence pula sangat menyentuh hati. Mewakili belia Zon Skrang, beliau berkongsi tentang jerih-perih yang telah dialaminya sepanjang bergelar Katolik. Segala kesukaran, ketidakadilan, dan permasalahan yang dialaminya bukan sahaja datang daripada masyarakat sekeliling tetapi juga kaum keluarganya. Walaupun begitu, beliau tetap teguh dengan pendiriannya untuk mengikut Yesus. Beliau juga menasihatkan belia lain agar sentiasa teguh dalam iman dan seterusnya percaya bahawa segala yang berlaku kepada kita bukanlah untuk melemahkan kita tetapi sebagai satu saluran untuk mematangkan iman kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.