Oleh Francesca Merlo
KOTA VATIKAN — “Dengar suara penciptaan” merupakan tema dan undangan bagi Musim Penciptaan pada tahun ini, yang bermula dengan Hari Doa Sedunia.
Perutusan Pope Francis sempena Hari Doa Sedunia bagi Penciptaan, yang disambut pada 1 September, telah diterbitkan pada 16 Julai lalu.
Kemusnahan
Menjelang Musim tersebut, yang bermula dari 1 September – 4 Oktober, Majlis Persidangan Keuskupan Eropah (CCEE) mengeluarkan satu kenyataan, yang menyoroti kemusnahan yang disebabkan oleh kebakaran di seluruh negara-negara Eropah akibat daripada layanan buruk ke atas bumi umum kita.
“Eropah kita sendiri telah menghadapi bencana alam sekitar tulen yang, dalam 97 peratus kes, dikaitkan dengan tindakan manusia,” kenyataan itu menyebut.
Di 27 negara Kesatuan Eropah, menurut satu anggaran baru-baru ini, kebakaran sudah pun memusnahkan 517,881 hektar sejak awal tahun, berbanding 470,359 hektar pada tahun sebelumnya.
Sarjana sudah pun membuat hipotesis tentang peralihan daripada era kita (Anthropocene) kepada era seterusnya, yang mereka sudah beri nama “Pyrocene”, di mana kesannya sudah pun kelihatan memandangkan keluaran karbon dioksida (CO2) sudah mencapai tahap yang tidak diketahui planet ini selama lebih tiga juta tahun.
Peperangan di Ukraine
Memburukkan lagi semua kerosakan ini, suruhanjaya berkenaan seterusnya menyoroti kerosakan tambahan yang dilakukan kepada alam sekitar oleh peperangan berterusan di Ukraine, selain semua kerosakan di tempat lain di atas planet ini.
Perutusan Bapa Suci Francis “bukanlah satu amanat yang alim” tetapi “satu cabaran tulen” yang dilontarkan kepada golongan berkuasa di bumi dan kepada para pemimpin setiap negara (baik kaya mahupun miskin), masing-masing bagi peranan mereka sendiri. Seluruh musim penciptaan boleh menjadi masa berdoa, selain waktu bagi perubahan sikap dan tabiat yang serius.
“Kami, Uskup-Uskup Eropah, menyertai rayuan yang dilancarkan oleh Pope Francis, dan mengundang semua orang Kristian untuk menjadi jurucakap bagi tuntutan planet ini, dengan suaranya yang mendedahkan “sejenis kesumbangan. Di satu segi, kita dapat mendengar satu lagu merdu yang memuji Pencipta yang kita kasihi; di segi lain, satu rayuan yang sengsara, meratapi layanan buruk kita ke atas bumi yang kita kongsi ini”.
Pada akhirnya, kenyataan itu menyebut, “semoga Tuhan mendengar ratapan ini dan memberi umat manusia hati baharu, yang berupaya menunjukkan belas-kasihan kepada seluruh penciptaan, supaya tindakan konkrit dapat diambil untuk membolehkan semua makhluk untuk kembali memuji Pencipta dan kita untuk turut serta dalam ‘koir kosmik hebat’ ini yang merangkumi makhluk-makhluk yang tidak terkira, semua menyanyikan pujian kepada Tuhan”.
Vatican News (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: World Day of Prayer for Care of Creation kicks off Season of Creation