Oleh Alexia Fanella
SRI AMAN — Tanggal 29 April 2023 merupakan hari yang bersejarah bagi Keuskupan Agung Kuching amnya dan Paroki Our Lady Queen of Peace di sini khasnya apabila Fr Joseph Chai Syn Jin menyambut ulang tahun pentahbisan kepaderiannya yang ke-40.
Fr Joseph Chai, atau lebih mesra dipanggil Fr Joe, dilahirkan di Simunjan pada 6 July 1956 sebagai anak keenam daripada sembilan orang adik-beradik.
Beliau ditahbis menjadi paderi pada 3 Mei 1983 oleh Uskup Agung Peter Chung di Katedral St Joseph, Kuching.
Misa Kesyukuran telah diadakan di Gereja Katolik Our Lady Queen of Peace dan dirayakan oleh Uskup Agung Kuching Simon Poh bersama Uskup Agung Emeritus John Ha dan beberapa orang paderi dari Keuskupan Agung Kuching.
Majlis makan tengah hari dan acara pemotongan kek diadakan sejurus selepas perayaan Misa Kudus selesai.
Bertempat di Restoran Eden di sini, majlis tersebut dimeriahkan dengan pelbagai acara yang diselit dengan beberapa persembahan pentas dan cabutan tiket bertuah.
Turut hadir memberi sokongan kepada Fr Joseph adalah para religius, anggota keluarga, sahabat handai dan tidak ketinggalan anggota komuniti Katolik yang bernaung di bawah Paroki Sri Aman iaitu Skrang, Betong dan Saratok.
Dalam ucapan ringkasnya, Fr Joseph meluahkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus-lumus untuk menjadikan ulang tahun kepaderiannya sesuatu yang bermakna dan istimewa.
Beliau juga memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan di atas karunia kepaderian-Nya.
Harapan Fr Joseph adalah agar setiap kita berdoa untuk satu sama lain dan tidak lupa untuk berdoa bagi para paderi agar kita menjadi satu dalam Tubuh Kristus.