Hari Minggu Misi Sedunia 2020

Inilah aku, utuslah aku

(Yes 6:8) 
Kotak kutipan khas “Kanak-kanak Membantu Kanak-kanak”. (Foto: Komisi Keuskupan Agung Kuching bagi Misi dan Pembangunan Manusia)

KUCHING — Gereja Sejagat meraikan Hari Minggu Misi Sedunia pada setiap Hari Minggu kedua terakhir pada bulan Oktober setiap tahun, dan pada tahun ini, ia akan diraikan pada 18 Oktober 2020.

Pada 1926, Paus Pius XI menetapkan agar Hari Minggu Misi Sedunia diraikan di semua Gereja tempatan sebagai perayaan kekatolikan atau kesejagatan dan solidariti sejagat supaya orang Kristian di seluruh dunia mengenali tanggungjawab mereka yang sama dalam penginjilan dunia menerusi doa, animasi dan pemberian bagi Misi. 

Keinginan beliau adalah untuk memupuk rasa tanggungjawab dalam orang ramai supaya menyokong Misi di seluruh dunia menerusi Persatuan Misi Kepausan. 

Paus Francis, dalam perutusan beliau bagi perayaan pada tahun ini, menarik perhatian kepada cabaran baharu kepada penginjilan dan kawasan misi apabila seluruh dunia terjejas teruk disebabkan oleh pandemik COVID-19, dan beliau mencabar semua orang Katolik untuk menjalankan misi ini. 

Dalam semua ini, pertanyaan Allah: “Siapakah yang harus Aku utuskan?” ditujukan sekali lagi kepada kita dan menunggu jawapan yang murah hati dan meyakinkan: “Ini aku, utuslah aku!” (Yesaya 6:8) 

Allah sentiasa mencari orang yang Ia dapat utus ke dalam dunia dan kepada bangsa-bangsa untuk menjadi saksi kepada kasihNya, penyelamatanNya daripada dosa dan kematian, pembebasanNya daripada kejahatan (cf. Matius 9:35–38; Lukas 10:1–12)”, tulis Bapa Suci. 

Pada Hari Minggu Misi tahun lepas, paroki-paroki di dalam Keuskupan Agung Kuching mengutip RM65,753.40 dan dana ini kemudian diagihkan kepada keuskupan di Malaysia, Singapura, Brunei dan juga Indonesia oleh Persatuan Misi Kepausan Malaysia, Singapura dan Brunei. 

Di antara projek-projek yang disokong sebahagiannya oleh dana ini adalah latihan katekis di Keuskupan Miri. 

Pada bulan Oktober juga, kita memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengambil bahagian dalam kerja misi dalam semangat “Kanak-kanak Membantu Kanak-kanak” menerusi sebuah kotak khas. 

Kanak-kanak digalakkan untuk memberi sebahagian daripada wang saku harian mereka bagi membantu kanak-kanak lain yang memerlukan bantuan. 

Kotak-kotak ini akan dikumpul pada waktu Natal dan dipersembahkan pada Hari Raya Penampakan Tuhan (Epiphany), sebagai satu cara untuk mempersembahkan pemberian mereka bersama Majusi. 

Pada tahun lepas, kanak-kanak dari semua paroki dalam Keuskupan Agung Kuching mengutip RM35,719.55 dan kutipan ini telah disalurkan untuk menyokong projek bagi kanak-kanak di Tanzania, Afrika Timur. 

Tahniah kepada anak-anak kecil kita! 

Bagi menghimpunkan semua kanak-kanak untuk berdoa bersama-sama bagi misi, Persatuan Misi Kepausan Malaysia, Singapura dan Brunei akan menganjurkan ‘Holy Hour’ Kanak-kanak pada 2 Oktober 2020, jam 7.00 malam yang akan distrim secara langsung dari Kuching dan akan dirayakan oleh Most Rev Simon Poh, Uskup Agung Kuching, yang merupakan Presiden Keuskupan bagi Persatuan Misi Kepausan di rantau ini. 

Masih terdapat begitu banyak bahagian dalam misi di mana kita dapat membantu. Maka itu, sebagai sebuah Gereja yang bersifat misionari, apakah misi anda sepanjang bulan Oktober ini yang akan didedikasikan kepada kerja misi dan penginjilan? 

Marilah kita menerima misi ini seperti Nabi Yesaya dan berkata, “Ini aku, utuslah aku” (Yesaya 6:8). 

Dalam keluaran Today’s Catholic bagi bulan Oktober, kita akan menerbitkan Perutusan Paus bagi Hari Minggu Misi Sedunia. 

Semoga Perawan Suci Maria, Bintang Penginjilan dan Penghibur Orang Sengsara, murid misionari Anaknya Yesus, sentiasa berdoa untuk kita dan memelihara kita. 

Komisi Keuskupan Agung Kuching bagi Misi dan Pembangunan Manusia (Terjemahan) 


Berita dalam Bahasa Inggeris: World Mission Sunday 2020

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.