
Oleh Elizabeth Ernie Anak Rayeh
BAU — Program ‘Combined Lenten Reflection’ diadakan dengan jayanya di Gereja St Teresa Avila, Kampung Stenggang, di sini pada 15 Mac lalu.
Program ini merupakan anjuran Paroki St Stephen, dan Gereja St Teresa Avila telah dipilih sebagai lokasi utama bagi acara rohani ini.
Ia dihadiri seramai 500 peserta, yang terdiri daripada ketua dan penolong ketua umat, guru sekolah minggu, pengerusi komiti gereja kampung (KGK) dan ‘extraordinary communion minister’ (EOCM) dari 49 gereja di bawah Paroki St Stephen.
Acara dimulakan seawal jam 8 pagi dengan sesi pendaftaran peserta diikuti dengan sesi ‘sing along’ yang memeriahkan suasana.
Seterusnya, rekoleksi Prapaska bertajuk ‘Fokus dan Kembali Semula Kepada Yesus’ telah disampaikan oleh Stephanie Ng.
Penyampaian ini memberikan inspirasi kepada para peserta untuk memperbaharui iman dan mendekatkan diri kepada Kristus.
Selepas sesi rekoleksi, peserta diberi masa untuk renungan peribadi sebelum meneruskan sesi praktikal yang dikendalikan oleh Katekis Francis Leheir.
Sesi ini bertujuan untuk memberi panduan praktikal kepada peserta dalam mengamalkan ajaran Kristian dalam kehidupan seharian mereka.
Kemuncak program ini adalah Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Peter Liston.
Dalam homilinya, Fr Peter meminta agar jemaat sentiasa merendahkan diri, sentiasa berdoa untuk diri sendiri dan orang lain, lebih taat pada bulan puasa ini, dan menjadi anak murid Kristus yang mengamalkan kerinduan dan belas kasihan di dalam kehidupan seharian.
Seusai Misa Kudus, semua peserta berkumpul untuk sesi ‘fellowship’, yang memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman serta mengeratkan hubungan sesama umat.
Turut serta dalam program ini ialah pengerusi KGK St Joseph Kuching/St Stephen Bau, David Disam, yang memberikan sokongan kepada penganjuran program ini.
Turut memberi ucapan alu-aluan dan kesyukuran adalah pengerusi KGK St Teresa Avila, iaitu Christopher Daylang Motion.
Program ‘Combined Lenten Reflection’ ini berjaya mencapai matlamatnya untuk mendekatkan lagi para peserta kepada Tuhan melalui refleksi dan renungan mendalam sepanjang musim Prapaska.