Oleh Melissa Esmeralda anak Menchon
LUNDU — Ministri Belia Paroki (PYM) Paroki Sri Aman telah menganjurkan program Lenten Retreat di Shepherd Green, Lundu, dengan tema ‘The Return of The Prodigal Son’ (Lukas 15:11-32).
Program ini berlangsung selama tiga hari dari 3 hingga 5 Mac 2023 dan disertai seramai 40 orang belia dari sekitar kawasan Paroki Si Aman yang terdiri daripada Zon Sri Aman-Engkilili, Zon Lubok Antu, Zon Skrang, Zon Betong dan Zon Saratok.
Objektif program Lenten Retreat ini adalah untuk memberi kesempatan kepada belia merenung kembali akan kehidupan yang mereka lalui sebagai seorang Katolik dan menyerahkan diri secara peribadi kepada Yesus agar mereka terbuka hati untuk dipakai oleh Tuhan.
Selain itu, melalui program ini, peserta dibimbing untuk kembali kepada iman Gereja melalui maklum balas yang bertemakan cerita anak yang hilang dalam Injil Lukas 15: 11-32.
Para peserta juga berpeluang merasakan pengalaman hidup berdoa secara peribadi dan berkumpulan, merasakan ziarah melalui cabaran dan kekurangan yang dilalui sepanjang program serta berkongsi Spiritual Support dan mengukuhkan lagi hubungan antara mereka sebagai satu pasukan pelayan di gereja.
Antara pengisian program tersebut adalah sesi Sing Along, perkongsian berkumpulan, Doa Kerahiman Ilahi, Doa The Seven Sorrows of Mary Chaplet, Misa Kudus, dan input berkaitan tema iaitu The Return of The Prodigal Son yang disampaikan oleh Fr Henry Jimbey.
Ketua PYM OLQP, Antonious Remon juga memberikan perkongsian berkaitan tema ‘The Return of The Prodigal Son’ dan mengajak para peserta bersatu dan menjadikan Yesus sebagai fokus utama dalam pelayanan.
Fr Henry juga meminta mereka mencari benda yang ada di sekeliling mereka.
Antara pengalaman yang sangat berharga bagi para peserta adalah mengenali beberapa doa buat pertama kalinya seperti The Seven Sorrows of Mary, Angelus Prayer dan Night Prayer.
Selain itu, kesatuan dalam sesi perbincangan dan doa telah memberi satu pengalaman baharu kepada peserta yang menyebabkan mereka berasa amat seronok terutamanya semasa mereka menyertai acara sukan dan riadah yang dijalankan.
Terdapat juga peserta yang memasang khemah bagi mengamati suasana malam di tepi pantai.
Melalui program Lenten Retreat ini, para peserta berpeluang mempelajari erti kesederhanaan dalam kehidupan melalui perkongsian dan menggunakan kemudahan yang seadanya tanpa mengharapkan sesuatu yang sempurna daripada pihak pengelola.
“Saya bersyukur mengikuti program ini kerana banyak perkara yang saya perolehi dan dalam masa yang sama dapat mengadakan fellowship dengan rakan belia. Melalui program ini, saya belajar untuk melayani Tuhan dengan penuh semangat dan sukacita dalam kehidupan sehari-hari. Program ini juga ada memperkenalkan devosi baharu, di mana dengan devosi ini saya dapat menguatkan lagi iman Kristiani saya.” – Daniel
“Saya merasakan ketenangan dan dapat merasakan Roh Kudus bekerja dalam tubuh badan saya. Saya berharap saya akan dapat lebih berkomunikasi dengan rakan belia lain dalam pelayanan saya seterusnya.” – Amey Yohanisa
“Dalam program ini, saya berasa tenang dan menambahkan ilmu agama dalam hidup saya, dan berasa amat bersyukur kerana dapat menyertainya. Saya berpeluang bekerjasama dan berkomunikasi dengan rakan belia yang lama dan baru.” – Aliceyacresty Runai