Oleh Ivy Chai
KUCHING — Media sosial riuh sekarang tentang vaksin yang diluluskan dan sekarang disediakan bagi COVID-19. Bagaimanapun, perkara paling utama dalam fikiran ramai orang Katolik adalah isu-isu moral dan etika berhubung vaksinasi.
Persidangan Uskup-Uskup Katolik (CBCM) mengeluarkan sepucuk surat pastoral mengenai imunisasi dan vaksin COVID-19, bersama senarai soalan-soalan utama berdasarkan dokumen-dokumen Vatikan, kepada umat Katolik pada 4 Februari 2021.
Pendirian Katolik ialah vaksinasi merupakan satu kebaikan moral, dan prinsip moral berhubung vaksinasi adalah ia “bergantung bukan sahaja kepada kewajipan untuk melindungi kesihatan kita sendiri sahaja, tetapi juga kepada kewajipan untuk mendapatkan kebaikan bersama”.
Uskup Agung Kuching Simon Poh telah berkomunikasi dengan Unit Agama-Agama Lain (UNIFOR) dan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bahawa “Gereja Katolik Malaysia berdiri dalam solidariti bersama semua yang terjejas akibat pandemik COVID-19”.
Kepada umat Katolik, Uskup Agung berkata, “Semua orang mesti bersatu demi kebaikan bersama dan kesejahteraan semua di negara kita”. Beliau menjelaskan bahawa program vaksinasi Sarawak bertujuan untuk mencapai imuniti kelompok apabila 70–80 peratus rakyat divaksinasi.
Beliau memberi jaminan kepada umat Katolik bahawa “isu-isu etika atau moral tidak ada mengenai pemerolehan vaksin semasa yang diluluskan jika mengambil kira ajaran moral Gereja”. Beliau menyokong pelan imunisasi inklusif kerajaan negeri Sarawak untuk memberikan vaksinasi COVID-19 kepada semua penduduk tempatan, selain penduduk dari negeri lain serta warga asing yang duduk di Sarawak.
Uskup Agung Simon menyarankan agar umat Katolik membuat keputusan bermaklumat berdasarkan hati naluri diri sendiri dengan menimbang status keadaan kesihatan dan risiko kesihatan peribadi; kaji/selidiki laman sesawang dan penerbitan perubatan yang bereputasi tentang jenis vaksin, statistik bagi mereka yang divaksin, hasil ujian, keberkesanan, kesan sampungan, dan sebagainya.
Pilihan untuk menerima atau tidak menerima vaksin adalah hak peribadi. Buat sementara waktu, mereka diwajibkan untuk mematuhi SOP keselamatan awam – memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial satu meter, meminimumkan titik kontak, dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.
Uskup Simon juga merupakan Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS). Dalam perundingan bersama ketua-ketua Gereja pada 23 Februari lalu, mereka pada dasarnya, menyokong vaksinasi untuk membantu membendung COVID-19 di Sarawak dan Malaysia.
“ACS tidak mengendos sebarang vaksin khusus untuk umat dan menyerahkan pemilihan vaksin untuk diberikan oleh golongan profesional perubatan, dan memastikan keselamatan dan keberkesanan terbukti berdasarkan penyelidikan dan bukti saintifik,” katanya.
Beliau menggalakkan semua orang Katolik, orang Kristian, rakan-rakan dan mereka yang berniat baik di Sarawak, untuk sentiasa menimbang kebaikan umum bagi semua penduduk. Prelatus itu berkata: “Marilah kita bercakap sebagai “KITA” (bukan ‘SAYA’) kerana kita telah mengharungi pandemik ini bersama-sam sejak PKP pada Mac 2020.
“Sementara kita mengetepikan perbezaan daripada latar belakang, kebudayaan, kepercayaan dan status sosial yang berbagai, janganlah kita membiarkan politik atau ahli politik untuk memecah-belah misi umum kita untuk menewaskan COVID-19. Semoga kita sama-sama berdiri sebagai sebuah keluarga demi kebaikan semua.”
Uskup Agung Simon, bersama Uskup-Uskup Emeritus Peter Chung dan John Ha, Uskup Richard Ng, dan lebih 30 orang paderi dan religius dalam Keuskupan Agung Kuching, sudah mendaftar diri untuk vaksinasi. Ketua-ketua Gereja lain di Sarawak juga bersedia untuk mengetuai usaha bagi menggalakkan penerimaan vaksin.
“Kami telah membuat keputusan ini dengan mengambil kira kebaikan umum rakyat kita sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan pastoral kita di negara ini,” kata Uskup Agung.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: COVID-19: What is the stance and teaching of the Catholic Church on vaccination?