Dari China ke Borneo: ‘Saya harap Tuhan memberkati Gereja di Sarawak’

Uskup Agung Emeritus Peter Chung dengan kek harijadinya yang ke-96 dan ulang tahun kepaderiannya yang ke-70. Berkongsi sukacita bersama Sr Rose Wong (kiri), Uskup Agung Simon Poh (dua kiri), Uskup Richard Ng (dua kanan) dan Uskup Agung Emeritus John Ha (kanan), 9 Oktober 2024, CEWC. (Gambar: Peter Chai)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Misa kesyukuran dirayakan di Katedral St Joseph di sini pada 8 Oktober lalu sempena ulang tahun pentahbisan kepaderian ke-70 Uskup Agung Emeritus, Datuk Seri Peter Chung.

Majlis makan malam kesyukuran, yang dianjurkan oleh Majlis Pastoral Keuskupan Agung Kuching sempena ulang tahun pentahbisan kepaderiannya dan harijadinya yang ke-96, diadakan pada 9 Oktober lalu di Pusat Ibadah Ekumeni Kristian (CEWC).

Uskup Agung Emeritus Peter Chung ditahbis menjadi paderi oleh Uskup John Vos pada 26 September 1954, sejurus selepas ketibaannya di Kuching dari Macao, China, pada 21 Ogos. 

Beliau dilantik menjadi Uskup Agung Kuching pada 1976, seiring dengan penubuhan Keuskupan Agung Kuching. 

Komuniti Katolik memenuhi CEWC untuk menunjukkan kasih dan sokongan mereka bagi “orang asing” itu yang telah melayan umat di Brunei, Sabah dan Sarawak sejak 70 tahun lalu, dan sekarang menganggap Sarawak sebagai “kampung halaman”.

Pemuda dari sebuah kampung di China

Dalam ucapannya, Uskup Agung Simon Poh memberi penghormatan yang tinggi dan selayaknya kepada “pemuda yang telah datang dari sebuah kampung di China, yang hanya fasih bertutur dalam bahasa Mandarin dan Latin” dan “dengan hati yang percaya dan rendah, beliau mempelajari pelbagai bahasa, berdoa dan dengan tekun mempercayai Tuhan ketika beliau meletakkan asas dan merangka visi Gereja di Malaysia Timur”.

Uskup Agung Simon Poh

Uskup-uskup dari Sabah telah berkongsi “visi beliau untuk menanam benih bagi asas Perhimpunan Pastoral Sabah yang menghimpunkan seluruh paroki di Sabah sebagai satu Gereja Katolik di Sabah”.

Sabah sekarang menghasilkan paling ramai paderi dan religius di Malaysia Timur.

Legasi beliau

Dengan penubuhan Wilayah Eklesia Malaysia Timur pada 1976, Uskup Peter Chung dilantik untuk menjadi Uskup Agung Kuching.

Pada 1977, beliau mengeluarkan Surat Pastoral, ‘Tugasan dan Tanggungjawab Kita’ dengan laporan terperinci tentang Uskup Agung baharu dan respons pastoral beliau sebagau gembala baharu. 

Pada ulang tahun ke-25 Keuskupan Agung Kuching, Surat Pastoral Uskup Agung Peter Chung, ‘Kita adalah Gereja’, menyoroti pertumbuhan, cabaran dan respons pastoral bagi Keuskupan Agung Kuching.

Pengganti beliau, Uskup Agung John Ha (2003-2017) dan Uskup Agung Simon Poh (2017 sampai sekarang), terus membina di atas asas yang telah diletakkan oleh Uskup Agung Peter Chung dengan visi: ‘Kita adalah Gereja, Murid-Murid Sabda, dalam Komuni bagi Misi’.

Tanda tenaga Gereja Katolik di Sarawak

Uskup Agung Emeritus Peter Chung, dalam ucapan ringkas setelah memotong kek ulang tahunnya, menyuarakan sukacita dan kegembiraannya selepas melihat Gereja berkembang “daripada kekuatan kepada kekuatan” dan menunjukkan “tanda tenaga Gereja tempatan sepenuhnya di Sarawak”.

Uskup Agung Emeritus Peter Chung

Beliau memuji dan mengucapkan terima kasih kepada “Tuhan bagi pertumbuhan dalam Gereja tempatan, dan berdoa agar Tuhan terus memberkati Gereja tempatan di sini dan meminta agar Bonda Maria terus membantu Keuskupan Agung ini untuk menjalankan kerja penginjilan”.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada santo dan santa yang menjadi penaung bagi paroki tempatan.

Beliau akan terus berdoa untuk lebih banyak panggilan “supaya kerja Gereja akan diteruskan… dikukuhkan, berkembang dan tersebar lebih jauh” untuk merangkumi kawasan pedalaman Sarawak.

Satu-satunya keinginan dan doa Uskup Agung Emeritus Peter adalah “saya harap Tuhan akan memberkati Gereja di Sarawak… memberkati uskup-uskup, para paderi, religius dan semua anda, anak-anak Tuhan yang dikasihi”.

Program makan malam itu turut menunjukkan sebuah klip video tentang sejarah kehidupan Uskup Agung Peter. Hiburan yang merangkumi nyanyian dan tarian kebudayaan, siaran secara langsung dan muzik, menambah kepada suasana sukacita pada malam itu. 

Uskup Agung Simon memimpin hadirin dengan satu lagu yang diabadikan kepada Uskup Agung Peter. Lirik lagu itu ‘I thank my God’ (Aku bersyukur kepada Tuhanku) ditulis oleh paderi Roman Katolik, pakar liturgi dan komposer dari Australia, Fr Frank Andersen.

Dalam doa penutupannya, Uskup Agung Emeritus John Ha bersyukur kepada Tuhan “di atas anugerah seorang gembala baik” dan memohon-Nya untuk memberkati Uskup Agung Emeritus Peter “dengan cara yang sangat istimewa untuk memberikan kepadanya kesihatan yang munasabah sihat agar beliau dapat menyaksikan Jubli Emas keuskupan” pada 2026 dan menyambut harijadi beliau yang ke-100 (pada 2028).

GALERI FOTO – Gambar oleh Peter Chai/Today’s Catholic-Shannon Wei

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: From China to Borneo: ‘I hope God will bless the Church in Sarawak’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.