Adven: Siap-siaga dan Menjangkakan sukacita

Oleh Fr Stanley Goh, SJ

Fr Stanley Goh, SJ

Bagi ramai daripada kita, permulaan Adven merupakan satu peluang untuk menukar gear dan memperlahankan sedikit langkah tatkala kita bersiap-sedia untuk merayakan kelahiran Tuhan kita. Banyak bacaan pada musim Adven menunjuk kepada keperluan untuk bersiap-siaga, atau berjaga-jaga kerana Tuhan akan datang pada waktu kita paling tidak menjangka Dia akan berbuat demikian. Idea “bersiap-siaga” ini mungkin ada maksud yang berbeza bagi ramai orang, dan ini pula dapat menjejaskan kualiti pendekatan kita kepada Krismas. Kita kadang-kadang mungkin menyediakan diri bagi perkara-perkara yang lambat-laun akan berlaku apabila kita merancang untuk perkara-perkara yang tidak menentu, atau kita sentiasa bersiap-siaga kerana takut orang lain akan mendapati kita tidak bersedia. Kesiapsiagaan ini adalah lebih lumrah berbanding apa yang kita fikirkan, dan ramai daripada kita membuat persiapan kita dengan memikirkan ini. Satu lagi cara untuk bersiap-siaga adalah dengan harapan bagi masa depan dan janji sukacita yang akan datang. Kesiapsiagaan seperti ini lebih melihat ke depan dan menjangkakan sesuatu, sama dengan mempersiapkan diri bagi satu perayaan yang besar. Ia adalah bagus untuk memikirkan bagaimana kita akan menyambut Adven pada tahun ini.

Bersiap-sedia semata-mata kerana takut orang lain akan mendapati kita tidak bersedia, atau kerana kita mahu merancang bagi keadaan yang tidak pasti, mungkin berguna dalam keadaan tertentu tetapi mungkin cara terbaik untuk mempersiapkan diri bagi kedatangan Tuhan. Ketika saya menjalani Khidmat Negara di Singapura, kami ditugaskan untuk berkawal dari semasa ke semasa. Ini menuntut mengambil alih tugas daipada pengawal kem biasa dan bekerja untuk menjaga keselamatan kem. Kami waspada dan bersiap-sedia bukan hanya kerana kami ada tugasan penting tetapi kerana kami amat menyedari sebarang kehilangan konsentrasi ketika menjalankan tugas ini boleh menyebabkan kami dikenakan hukuman berat. Kami waspada dan bersiap-sedia bukan kerana kami menanti-nantikan sesuatu tetapi kerana kami mahu mengelak hukuman. Ini bukanlah cara terbaik untuk membuat persiapan kita bagi Adven kerana kita tahu Tuhan datang dengan kasih demi keselamatan kita dan kasih ini menghapuskan segala ketakutan. Mengubah kesiapsiagaan kita kepada sesuatu yang lebih sukacita dan menjangkakan sesuatu pasti sangat membantu.

Adven adalah mengenai menyediakan hati kita untuk menyambut Tuhan, dan terdapat harapan dan sukacita yang amat tinggi dalam jangkaan itu. Saya merasakan bahawa jangkaan bagi kedatangan Tuhan adalah sangat sama seperti kanak-kanak yang menunggu pagi Krismas dengan penuh harapan kerana mereka akhirnya dibenarkan untuk membuka hadiah Krismas yang sudah menunggu di bawah pokok Krismas selama berminggu-minggu. Saya memikirkan tentang bagaimana kanak-kanak yang memandang hadiah mereka selama beberapa minggu dan hari menjelang Krismas, membayangkan apa yang mungkin ada di dalam, dan mengalu-alukan saat mereka berasa sukacita apabila mereka membuka kotak hadiah pada hari tersebut. Jangkaan inilah yang dapat menggambarkan Adven yang digunakan sebaiknya, dengan mengalu-alukan saat kita berasa sukacita pada waktu kelahiran Tuhan, sambil membuka ruang dalam hati kita untuk Dipenuhi-Nya, dan membiarkan harapan untuk mekar di dalam diri kita.

Membebaskan diri kita daripada ketakutan dan jangkaan, supaya kita dapat benar-benar membiarkan sukacita dan harapan datang ke dalam kehidupan kita, kadang-kadang boleh rasa sukar, tetapi kita boleh cuba untuk menjadikan Adven ini berbeza dengan melakukan apa yang Tuhan sendiri suruh—datang kepada-Nya seperti kanak-kanak kecil. Persiapan Adven kita tidak perlu rumit atau terperinci kerana Tuhan sendiri datang dengan rendah hati dan sederhana, dilahirkan dalam palungan di tengah-tengah haiwan-haiwan ternakan. Saya tidak rasakan bahawa kita dipanggil untuk meluangkan begitu banyak masa atau tenaga untuk bersiap-sedia bagi kedatangan Tuhan. Lagi pun, kita sudah cukup susah pada waktu pandemik selama beberapa tahun dan bulan yang lepas. Usaha sederhana untuk meluangkan masa beberapa minit lagi dalam doa, untuk berhubung dengan rakan-rakan dan keluarga, untuk menyantuni mereka yang mungkin memerlukan bantuan—semua ini adalah cara-cara mudah tetapi berkuasa untuk menghidupkan kasih dan harapan yang dibawa oleh Tuhan. Marilah kita memulakan Adven dengan sukacita di dalam hati kita, sambil menjangkakan sukacita Krismas dengan rendah hati dan sederhana, dan pada waktu yang sama berpaling kepada Tuhan dan orang lain dengan kasih.

 (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Advent: Being Prepared and Anticipating Joy

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.