KUCHING — Gereja Katolik St Peter di Padungan di sini telah dibuka semula untuk Misa Senjata pada 4 Julai (Sabtu), manakala Misa Pagi dan Misa Petang diadakan semula pada 5 Julai selepas ditutup selama lebih tiga bulan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung COVID-19.
Prosedur operasi standard (SOP) yang ketat telah dilaksanakan oleh pelbagai pasukan perkhidmatan yang terdiri daripada sukarelawan paroki di bawah Rektor Paderi Vincent Chin.
Dalam norma baharu, satu-satunya pintu keluar masuk gereja adalah pagar C yang terletak bersebelahan dengan Sekolah Antarabangsa St Joseph.
“Seperti yang diumumkan oleh Uskup Agung Simon Poh, gereja hanya menerima 100 jemaat sahaja bagi setiap Misa buat masa sekarang berdasarkan pendekatan dulu tiba, dulu masuk.
“Apabila pasukan perkhidmatan dan jemaat paroki sudah biasa dengan SOP, kita akan membuka gereja kepada lebih ramai jemaat paroki kerana gereja dapat menampung lebih daripada 190 orang dengan penjarakan sosial,” kata Chin, yang menambah Misa Harian mungkin akan diadakan semula supaya lebih ramai jemaat paroki dapat menerima Komuni Kudus.
Suhu badan diambil dan butiran peribadi direkodkan atau diimbas dengan aplikasi Qmunity di dua barisan di pintu utama. Jemaat paroki diwajibkan mencuci tangan mereka dengan pensanitasi selepas mereka meletakkan pemberian mereka ke dalam sebuah bakul yang disediakan sebelum memasuki gereja untuk ditunjukkan kepada tempat duduk mereka oleh warden yang bertugas.
SOP ketat sudah dilaksanakan untuk menerima Komuni Kudus dengan etiket baharu yang perlu diamalkan ketika berada di dalam gereja.
“Koir tidak ada, hanya seorang komentator sahaja yang turut menyampaikan bacaan-bacaan, dua pelayan Ekaristi dan tiada pelayan altar untuk meminimumkan risiko.
“Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, warga emas, mereka yang tinggal bersama warga emas, dan mereka yang ada masalah kesihatan digalakkan untuk mengikuti Misa yang distrim secara langsung di rumah,” tanbah Chin.
Menurut Chin, sebuah kumpulan sukarelawan mencuci gereja, kolumbarium, pusat paroki selain tandas sebelum dan selepas setiap Misa. Jemaat paroki yang menghadiri Misa boleh melawat kolumbarium dalam masa 30 minit selepas Misa, terhad kepada 18 orang dalam satu-satu masa.
Gereja St Peter mengalu-alukan jemaat paroki ke Misa Senja pada Sabtu jam 6.00 petang, dan Misa Hari Minggu pada jam 7.30 pagi dan jam 5.30 petang.
The Borneo Post (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: St Peter’s Padungan reopens for masses