Gereja St Ignatius sambut hari penaung

Oleh Jessica Ruja Raphael

SARATOK — Pada 30 Ogos yang lalu, Gereja St Ignatius di sini meraikan hari penaungnya, iaitu St Ignatius di Loyola. 

Perayaan itu dimeriahkan oleh kehadiran tetamu istimewa, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, dan ahli keluarga beliau.

UNIK… Tarian tradisional yang menjadi persembahan pembukaan daripada golongan belia. (Gambar: Travis Indit)

Majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan, Negaraku, dan tarian tradisional yang istimewa oleh golongan belia. 

Ia kemudian disempurnakan lagi dengan doa yang dipanjatkan oleh Fr Jerome Juleng untuk memberkati perjalanan program. 

Penyelaras program, Raphael, mengalu-alukan kedatangan hadirin dengan memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan. 

Dalam ucapannya, beliau menggesa jemaat menjadikan St Ignatius di Loyola sebagai contoh yang teguh dalam pelayanan yang diamanahkan kepada kita. 

Pelbagai aktiviti yang menarik turut diadakan sempena sambutan itu. 

Antaranya ialah jualan makanan dan minuman oleh golongan belia, lagu tajaan serta karaoke sebagai hiburan dan aktiviti sampingan. 

Acara kemuncak pada majlis itu adalah memotong riben pada gambar penaung sebagai simbol perasmian sambutan hari penaung gereja. 

PELANCARAN… Friday Belik (tiga kiri), Raphael (tengah), Fr Jerome (tiga kanan) dan beberapa ahli jawatankuasa induk gereja sama-sama memotong kek perayaan. (Gambar: Katekis Grace)
BERKAT… Friday Belik (dua kiri) menyerahkan cek kepada Raphael (dua kanan) disaksikan oleh Fr Jerome (kanan) sebagai sumbangan kepada Gereja St Ignatius, Saratok. (Gambar: Katekis Grace)

Majlis itu turut menyelitkan aktiviti memotong kek, pemberian cenderamata kepada Friday, dan tayangan montaj tentang sejarah dan aktiviti tahunan gereja tersebut.

Pada hari yang istimewa itu, Raphael sekali lagi memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana berkat yang diterima menerusi Friday yang telah memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Gereja St Ignatius di sini. 

Semua umat gereja turut bersyukur kepada Friday di atas kepimpinan dan sokongan beliau yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan majlis itu. 

Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada semua ahli jawatankuasa induk gereja kerana memberikan sokongan yang padu, terutamanya dari segi masa dan tenaga bagi menjayakan majlis itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.