‘Baruk Friar’ Gerard Victor tinggalkan Sarawak

Tangkapan skrin menunjukkan Friar Gerard Victor, OFM semasa temu bual istimewa

KOTA PADAWAN – Kehadiran bekas rektor Gereja St Ann, Padawan, sewaktu sambutan Perayaan St Ann pada 26-28 Julai lalu amat menggembirakan jemaat paroki tersebut.

Ia sudah tiga bulan sejak jemaat paroki Gereja St Ann mengucapkan selamat jalan kepada Friar Gerard Victor OFM yang mereka sayangi.

Dalam satu paparan Facebook bertarikh 8 Mei lalu, Friar Gerard menyuarakan kasih sayang dan rasa syukur beliau kepada jemaat paroki St Ann.

“Saya takjub dengan masa yang berlalu begitu cepat (14 tahun) dan masanya sudah tiba untuk pulang ke negara asal. Saya sentiasa bersyukur kepada Tuhan yang mengutus saya ke Paroki St Ann sehingga lama-kelamaan saya semakin seperti orang Sarawak,” beliau menulis.

“Saya selama ini memang mahu dikenali sebagai ‘Friar Jemaat’ kerana ia sentiasa menyeronokkan untuk turun ke peringkat akar umbi dan sama-sama berkongsi kegembiraan, kasih sayang serta harapan sebagai jemaat St Ann,” tulis friar dari Singapura itu.

Friar Gerard pertama kali menjejakkan kaki di Misi St Ann pada Mei 2005, dan menjadi paderi penolong kepada Friar Joseph Goh.

Pada Disember 2007, Friar Joseph Goh menyerahkan Jawatan Rektor kepada Friar Gerard. Sejak itu, banyak projek pembangunan telah dijalankan, untuk membawa Paroki St Ann dari satu mercu tanda ke mercu tanda lain, baik dari segi jasmani mahupun rohani.

Dalam temubual video khas yang disiarkan secara langsung dalam laman Facebook Gereja St Ann seminggu sebelum beliau meninggalkan Sarawak, Friar Gerard membahagikan buah fikiran dan memori beliau selama 14 tahun menabur bakti di Paroki St Ann.

Beliau memberitahu, memori paling tidak dapat dilupakan termasuk projek pembinaan bangunan baharu Gereja St Ann; lawatan oleh Perdana Menteri Malaysia (ketika itu) Dato’ Sri Mohammad Najib Abdul Razak dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari ke tapak bangunan baharu Gereja St Ann; dan perayaan Ulang Tahun Ke-50 Gereja St Ann, iaitu satu sambutan empat-dalam-satu yang begitu berjaya.

Beliau merasakan bahawa ini adalah sambutan yang diraikan sekali dalam seumur hidup.

Tidak ada perpisahan yang mudah, terutamanya bagi mereka yang dekat di hati. Apabila berita mengenai pemergian beliau dimaklumkan, ramai anggota paroki berjumpa dengan Friar Gerard untuk menyuarakan kesedihan mereka. Ketika itulah beliau menyedari bahawa usaha beliau yang gigih sudah membuahkan hasil.

“Dalam tempoh beberapa bulan lalu, saya menyedari bagaimana saya telah menyentuh kehidupan jemaat di sini di St Ann, dan mereka mendapati ia sukar untuk melepaskan saya pulang ke Singapura,” kata beliau dalam temubual berkenaan.

Apabila penemubual memuji sumbangan beliau yang begitu besar kepada paroki itu, yang menjadikan beliau rektor paling berpengaruh dalam sejarah St Ann, Fr Gerard berkata beliau hanya mahu diingati sebagai ‘Baruk Friar’ (yang bermaksud ‘Friar Jemaat’).

“Saya tidak mahu diingati sebagai rektor terbaik dalam sejarah St Ann. Saya tidak mahu diingati sebagai rektor yang membina bangunan baharu Gereja St Ann. Saya mahu anda mengingati saya sebagai friar jemaat, seorang friar yang sentiasa bersama jemaat dan berjalan bersama mereka,” kata beliau.

Ditanya apakah cabaran paling besar yang beliau alami di St Ann, beliau berkata ia adalah ketiadaan kerjasama daripada individu-individu tertentu “dengan paroki dan dengan saya selaku Rektor”.

“Kadang-kadang orang ini menjadi halangan kepada perkembangan paroki,” kata beliau.

Pada hujung temubual, Fr Gerard menggesa jemaat St Ann untuk sentiasa “bersatu, bekerja sama dengan satu sama lain, melihat perkara positif dalam satu sama lain, dan membangunkan jemaat ini terutamanya di kampung dan estet perumahan”.

Beliau menegaskan bahawa faktor ‘rami’ (yang bermaksud ‘kebersamaan’) dalam masyarakat Dayak merupakan satu ciri penting dalam kehidupan penduduk tempatan dan jemaat Katolik di St Ann.

“Ia memakan masa selama 14 tahun (bagi kita) untuk kita sampai ke tahap ini. Dalam tempoh kira-kira sepuluh tahun akan datang, marilah kita bekerja bersama, mengambil berat tentang satu sama lain, dan paling penting sekali meletakkan Yesus di tengah-tengah kehidupan kita. Tanpa Yesus di tengah-tengah kehidupan dan penyembahan kita, banyak perkara yang tidak akan menjadi,” kata beliau.

Beliau seterusnya menambah bahawa jemaat paroki perlu menyokong dan bekerja bersama pasukan paroki baharu yang terdiri daripada Friar William, Friar Don Don dan Friar David.

Pada 11 November 2018, Friar Gerard menyerahkan Jawatan Rektor kepada Friar William Lee OFM.

Misa khas telah diraikan pada 21 Februari 2019 untuk memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana memberi Friar Gerard kepada paroki ini.

Dalam tempoh beberapa bulan sebelum pemergian beliau, banyak majlis makan malam perpisahan dan kesyukuran telah dianjurkan oleh jemaat paroki dari gereja kampung dalam pelbagai zon sebagai tanda penghargaan mereka kepada friar yang mereka sayangi.

Pada 9 Mei lalu, ramai anggota paroki dan rakan-rakan mengucapkan selamat jalan kepada beliau dan Friar Kenny Anthonysamy OFM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Sejak beliau pulang ke Singapura, Friar Gerard Victor telah melayani jemaat paroki Gereka Salib Suci (Church of the Holy Cross).

Beliau akan kembali ke Kuching lagi pada September untuk perasmian bangunan baharu Gereja St Michael, Teng Bukap.

Audrey Yu (Terjemahan)


News in English: The ‘Baruk Friar’ Fr Gerard Victor leaves Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.