LUNDU — Kem Kanak-kanak Sekolah Minggu dengan tema ‘Hadiah Yang Sempurna’ telah dianjurkan oleh guru Sekolah Minggu bersama komuniti belia pada 12–13 Februari lepas di Gereja St Felix, Kampung Biawak.
Kem tersebut disertai 40 kanak-kanak berumur 7-12 tahun, lapan orang guru Sekolah Minggu dan 17 orang fasilitator yang terdiri daripada golongan belia.
Objektif kem itu adalah untuk mengajar kanak-kanak hidup berdikari dan lebih mengenali diri.
Selain itu, ia memberi pendedahan kepada cara berdoa serta persediaan menghadapi Lent.
Kem itu juga bertujuan untuk mencungkil bakat serta mewujudkan kerjasama antara sesama.
Antara aktiviti lain dalam program tersebut ialah input mengenai diri, permainan, pengetahuan tentang Musim Lent dan unggun api sebelum ia diakhiri dengan salam perpisahan Murid Tahun Enam.
Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada peserta dan ibu bapa, mereka sangat gembira dapat menyertai kem tersebut dan berharap agar aktiviti seperti itu dapat diadakan lagi pada masa akan datang.