Persidangan Uskup-Uskup Katolik Malaysia-Singapura-Brunei (CBCMSB) mengeluarkan kenyataan media berikut pada 26 Oktober lalu.
Uskup Cornelius Sim, 69, menjadi uskup Katolik pertama dari negara kecil Brunei untuk diumumkan sebagai seorang Kardinal oleh Paus Francis. Ia bukan sahaja satu penghormatan bagi Gereja muda tetapi bagi negara Brunei. Beliau adalah antara 13 orang kardinal baharu yang diumumkan pada Ahad lalu di Rom.
“Dengan memutuskan untuk melantik Uskup Cornelius Sim, Bapa Suci Paus Francis menunjukkan solidariti beliau dengan Gereja di pinggiran,” kata Msgr Marco Sprizzi, selaku wakil duta di kedutaan Vatikan di Kuala Lumpur. Ini mencerminkan salah satu ungkapan terkenal Paus, “Saya melihat gereja umpama sebuah hospital lapangan”, untuk mendekati golongan miskin dan menderita, untuk memulihkan luka-luka, dan untuk menyenangkan hati.
Uskup Sim, dilahirkan di Seria, Brunei, dan berketurunan Cina dan Dusun. Beliau merupakan seorang graduan kejuruteraan dari Scotland, dan bekerja di Brunei selama beberapa tahun sebelum beliau memulakan pengajian kepaderian beliau. Beliau ditahbiskan untuk menjadi paderi Katolik pada 1989, dan dilantik sebagai vikar apostolik Brunei oleh mendiang Paus John Paul II pada 2004. Negara Brunei mempunyai kira-kira 21,000 orang Katolik.
“Aiyo, saya tidak tahu kenapa saya dipilih. Ia amat mengejutkan,” ini adalah kata-kata pertama Uskup Sim, ketika dihubungi menerusi telefon pada malam Isnin lepas, hanya beberapa minit sahaja selepas ia diumumkan di Rom. Beliau menerimanya dengan baik dan berkata, “Saya menerima tanggungjawab baharu ini demi kebaikan Gereja dan bangsa-bangsa di rantau ini.”
Kolej Kardinal-Kardinal, yang akan dianggotai Uskup Sim, bukan sahaja mengundi Paus pada masa akan datang, tetapi juga dilihat sebagai kolaborator paling dekat dengan Paus. Kolej ini dengan 128 anggotanya sekarang dari semua benua, menjadikan wajah sejagat Gereja begitu tulen dan nyata.
Sementara itu, ketua Persidangan Uskup-Uskup Katolik Malaysia-Singapura-Brunei (CBCMSB) tempatan, Uskup Sebastian Francis dari Pulau Pinang, menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan bersaudara daripada semua uskup dan gereja di rantau ini.
“Ini benar-benar saat yang bersejarah bagi kita. Ia adalah saat sukacita bagi semua gereja kecil di rantau ini. Yang kecil dan sedikit juga ada makna yang besar.”
Tindakan Paus Francis dilihat sebagai mengesahkan visi Gereja untuk menghadirkan diri kepada seluruh pinggiran dunia dan menjadi pemangkin bagi dialog dan harapan.
Kardinal pertama dari Malaysia turut dilantik oleh Paus Francis pada 2016, Kardinal Soter Fernandez dari Kuala Lumpur.
Paus Francis juga merupakan penggalak persaudaraan manusia dan ekologi yang hebat. Pada Februari 2019, Paus dan Imam Besar Al-Azhar, Ahmed el-Tayeb, menandatangani Dokumen Mengenai Persaudaraan Manusia bagi Keamanan Dunia dan Hidup Bersama, di satu Persidangan Global mengenai topik di Abu Dhabi. Seruan kepada persaudaraan dan persahabatan sosial telah ditekankan lagi dengan pengeluaran ensiklik atau surat baharu daripada Paus Francis pada 3 Oktober 2020, Fratelli Tutti. Ia menuntut “budaya pertemuan” dan tindakan ke arah “dialog yang inklusif dan membina di kalangan semua komponen kebudayaan dalam masyarakat”, dan menyeru kepada semua orang yang berniat baik untuk membina solidariti dan persaudaraan manusia yang lebih tinggi, dan rayuan untuk menolak peperangan.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: “A moment of rejoicing for the little Churches in the region”