Paderi Herman Menjuan: warga Malaysia pertama ditahbiskan sebagai mubaligh Mill Hill

Oleh Linda Edward

NAIROBI, KENYA — Pada 25 Oktober lalu, umat Katolik menyaksikan, menerusi siaran secara langsung di Youtube, warga Malaysia pertama yang ditahbiskan sebagai mubaligh Mill Hill di Paroki St Joseph Shaury Moyo, Nairobi, Kenya.

Paderi Herman Menjuan, 40, yang berasal dari Kampung Duvanson Putatan, ditahbiskan oleh Uskup Auksilier David Kamau dari Keuskupan Agung Nairobi. Hari yang berkat itu turut menyaksikan Uskup Kamau mentahbis enam seminarian Mubaligh Mill Hill yang muda ke jawatan diakon.

Paderi Menjuan, yang lahir pada 13 April 1980, merupakan anak bongsu kepada si bapa Menjuan Ahtong dan si ibu Livian Ellon, dan beliau mempunyai tiga orang kakak dan tiga orang abang.

Catholic Sabah (CS) bercakap kepada mubaligh yang baharu ditahbiskan itu tentang perjalanan kepaderian beliau.

CS: Sila kongsikan bersama kami tentang bagaimana anda dipanggil kepada kepaderian.

Paderi Menjuan: Panggilan saya berlainan sedikit. Di Kota Kinabalu, saya telah menyertai seminar panggilan sebanyak tujuh kali, dan di seminar yang ketujuh, saya pada akhirnya memutuskan untuk mencubanya dan melihat sama ada Allah memanggil saya untuk menjadi alat-Nya ataupun tidak.

Saya memasuki seminari keuskupan KK pada Februari 2008 sebagai seorang calon (aspirant) selama setahun di Pusat Keuskupan Agung Katolik. Setahun selepas itu, saya memasuki Tahun Inisiasi (TI). Selepas setahun di TI, saya memasuki Kolej St Peter (SPC) di Kuching dan menyiapkan Falsafah selama dua tahun. Kemudian saya merasakan bahawa Allah ada rancangan lain untuk saya. Selepas menamatkan tahun Falsafah, nampaknya panggilan saya bukan untuk menjadi seorang paderi keuskupan tetapi menjadi seorang mubaligh. Lalu saya menyertai Mubaligh Mill Hill.

CS: Kenapa Mill Hill?

Paderi Menjuan: Saya tidak tahu apa Mill Hill dahulu. Ketika saya belajar Falsafah tahun pertama, saya berpeluang untuk mengenali mendiang Paderi Terry Burke, salah seorang pensyarah di SPC Kuching.

Suatu hari saya memotong rambut beliau dan berpeluang untuk bertanya kepada beliau tentang Mill Hill. Beliau menjelaskan siapa mereka, dan dari sana, terlintas di fikiran saya untuk menyertai mereka. Saya bertanya kepada Paderi Terry sama ada saya dapat menyertai mereka, tetapi beliau memberitahu saya bahawa saya sudah berada di dalam seminari keuskupan dan beliau tidak mahu menimbulkan masalah dengan menerima saya masuk.

Saya memilih Mill Hill kerana cogan kata “untuk mengasihi dan untuk melayani”. Kita tidak dapat melayani jika kita tidak mengasihi.

CS: Sila kongsikan dengan kami tentang waktu pengajian anda di seminari Mill Hill, termasuk kerja pastoral.

Paderi Menjuan: Saya menyertai Mill Hill pada 2013 dan dihantar untuk formasi asas di Iloilo, Filipina, selama setahun. Kemudian saya dihantar untuk kerja pastoral selama dua tahun di St Joseph dan Mary Shaurimoyo, Nairobi, Kenya. Selepas dua tahun, saya meneruskan pengajian Teologi di Kolej Universiti Tangaza, Afrika Timur, Kenya, selama empat tahun. Sepanjang tempoh tersebut, saya telah hidup dengan pelbagai manusia yang mengajar saya begitu banyak perkara yang indah, seperti manusia dan budaya yang berbeza.

CS: Apakah kerohanian para mubaligh Mill Hill?

Paderi Menjuan: Untuk keluar dan menjadi pengikut Kristus, mengadakan dialog dengan orang yang berbeza daripada kita. Kami mewartakan Kerajaan Allah dalam kehidupan harian kami, dalam Sabda Allah dan dalam Sakramen-Sakramen, agar Kerajaan Allah wujud dalam semua kebudayaan, dan didedahkan dalam cara-cara yang unik dalam diri Yesus.

Mewujudkan komuniti umpama Kristus yang amat spiritual di mana sahaja dan menyajikan persaudaraan antarabangsa kami sendiri yang amat spiritual sebagai tanda bahawa Kerajaan wujud dan beroperasi di dunia kita pada hari ini.

Untuk mencabar masyarakat pada keseluruhannya, menerusi dialog, agar diubah oleh Roh Kudus menurut nilai-nilai asas Kerajaan: keadilan dan keamanan, pengampunan dan perdamaian, solidariti global dan sikap menghormati hak asasi manusia.

CS: Apakah pendapat anda tentang kebudayaan di Kenya? Adakah anda perlu menyesuaikan diri kepada kebudayaan itu?

Paderi Menjuan: Kebudayaan di Kenya adalah indah. Mereka ada pelbagai cara untuk menunjukkannya dan ia sangat indah. Saya perlu menyesuaikan diri tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menerima kebudayaan mereka. Baharulah anda dapat menikmatinya. Saya telah berkhidmat bersama Paderi Fred Marmoleho, paderi Mill Hill Filipina, Paderi Agustine, paderi Mill Hill Itali, dan Paderi Francis Makuba, paderi Mill Hill Kenya.

CS: Apakah dan di manakah tugasan anda nanti sebagai seorang paderi mubaligh?

Paderi Menjuan: Dua bulan daripada sekarang, saya akan menjalankan pelantikan pertama saya di Turda, Palawan, di Filipina untuk melayani penduduk tempatan. Mill Hill bukan mengenai berkhidmat di tempat-tempat khusus; kami adalah mubaligh dan akan sentiasa bergerak untuk melayani orang yang paling memerlukan kami.

CS: Apakah perasaan anda sebagai seorang paderi yang ditahbis?

Paderi Menjuan: Saya sangat gembira kerana Allah telah memilih saya untuk menjadi alat-Nya. Tetapi kegembiraan saya bukan hanya untuk diri saya sendiri tetapi untuk orang lain di mana saya berkhidmat.

CS: Apakah cogan kata pentahbisan anda?

Paderi Menjuan: Dengan kasih kepada Allah dalam Ekaristi, membawa orang ke dalam persaudaraan dan melayani orang dengan hati Allah menerusi Bonda Maria.

CS: Apakah pendapat keluarga anda mengenai pentahbisan anda?

Paderi Menjuan: Mereka amat gembira kerana saya telah ditahbiskan dan benar-benar menyokong saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya walaupun mereka tidak dapat datang ke sini untuk pentahbisan saya disebabkan oleh pandemik. Tetapi saya gembira kerana mereka dapat melihat saya secara langsung menerusi internet. Ia menyedihkan (kerana mereka tidak dapat datang ke sini) tetapi pada waktu yang sama, menggembirakan.

CS: Ada kata-kata kepada kami, para umat?

Paderi Menjuan: Saya adalah hamba Tuhan. Saya ditahbis untuk mengasihi dan untuk berkhidmat dan saya adalah harta milik umat. Kehidupan saya adalah untuk melayani umat. Seperti saya berdoa untuk anda, tolong berdoa untuk saya juga, supaya saya menjadi paderi yang baik dan rendah hati untuk menunaikan kerja Allah.

Saya tidak sempurna, saya hanya manusia sahaja. Jika saya menyimpang ke jalan yang salah, tolong bimbing saya balik ke jalan yang benar.

Terima kasih di atas semua doa, sokongan dan kasih, kerana tanpanya, saya tidak mungkin berada di sini sekarang. Saya hanyalah alat Allah – untuk mengumpul jemaat bagi jamuan persaudaraan-Nya, iaitu Ekaristi, dan untuk menarik orang kepada-Nya.

Catholic Sabah (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Fr Herman Menjuan, first Malaysian ordained as Mill Hill Missionary

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.