KOTA PADAWAN — Pada 31 Ogos lalu di Paroki Santa Anna Kota Padawan, Ministri Belia Paroki Santa Anna telah mengadakan Misa Hari Belia. Sekurang-kurang 140 orang belia dari kampung dan taman di bawah naungan Paroki Santa Anna telah menghadiri Misa tersebut dan ianya juga disiarkan dalam talian bagi belia yang tidak dapat hadir atas sebab kapasiti terhad mengikut apa yang telah ditetapkan.
Kawasan sekitar Program Khas SAYD 2020 (Foto: Catherine Lee)
Sepatutnya pada tarikh tersebut, Hari Belia Paroki Santa Anna diadakan di padang Kampung Simpok seperti yang telah dirancang sejak tahun 2019. Disebabkan wabak pandemik COVID-19, acara tahunan itu terpaksa dibatalkan. Bagi memperingati Hari Belia, Misa khas telah diadakan yang dihadiri para wakil belia dari setiap kampung dan taman di bawah naungan Paroki Santa Anna.
Misa pada hari tersebut telah dirayakan oleh Friar Don Don Ramerez dan dibantu oleh Friar Cruzender Alex. Tepat jam 10.00 pagi, tayangan video ‘Passing of the Cross’ daripada wakil setiap zon telah ditayangkan bagi pembukaan Misa. Dalam tayangan video pembukaan tersebut, wakil belia dari zon Teng Bukap mendahului selaku tuan rumah bagi ‘St Ann Youth Day’ (SAYD18) dan diakhiri belia dari Zon Semeba selaku tuan rumah bagi SAYD19.
Selesai perayaan Misa Kudus, suasana SAYD 20 dimeriahkan oleh dua orang pengacara majlis iaitu Saudara Gregory Roy dan Saudari Emelda Scholatica. Pembukaan tirai dimulakan dengan tarian tradisional daripada belia Kampung Simpok diikuti dengan video muzik sape daripada belia zon taman.
Rakaman ucapan daripada pemangku Rektor, Friar David Au, diutarakan dengan ucapan kata alu-aluan serta amanat daripada beliau kepada para belia yang hadir serta kepada belia yang mengikuti secara atas talian.
SAYD tidak akan sah jika tidak ada ucapan serta kata-kata amanat daripada penasihatnya Friar Don Don Ramerez. Suasana SAYD20 di dalam gereja menjadi sebak saat throwback SAYD18 dan SAYD19 dipaparkan di atas skrin kerana pada tahun ini perkampungan belia selama tiga hari dua malam tidak dapat dilaksanakan.
Sesi SAYD20 juga tidak lupa kepada para belia yang jauh merantau dengan kerjaya masing-masing di mana suatu ketika dahulu mereka pernah menjadi pelayan di dalam ministri gereja. Mereka secara keseluruhannya memberi pesanan yang positif kepada para belia walaupun pada tahun ini suasana SAYD20 jauh sekali berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Seperti tahun sebelumnya, SAYD akan dimeriahkan dengan slot pencarian bakat belia, namun, pada kali ini bakat para belia disiarkan secara langsung melalui video yang telah diberikan kepada ‘Parish Youth Ministry’ (PYM) St Ann atau dipilih dari akaun laman sosial belia oleh pihak PYM.
Memandangkan SAYD20 yang sepatutnya menyaksikan para belia berkampung di Padang Kampung Simpok terpaksa dibatalkan, ahli PYM St Ann tetap menjalankan rakaman jelajah Simpok di tapak tersebut untuk tatapan dan perkongsian kepada para belia.
Sebelum program ditamatkan pada jam lebih kurang 12.30 hari, para belia yang hadir telah dijemput sama-sama berdiri bagi menyanyikan lagu kebangsaan dan juga lagu ‘Jalur Gemilang’ bersempena Hari Merdeka. Friar Don Don Ramerez telah membuat doa penutupan serta doa pemberkatan sebelum para belia bersurai.
Di kesempatan ini juga, pihak PYM ingin mengucapkan terima kasih kepada Saudara Boby dan pasukan yang telah berusaha untuk membuat siaran secara langsung. Tidak lupa juga kepada Saudara Dellon Nelson dan Saudari Mary Adelyn yang telah membuat suntingan video untuk program pada hari tersebut.
Catherine Lee