Paus gesa umat Katolik berdoa rosari di tengah-tengah “ancaman yang sedang menjelma”

Santa Perawan Ratu Rosari

KOTA VATIKAN — Sempena hari raya Santa Perawan Ratu Rosari baru-baru ini, Paus Francis telah menggesa umat Katolik untuk menyebut doa Maria, terutamanya di tengah-tengah “ancaman yang gelap kepada dunia”, seperti pandemik. Beliau membuat seruan itu sewaktu Pertemuan Umum pertama beliau pada Oktober, bulan yang menurut tradisi didedikasikan kepada rosari. 

Beliau bercakap tentang doa Maria dalam ucapan beliau kepada pelbagai kumpulan bahasa yang hadir dalam pertemuan di Vatikan, selain mereka yang mengikuti beliau dalam media. 

“Dalam penampakan beliau, Bonda kita sering mengamanatkan doa rosari, terutamanya bila berdepan dengan ancaman yang gelap kepada dunia,” katanya kepada penziarah berbahasa Polish. 

“Pada hari ini pun, pada waktu pandemik sekarang, ia adalah perlu untuk memegang rosari di dalam tangan kita dan berdoa untuk diri kita, orang yang kita sayangi, dan semua orang,” katanya. 

Dalam ucapan beliau kepada penziarah berbahasa Sepanyol, Bapa Suci berdoa agar, menerusi perantaraan Santa Perawan Ratu Rosari, Tuhan menjadikan “kehidupan kita, di tengah-tengah waktu pandemik sekarang, pelayanan kasih kepada semua saudara-saudari kita, terutamanya mereka yang rasa diabaikan dan tidak dilindungi”. 

Sambil mengalu-alukan jemaat berbahasa Arab, beliau menjemput mereka untuk berdoa rosari dan membawanya di dalam tangan atau saku mereka. 

Rosari, jelas beliau, merupakan doa paling indah yang kita dapat berikan kepada Perawan Maria. 

“Ia merupakan kontemplasi bagi peringkat kehidupan Yesus Penyelamat bersama BondaNya Maria dan ia adalah senjata yang melindungi kita daripada kejahatan dan godaan.” 

Paus turut bercakap mengenai rosari sebagai “doa kontemplatif”, dengan menyatakan bahawa, ketika merenungkan misteri-misteri penyelamatan, “wajah kasih Allah sendiri, yang kita diseru renungkan dalam keabadian, semakin didedahkan kepada kita”. 

Hari raya Santa Perawan Ratu Rosari diraikan pada 7 Oktober, ulang tahun kemenangan penting yang dicapai oleh armada gabungan Liga Suci pada 1571 ke atas tentera laut Othmaniah dalam Peperangan Lepanto. 

Paus St Pius V mengaitkan kemenangan itu dengan perantaraan Santa Perawan Maria, yang diseru dengan rosari pada hari peperangan. 

Vatican News (Terjemahan) 


Berita dalam Bahasa Inggeris: Pope urges Catholics to pray the rosary amid “looming threats”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.