Guna pakai “SPF” dalam gotong-royong membersihkan Pusat St Lukas

By Maria Amella

KOTA PADAWAN — Pada 22 hingga 23 Julai lalu, Komisi Belia Keuskupan Agung Kuching (KAYC) telah menganjurkan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan Pusat St Lukas. 

Program gotong-royong ini turut disertai sukarelawan daripada CHOICE Kuching, alumni KAYA (Kuching Archdiocesan Youth Apostolate), Kuching Campus Ministry, dan belia dari paroki-paroki yang ada di bawah Keuskupan Agung Kuching. 

Seramai 85 orang menyertai program ini, dan seramai 52 belia telah menyertai program ini secara penuh selama dua hari.

Untuk menyemarakan lagi semangat kesukarelawanan, pendekatan ‘Service, Prayer & Fun’ (SPF) telah diguna-pakai dalam program dua hari itu.

Terdapat dua objektif utama program ini iaitu untuk membersihkan kawasan serta fasiliti St Lukas ini sehingga tempat ini dapat digunakan semula selepas dua tahun tidak digunakan. 

Objektif kedua adalah untuk membangun hubungan yang erat dengan Tuhan serta bertambah rapat lagi dengan sesama belia yang terlibat.

Program gotong-royong hari pertama dimulakan dengan sesi pengenalan program, diikuti lagu ‘Hari Ini’ sebagai pembuka acara.

Sesi diteruskan dengan taklimat tentang cara pembersihan, tempat pembersihan serta pembahagian kumpulan. 

Pembersihan dimulakan dengan tingkat atas, iaitu chapel dan sekitarnya, diikuti dengan bahagian tengah, iaitu asrama dan bilik air lelaki dan perempuan, bilik sekretariat dan bilik serbaguna. 

Turut dibersihkan adalah kawasan dapur dan bilik Uskup Agung dan CHOICE di tingkat bawah. 

Sukarelawan yang hadir dilihat membawa semangat kerjasama yang tinggi untuk memastikan kawasan Pusat St Lukas bersih digunakan.

Pada waktu malam, sesi mengeratkan hubungan sesama sukarelawan telah diadakan. 

Pembacaan yang digunakan diambil dari Kitab Kejadian Bab 18:1-10 tentang lawatan Nabi Abraham serta pembacaan Injil dari Lukas 1:38-42 tentang saudara Martha dan Maria. 

Sesi ini disampaikan oleh Julian Sim dari KAYC untuk membantu para sukarelawan melihat pentingnya sikap keramahan serta respon kita kepada Tuhan melalui aktiviti gotong-royong yang telah dijalankan pada sepanjang hari. 

Sesi turut disertakan dengan perkongsian daripada kumpulan pembersihan pada hari itu.

Hari kedua dimulakan dengan Misa Kudus pada jam 8:00 pagi. 

Dalam homili beliau, Father Ramon Borja, SDB, mengingatkan para sukarelawan bahawa keperluan menjaga diri sendiri adalah jauh lebih penting daripada melakukan pelayanan kerana jika kita menjaga diri sendiri, maka kita menghargai diri kita sebagai anugerah Tuhan. 

Dengan itu, kita dapat melayan dengan lebih baik. 

Gotong-royong pada hari kedua melibatkan bilik-bilik di bahagian bawah Pusat St Lukas, antaranya dewan sesi, dewan makan, bilik kecemasan dan bilik air bawah. 

Turut dibersihkan adalah peralatan dapur yang terdapat di situ. 

Gotong-royong pada hari tersebut berakhir sekitar jam 2.00 petang, dengan ucapan terima kasih daripada pihak KAYC kepada semua yang telah secara sukarela membantu dalam gotong-royong ini.

KAYC juga ingin merakam ribuan terima kasih kepada pihak yang telah menaja makanan serta peralatan untuk kerja pembersihan selama dua hari itu.

Semoga inisiatif seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Semua foto: KAYC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.