Oleh Philip Kosloski
‘The Real Presence’ atau Hadirat Sebenar Kristus tidak berakhir selepas kita menerima-Nya dalam Misa di bawah rupa roti dan wain atau air anggur.
Khazanah agung Gereja Katolik adalah Ekaristi—Yesus sendiri yang tersembunyi di dalam rupa roti dan wain. Kita percaya, seperti yang dinyatakan oleh Katekisme, bahawa “di dalam Sakramen Mahu Kudus Ekaristi, ‘tubuh dan darah, bersama dengan jiwa dan keilahian Tuhan kita, Yesus Kristus, dan oleh yang demikian, seluruh Kristus, adalah benar-benar terkandung’” (CCC 1374).
Selain itu, Hadirat Sebenar Kristus di dalam Ekaristi tidak berakhir serta-merta apabila kita menerima-Nya pada waktu Komuni. Katekisme seterusnya menjelaskan bagaimana “Hadirat Kristus dalam Ekaristi bermula pada saat konsekrasi dan bertahan selagi spesies Ekaristi masih hidup” (CCC 1377).
Apakah maksud perkara itu apabila kita menerima-Nya di dalam mulut kita? Berapa lamakah Hadirat Sebenar Yesus kekal di dalam badan kita?
Terdapat satu cerita terkenal daripada kehidupan Santo Philip Neri yang membantu menjawab persoalan itu. Suatu hari ketika beliau merayakan Misa, seorang lelaki menerima Komuni Suci dan meninggalkan gereja awal. Lelaki itu seakan-akan tidak mempedulikan Hadirat di dalam dirinya, dan maka itu, Philip Neri memutuskan untuk menggunakan peluang ini sebagai waktu mengajar. Beliau menghantar dua budak altar dengan lilin yang dinyalakan untuk mengekori lelaki itu ke luar gereja. Selepas seketika berjalan di lebuh Rom, lelaki itu menoleh ke belakang dan melihat budak altar tersebut masih mengekorinya. Keliru, lelaki itu berpatah balik ke gereja dan bertanya kepada Philip Neri kenapa beliau menghantar budak-budak altar itu. Santo Philip Neri menjawab dengan berkata, “Kita mesti memberi penghormatan yang sewajarnya kepada Tuhan kita, yang kamu bawa pergi bersama kamu. Memandangkan kamu mengabaikan untuk memuja-Nya, saya telah menghantar dua pelayan Misa untuk menggantikan tempat kamu.” Lelaki itu terkejut dengan jawapan itu dan bertekad untuk menjadi lebih peka tentang hadirat Tuhan selepas itu.
Ia diandaikan secara umum bahawa spesies roti Ekaristi kekal selama kira-kira 15 minit selepas penerimaan. Ini adalah berdasarkan biologi mudah dan mencerminkan kenyataan dalam Katekisme bahawa hadirat Kristus “bertahan selagi spesies Ekaristi masih hidup”.
Inilah sebabnya kenapa ramai santo dan santa mengesyorkan doa selama 15 minit selepas menerima Ekaristi sebagai kesyukuran kepada Tuhan. Ini membolehkan jiwa untuk menikmati hadirat Tuhan dan benar-benar berbicara “hati ke hati” dengan Yesus.
Di dunia kita yang bergerak pantas, ia selalunya sukar untuk tinggal lama selepas Misa, tetapi itu bukan bermaksud kita tidak dapat sekurang-kurangnya memanjatkan doa kesyukuran yang singkat. Perkara utama ialah kita perlu ingat bahawa hadirat Yesus di dalam Ekaristi kekal bersama kita selama beberapa minit dan memberikan kepada kita masa yang istimewa di mana kita dapat berhubung dengan Tuhan kita dan merasakan kasih-Nya di dalam kita.
Jika suatu hari nanti anda lupa, jangan terkejut seandainya paderi paroki anda menghantar pelayan altar untuk mengekori anda ke kereta anda apabila anda meninggalkan Misa awal!
Aleteia (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: How long is Jesus present in the Eucharist after we’ve received communion?