Oleh Chrisma Vettra
SKRANG — Ministri Belia Paroki (PYM) Our Lady Queen of Peace telah menganjurkan Malam Bakat Belia dan Sambutan Gawai di Chapel St Anthony, Skim Skrang pada 1 Julai lepas.
Tema acara tersebut adalah ‘Bring Them To Me’ (Yohanes 6:1-15) dan ia telah disertai seramai 60 belia dari setiap zon, iaitu Zon Skrang, Zon Sri Aman, Zon Engkilili, Zon Lubok Antu, Zon Betong dan Zon Saratok.
Acara itu memberi peluang kepada peserta untuk mengetengahkan bakat serta kebolehan yang dianugerahkan oleh Tuhan selain membantu belia untuk lebih menghargai bakat serta kebolehan yang dianugerahkan dan menggunakannya dalam pelayanan gereja.
Selain itu, acara seumpama ini juga memberi peluang kepada golongan belia dan umat untuk meluangkan masa berkualiti dan mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.
Atur cara bermula pada jam 2.00 petang dengan aktiviti ringkas seperti ice-breaking dan nyanyian bersama yang diiringi Natalie Serani dan Ivor Kana.
Acara diteruskan dengan perkongsian daripada Sr Diana Butau yang memberikan satu perkongsian kerohanian untuk menyedarkan kita tentang anugerah yang boleh diperoleh menerusi pelayanan gereja.
Pada akhir sesi perkongsian itu, pihak penganjur memberikan sumbangan kepada Sr Diana sebagai tanda penghargaan atas perkongsian yang telah bermakna.
Antara aktiviti lain yang turut dijalankan adalah jualan minuman dan makanan, Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Henry Jimbey, dan pembahagian belia kepada keluarga angkat.
Acara diteruskan pada sebelah dengan aktiviti menarik seperti pertandingan lagu rohani, pertandingan tarian tradisional, persembahan tarian khas oleh anggota PYM St Steven dari Bau, cabutan tiket bertuah, acara ngiling bidai sereta memotong ranyai yang diketuai Fr Henry Jimbey, dan persembahan khas daripada Fr Henry yang menyanyikan beberapa buah lagu untuk hiburan semua.
Acara diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada juri yang dilantik untuk menghakimi pertandingan pada malam itu.
Kemuncak acara adalah pengumuman dan penyampaian hadiah kepada semua pemenang pertandingan lagu rohani dan pertandingan tarian tradisional.
Keputusan pertandingan diumumkan oleh Peter Engkassan selaku ketua juri.
Pertandingan lagu rohani dijuarai Ministri Belia Katolik (CYM) Gereja Our Lady Queen of Peace, Sri Aman, manakala naib juara adalah CYM Gereja Holy Family, Betong, dan tempat ketiga diduduki CYM Gereja St Ignatius, Saratok.
Hadiah sagu hati diberikan kepada CYM Gereja St Michael, Kaong Ulu dan CYM Gereja St Ignatius, Saratok.
Pertandingan tarian tradisional dimenangi CYM Gereja Our Lady Queen of Peace, Sri Aman, manakala CYM Gereja Holy Family, Betong memenangi tempat kedua, dan CYM Gereja St Ignatius, Saratok, di tempat ketiga.
Tempat keempat diduduki CYM Gereja St Anthony, Skim Skrang, dan tempat kelima jatuh kepada CYM Gereja St Michael, Kaong Ulu.
Selaku wakil penyelaras program PYM, Azlin Wetty mengucapkan rasa syukur atas kehadiran tetamu jemputan yang hadir dari setiap zon untuk menyokong dan memeriahkan acara pada malam itu.
Beliau turut menghargai kerjasama belia serta umat di Skim Skrang yang telah bertungkus-lumus menjayakan acara yang ditamatkan dengan doa malam dan nyanyian bersama yang diiringi oleh Ivor Kana.