Gereja Katolik St Ignatius anjur Majlis Makan Malam Sempena Hari Keluarga

RASMI… ADUN Krian, Friday Belik (tengah), memotong kek bagi merasmikan Majlis Makan Malam Sempena Hari Keluarga anjuran Gereja St Ignatius, Saratok. (Gambar: Travis Indit)

Oleh Jessica Ruja Anak Raphael

SARATOK — Jawatankuasa Gereja Katolik St Ignatius di sini telah menganjurkan Majlis Makan Malam Sempena Hari Keluarga pada 28 September lepas.

Ia ternyata bermakna, bersesuaian dengan tema majlis, iaitu ‘Bersatu Dalam Keluarga Kristus—Roma 12:5’.

Seluruh gereja di Saratok telah dijemput, seperti Gereja Anglikan dan Gereja Methodist, selain Gereja Katolik di bawah naungan Paroki Sri Aman.

Majlis makan malam ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan perpaduan dan cinta kasih di antara umat Katolik di Saratok dan memupuk kerjasama yang baik antara semua umat. 

Di samping itu, tujuan pelaksanaan majlis ini juga adalah untuk mencari dana tambahan bagi menjalankan aktiviti gereja. 

Pada malam istimewa itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, dan isterinya turut hadir untuk meluangkan masa bersama umat Katolik di Saratok dan meraikan Hari Keluarga di Dewan Serbaguna Taman Seroja Indah, Krupok di sini.

Turut sama meraikan majlis adalah Fr Henry Jimbey yang telah menyempurnakan majlis dengan doa pemberkatan bagi kelancaran majlis.

Sementara itu, dalam ucapannya, Pengerusi Pengelola Majlis, Raphael Engkayau, menyeru umat agar sentiasa mengekalkan keharmonian dan perpaduan di antara umat Katolik dengan gereja-gereja lain di sini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua jawatankuasa Gereja Katolik St Ignatius yang telah bertungkus lumus dan memberikan sokongan penuh untuk menjayakan majlis pada malam itu. 

Hadirin kemudian dihiburkan dengan atur cara seperti persembahan tarian traditional (ngajat) dan tarian lagu rohani oleh Ministri Belia, acara pemotongan kek, cabutan bertuah, dan nyanyian lagu tajaan yang terbuka kepada semua umat untuk menyerikan majlis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.