‘Pendidikan mungkin tidak sampai ke kawasan luar bandar jika tidak kerana sekolah mubaligh’

KITA JAGA SEKOLAH MUBALIGH KITA: Uggah (duduk di hujung meja) mempengerusikan mesyuarat pertama Lembaga Sekolah Mubaligh Negeri bersama UNIFOR. (Foto: DayakDaily)

KUCHING — Sekolah mubaligh memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha memperkasakan masyarakat luar bandar menerusi pendidikan yang baik di Sarawak.

Uskup Agung Roman Katolik Kuching Simon Poh menegaskan bahawa sekolah mubaligh merupakan bahagian yang penting dalam pembangunan negeri kerana ia menyediakan asas pendidikan kepada kanak-kanak di kawasan desa. 

“Di kawasan luar bandar (dahulu), pendidikan mungkin tidak ada jika tidak kerana mereka (sekolah mubaligh),” katanya selepas mesyuarat pertama Lembaga Sekolah Mubaligh Negeri bersama Unit Agama-agama Lain (UNIFOR) di sini baru-baru ini. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, yang bertanggungjawab bagi UNIFOR, mempengerusikan mesyuarat untuk membincangkan keperluan sekolah-sekolah tersebut. 

Poh mengetengahkan perkara ini dalam mesyuarat itu yang telah menyeru kepada kerajaan persekutuan agar memperuntukkan dana bagi menyediakan dan menaik taraf kemudahan untuk meningkatkan lagi standard sekolah mubaligh di negeri ini. 

Uggah menjelaskan UNIFOR ada sebuah jawatankuasa untuk membangkitkan isu-isu sedemikian dengan tumpuan kepada pembiayaan bagi penyelenggaraan atau bagi kemudahan. 

“Bagi pihak UNIFOR, saya juga akan menulis kepada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk mendapatkan pembiayaan. Kerajaan persekutuan ada dana tertentu untuk kumpulan bukan Islam,” katanya. 

Uggah turut menyeru kepada jawatankuasa itu untuk menentukan anggaran dana yang diperlukan bagi menubuhkan dan menaik taraf sekolah mubaligh di Sarawak. 

“Marilah kita mengusahakan perkara ini. Isu genting ialah kita perlu bersikap adil dalam pemberian dana. Kita mesti ada sistem untuk memastikan sekolah yang kurang bernasib baik seperti di kawasan luar bandar dan tiada sumber pendapatan lain dibantu dengan berkesan,” tegasnya. 

Mengenai cadangan oleh Persidangan Tahunan Cina Methodist untuk membuka lima buah sekolah swasta kebangsaan, Uggah berkata kerajaan negeri menyokongnya sepenuhnya. 

“Ini adalah idea yang bagus. Sekolah swasta adalah bebas dan lebih konsisten dengan kurikulum mereka. Mereka juga dapat menyediakan pendidikan yang sangat berkesan,” tambahnya. 

Sekarang terdapat 127 buah sekolah mubaligh di Sarawak, dengan 113 buah sekolah rendah dan 14 buah sekolah menengah, khususnya di bahagian-bahagian Kuching, Sibu dan Miri. 

Bagi sekolah rendah, 57 buah telah dibuka oleh Gereja Roman Katolik, 45 oleh Gereja Anglikan dan lima oleh Gereja Methodist; manakala bagi sekolah menengah, tujuh diselia oleh Gereja Roman Katolik, lima oleh Gereja Anglikan, dan dua oleh Gereja Methodist. 

Selain itu, 92 buah tadika diusahakan oleh ketiga-tiga mazhab tersebut. 

Sementara itu, mesyuarat berkenaan diadakan untuk menyahut seruan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg agar sekolah-sekolah mubaligh mempunyai jawatankuasa tersendiri untuk secara khusus menjaga keperluan kewangan mereka selain menyelesaikan sebarang masalah yang mereka hadapi. 

Uskup Gereja Anglikan Sarawak dan Brunei, Datuk Danald Jute, Reverend Lau Kiong Ping yang mewakili Persidangan Tahunan Cina Methodist Sarawak, dan Kaso Linang yang mewakili Persidangan Tahunan Iban Methodist Sarawak turut menghadiri mesyuarat tersebut. 

DayakDaily (Terjemahan) 


Berita dalam Bahasa Inggeris: ‘Education might not have reached rural areas if not for mission schools’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.