BSC lancar Projek Pandemik 2021 untuk membantu golongan rentan

Oleh Thomas Ngu

KUCHING — Ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun–Julai 2021 dan penutupan banyak perniagaan, ramai pekerja, terutamanya pekerja bergaji harian, terpaksa dihentikan dan tidak ada punca pendapatan.

Ketua Pelayan ‘Emmaus Servant Community’ (ESC), Pauline Lim, mencadangkan kutipan dana daripada kalangan ahli-ahli Komuniti untuk membantu mereka yang terjejas.

Berdasarkan projek kutipan dana pada masa lalu, ESC rasa yakin dapat mengutip RM5,000 untuk membantu 25 keluarga, dengan memberikan RM200 kepada setiap keluarga.

Kemudian, dengan sokongan Rektor Paroki ‘Blessed Sacrament’ (BSC) Fr Patrick Heng, dan Pengerusi (ketika itu) Majlis Pastoral Paroki (PPC) BSC Thomas Ting, ESC memutuskan untuk menjemput ministri lain dalam Paroki ‘Blessed Sacrament’ untuk sama-sama mengutip dana bagi membantu keluarga yang lebih memerlukannya.

Mesyuarat PPC diadakan pada 8 Julai 2021 di mana sebuah jawatankuasa kecil ‘Jawatankuasa Projek Pandemik’ (PPCom) ditubuhkan di bawah pimpinan Thomas Ngu.

Ia telah diputuskan bahawa bantuan itu tidak seharusnya diberi sekali sahaja tetapi harus dibahagikan dalam masa tiga bulan dengan harapan agar situasi pandemik akan bertambah baik dan perniagaan dibuka semula selepas tiga bulan.

Jawatankuasa itu juga menyedari ramai individu dan banyak pertubuhan yang prihatin ketika itu membahagikan bakul dan bungkusan makanan kepada mereka yang memerlukannya dengan rujukan khusus kepada inisiatif ‘Bendera Putih’ dan pelbagai Stesen Makanan yang ditubuhkan di beberapa lokasi.

Fr Patrick menyarankan agar bantuan itu diberi dalam bentuk wang tunai bagi membantu keluarga yang memerlukannya untuk membayar sewa, bil utiliti, minyak dan keperluan sampingan lain.

Selepas pertimbangan yang mendalam, ia akhirnya diputuskan untuk menetapkan beberapa garis panduan bagi anggota paroki untuk mengenal pasti dan memperkenalkan keluarga yang memerlukan bantuan kepada PPCom bagi mendapatkan kelulusan dan pengeluaran dana:

  1. Keutamaan mesti diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan bandar.
  2. Setiap keluarga akan diberikan bantuan kewangan, sama ada RM100, RM200 atau RM300, bergantung kepada keperluan mereka.
  3. Bantuan itu adalah untuk sebulan, dua bulan atau tiga bulan, yang bergantung juga kepada keperluan mereka.

Dengan andaian RM300 selama tiga bulan bagi satu keluarga, sasaran realistik bagi jumlah RM45,000 untuk 50 keluarga telah ditetapkan.

PPC dan Jawatankuasa Perhubungan Cina (CLC) masing-masing memberikan komitmen sebanya RM5,000 dan RM3,000 untuk memulakan Projek Pandemik.

ESC pula berjanji untuk mengutip RM5,000 sebulan selama tiga bulan dari Julai hingga September 2021, manakala baki jumlah sebanyak RM22,000 lagi dikutip daripada anggota paroki.

Surat rayuan derma kemudian dikeluarkan oleh Fr Patrick manakala PPCom mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 11 Julai 2021 di mana banyak maklumat lain dimuktamadkan.

Pada hujung Julai 2021, jumlah sebanyak RM81,296.94 dikutip untuk membantu 104 keluarga. Keluarga ini dikenal pasti oleh ‘Introducers’ (Pengenal) dari berbagai ministri BSC yang bersusah payah berusaha untuk mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan dalam kalangan mereka dan di kawasan kejiranan mereka.

Pada Ogos 2021, jumlah sebanyak RM17,000 lagi telah dikutip. Sebanyak 28 keluarga yang memerlukan bantuan telah ditambah kepada 104 keluarga yang pertama.

Setakat 11 September 2021, jumlah keseluruhan yang dikutip adalah RM101,459.86 dengan kekurangan sebanyak RM3,340.14 lagi yang masih diperlukan untuk menyara 132 keluarga ini.

Projek kutipan dana itu tamat pada 30 September 2021. PPCom yakin Tuhan akan menyediakan baki sebanyak RM3,340.14 lagi, menerusi derma yang murah hati daripada anggota paroki.

Biji sawi kecil (Matius 13:31-32) awal sebanyak RM5,000 dari ESC sudah berkembang menjadi pokok besar yang memberi tempat berteduh kepada 132 keluarga.

Projek Pandemik ini telah menunjukkan kepada kita, sama seperti Yesus menggandakan lima buku roti dan dua ekor ikan untuk memberi makanan kepada lima ribu orang (Matius 14:13-21), Dia juga akan melakukan perkara yang sama bagi kita apabila kita bersedia untuk membahagikan lima buku roti dan dua ekor ikan kita sendiri dengan orang lain (Matius 14:16).

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: BSC launches Pandemic Project 2021 to help the needy

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.