Gereja St Ann anjur Rekoleksi Musim Lent 

Sesi nyanyian bersama para peserta. (Gambar: St Ann Media)

Oleh Paroki St Ann

KOTA PADAWAN — Pada 8 Mac lalu, Ministri Pembentukan Iman Gereja St Ann di sini telah menganjurkan Rekoleksi Lent atau Prapaska, yang disertai seramai 950 umat.

Ia dimulakan dengan Misa Kudus dan nyanyian. 

Penceramah jemputan, Fr Henry Jimbey, menyampaikan ceramah rekoleksi bertajuk ‘Bagaimana Terus Melayan di Gereja – Melayani, Bukan Dilayani’.

Ceramah ini mengetengahkah ajaran Yesus dalam Markus 10:45: “Kerana Anak Manusia juga datang bukan untuk dilayani, melainkan untuk melayani, dan untuk memberikan nyawa-Nya menjadi tebusan bagi banyak orang.” 

Fr Henry menekankan bahawa pelayanan di gereja bukan sekadar tugas rutin tetapi suatu panggilan suci. Apabila Tuhan memanggil, apakah jawapan kita? 

Yesus sendiri datang ke dunia bukan untuk mencari penghormatan atau kemudahan, tetapi untuk melayani dan memberikan hidup-Nya demi keselamatan umat manusia. 

Oleh itu, setiap umat Kristian dipanggil untuk mengikuti teladan Kristus dalam melayani dengan kasih dan kesetiaan.  

Fr Henry Jimbey dari Church of Our Lady, Queen Of Peace, Sri Aman

Fr Henry mengakui bahawa tidak mudah untuk terus setia dalam pelayanan, lebih-lebih lagi apabila menghadapi pelbagai cabaran seperti keletihan, ketidaksefahaman, teguran dan kurangnya penghargaan. 

Namun, beliau menegaskan bahawa pelayanan yang sejati lahir daripada kasih yang mendalam kepada Tuhan dan sesama dengan memberikan diri. 

Dengan sentiasa berdoa dan bersandar kepada rahmat Tuhan, setiap umat dapat mengatasi cabaran ini. 

Cara untuk terus bersemangat dalam pelayanan adalah menjaga hubungan dengan Tuhan dan melayani dengan hati. 

Kehidupan doa yang kuat membantu seseorang kekal teguh dalam pelayanan.  

Selain itu, melayani dengan rendah hati bukannya mencari penghormatan, tetapi melayani dengan ikhlas seperti Yesus. Melayan menurut kehendak Bapa di Surga, bukan kehendak diri. 

Sentiasa menyiapkan diri untuk menjadi hamba bagi sesama tanpa mengira status atau latar belakang. 

Kesimpulannya, melalui renungan dan perkongsian dalam ceramah ini, Fr Henry mengajak semua umat untuk melihat pelayanan bukan sebagai beban tetapi sebagai anugerah. 

Dalam pelayanan, umat semakin bertumbuh dalam iman dan kasih kepada Tuhan. 

Renungan ini diharapkan memberi inspirasi dan kekuatan kepada umat untuk tetap setia dalam pelayanan gereja, demi kemuliaan Tuhan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.