Oleh Soccom STKM
KOTA MARUDU — Buat julung kalinya, Paroki St Theresa Kota Marudu berjaya melaksanakan rekoleksi kepada para pelayan altar separoki. Rekoleksi pada 10 Mac itu adalah atas inisiatif para pelayan altar yang senior yang turut dibimbing oleh Seminarian Philip Asaw.
Program tersebut dibahagikan kepada tiga sesi utama. Seusai sesi pendaftaran aktiviti pada pagi itu dimulai sekitar jam 9.00 pagi. Sesi pertama telah disampaikan oleh Marcus Diri Bintang Kopong yang bertajuk ‘Taat dan Setia’ melayani Tuhan. Disusuli oleh tajuk yang berikutnya berkaitan dengan susun atur perjalanan liturgi dan pada sesi ketiga dilakukan secara praktikal sesuai dengan tatacara perjalanan liturgi kepada para peserta terutama kepada peserta baru kali pertama melayani sebagai pelayan altar.
Ruang dibuka kepada para pemudi untuk menjadi pelayan altar untuk melayani semasa perjalanan Misa Kudus di pusat paroki. Di mana sebelum ini hanya para pemuda sahaja yang melakukan pelayanan sebagai pelayan altar. Kehadiran pada pemudi telah menjadi pemangkin kepada kehadiran yang sangat menggalakkan dalam rekoleksi pada hari tersebut. Para peserta turut diutus oleh paderi paroki, Fr Rayner Bisius dalam Misa Kudus hari minggu itu.
Dalam homilinya Fr Rayner mengucapkan setinggi tahniah kepada para peserta rekoleksi yang telah menyahut panggilan untuk menjadi pelayan altari sama ada di pusat paroki atau pun bagi mereka yang melayani di stasiluar.