AlphaDM menyahut seruan Roh Kudus

Oleh Caroline Soon & Stephen Chin

KUCHING — Kursus kedua Alpha dalam talian yang bermula pada 4 Julai tahun ini dipanggil AlphaDM kerana ia merupakan kolaborasi antara pelayanan Divine Mercy Sarawak (DMS atau Kerahiman Ilahi Sarawak) dengan pasukan Pan Malaysia Alpha (Alpha Seluruh Malaysia).

Diilhamkan oleh Roh Kudus, pasukan itu terdiri daripada anggota-anggota dari gereja-gereja Malaysia Barat dan Timur.

‘Alpha Seluruh Malaysia dalam Konteks Katolik’ yang pertama dalam talian diadakan pada bulan April 2021, selepas ia dilancarkan pada Hari Minggu Kerahiman Ilahi.

Seruan Roh Kudus memang nyata, jadi hampir serta-merta selepas kursus pertama berakhir, kita memulakan AlphaDM.

‘FAN INTO FLAME THE GIFT OF DIVINE MERCY’ (Tiup Anugerah Kerahiman Ilahi Sehingga Membara) merupakan ‘tagline’ yang digunakan bagi kursus AlphaDM itu.

Ia pada mulanya menyasari hanya 100 peserta sahaja, tetapi tidak lama kemudian, kami menyedari bahawa orang mendaftar diri pada kadar yang lebih cepat daripada apa yang dapat ditangani.

Menyedari bahawa komuniti yang bertutur dalam Bahasa Malaysia juga ingin menyertainya, pasukan teras membuat keputusan untuk membahagikan para peserta kepada kumpulan-kumpulan bahasa, selain menambah Alpha Belia.

Fr John Gnanapiragasam, yang mengetuai Alpha di Keuskupan Agung KL, menasihatkan agar “tiada sesiapa yang dikecualikan”.

Selepas itu, tiada had dikenakan ke atas jumlah peserta, dan kursus itu akhirnya bermula pada 4 Julai. Hampir 400 tetamu menyertai kursus itu: 200 bagi Alpha Inggeris, 100 Alpha Belia, dan 100 bagi Alpha BM, dalam tiga wadah berasingan.

Semua anggota pasukan terbabit telah belajar dalam pengalaman ini bahawa, apabila Tuhan memanggil, murid Tuhan yang mempunyai aspirasi akan menjawab, AKU DI SINI TUHAN.

Sepanjang perjalanan Alpha, dan seterusnya hingga ke hari ini, Fr Martin Arlando memberi inspirasi kepada kami daripada diari St Faustina.

Diari itu dengan tepat sekali bercakap kepada kami, “Berapa lama lagikah Aku perlu bersabar dengan kamu, dan berapa lama lagikah anda akan membuat Aku menunggu?”

Kami sangat diberkati kerana lapan orang paderi dari seluruh Malaysia, termasuk Fr John dan Fr Martin, menyertai perjalanan ini bersama kami.

Ini adalah kuasa dan kreativti Tuhan kita yang dipamerkan sepenuhnya. Dia tahu tentang kelaparan dalam kalangan domba-Nya pada waktu pandemik ini, Dia telah memberikan roti manna kepada semua yang lapar.

Para peserta dari semua paroki sudah merasakan roti manna itu dan sekarang kami mesti keluar dan mewartakan Berita Baik.

Tuhan kita, Yesus Kristus, adalah satu-satunya yang melakukan kerja mengubah hati manakala kita sekadar alat-alat-Nya.

Apabila kita menyerah diri kepada Roh Kudus, kita menyaksikan perubahan hati dalam diri kita sendiri apabila kita membiarkan cahaya Roh Kudus bersinar menerusi kita.

Bersama lapan orang paderi berkenaan sebagai para pembimbing rohani kami, kami menceritakan tentang kelemahan kami dalam kesaksian kami.

Kami mengatasi kecenderungan manusia untuk mencetuskan konflik, dan mengubahnya menjadi peluang untuk rahmat bekerja di dalam diri kami, demi kemuliaan Tuhan.

Satu bahagian Alpha yang penting adalah mengacarakan kumpulan kecil. Ramai yang mengacara buat pertama kali, dan bersama kumpulan peserta Alpha yang begitu besar, selain menyahut cabaran bekerja menggunakan teknologi, kami perlu memastikan sabda Tuhan didengari semua dalam keselesaan rumah masing-masing.

Tanpa mengambil kira kerendahan hati dan ego, dengan AI (Almighty Intelligence atau Kepintaran Maha Besar) Tuhan, semua kami diletakkan pada tahap yang sama, tiada yang lebih tinggi atau lebih rendah, tetapi hanya ingin melihat Tuhan dimuliakan menerusi kursus Alpha.

Menerusi perkongsian setiap peserta dalam kumpulan kecil, semua kami mendengar bagaimana Tuhan telah menyentuh kami dalam perjalanan hidup kami, untuk mengangkat satu sama lain dalam proses itu.

Kursus itu memakan masa 11 minggu, dan hubungan telah dijalin, dipupuk dan diperkukuhkan. Dalam tempoh 11 minggu itu, kuncinya adalah ‘zooming’ dengan satu sama lain untuk mengenali Yesus Kristus.

Seperti lazimnya bagi kursus Alpha, acara kemuncak adalah hujung minggu Roh Kudus. Ia dipanggil begitu kerana ia melibatkan semua peserta untuk mengenali Roh Kudus dan bagaimana kami dapat mengenali-Nya dengan lebih baik dan membenarkan-Nya untuk masuk ke dalam hidup kami sepenuhnya.

Fr Andy Lee, dari Paroki Gereja St Anthony, Bintulu, membimbing kami dalam satu sesi yang diurapi Roh Kudus.

Kepercayaan kami, yang dialami sebagai satu komuniti orang percaya, telah membawa semua kami ke dalam hubungan yang lebih hebat dengan Yesus Kristus.

TERIMA KASIH … Uskup Agung Simon menyampaikan ucapan penutupan beliau.

Kami ada beberapa orang bukan Kristian yang menyertai kami dalam kursus AlphaDM. Pada hujung kursus, tiga daripada mereka membuat keputusan menyertai Upacara Inisiasi Kristian Bagi Golongan Dewasa (RCIA) untuk dibaptis sebagai anggota penuh Tubuh Kristus pada Paska tahun depan. Puji Tuhan!

Ketika menutup Alpha yang benar-benar dipenuhi Roh Kudus, dan mengikut Kerohanian Kerahimam Ilahi, kami merayu kepada semua untuk membuat kerja kerahiman jasmani.

Kami mengutip sebanyak RM9,860 daripada semua peserta, dan wang itu telah diagihkan kepada perkumpulan ‘Little Sisters of the Poor’ di Pulau Pinang (RM2,000), perkumpulan ‘Little Sisters of the Poor’ di Cheras (RM1,760), dan RM6,100 kepada pusat ‘Home of Peace’ di Kuching.

Kami mengucapkan terima kasih kepada Tuhan di atas kemurahan hati dan bantuan Tuhan yang berterusan.

AlphaDM berakhir pada 12 September lalu, tetapi keakraban hubungan diteruskan selepas kumpulan-kumpulan yang ada berjanji untuk terus berhubung dan sama-sama berdoa dan memuji Tuhan.

Kumpulan pengacara utama yang terdiri daripada 55 orang terus berhubung dengan permintaan bagi doa-doa, dan berkongsi sukacita dan kesedihan sambil menikmati persahabatan satu sama lain dalam perjalanan ini.

Sebagai susulan kepada Alpha, pasukan kerja telah membawa masuk lebih ramai murid misionari untuk menganjurkan Pengajian Al-Kitab Lectio mengenai Maria, yang akan dilancarkan pada 13 Oktober 2021. Pada kiraan terakhir, kami sudah mendaftar lebih 220 peserta.

Kolaborasi Gereja Seluruh Malaysia merupakan tanda bahawa rahmat Tuhan sedang bekerja, di mana kita berusaha untuk membina perpaduan dalam Tubuh Kristus.

Roh Tuhan menaungi aku,
Roh Tuhan menguduskan aku,
Roh Tuhan mengutus aku untuk mewartakan
sukacita, kedamaian dan kasih Tuhan.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: The Call of the Holy Spirit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.